"Aduuh, macam mana tugasan ni mahu di susun ye...? KL - Kuantan - Bandar Baru Bangi dalam masa 10jam?"
Plan ke Kuantan dirancang seminggu yang lalu bersama Abang Izwan, naqib muda yang bakal bergelar ayah. Tiba-tiba, saya mendapat jemputan untuk menghadiri pertemuan dengan senior-senior Jordan. Ada majlis yang mereka adakan, saya salah seorang tetamu yang diundang.
Cerita diringkaskan. Selepas berbuka di Restoran Dusun, berhampiran dengan Tol Kajang bersama Usrah GEGAR, saya bergegas ke Kuantan bersama Abang Izwan, menghantar Syaukani yang diculik di KLIA sejak tengah hari lagi. Ibunya di Beserah sudah pastinya tidak sabar menatap wajah anak lelaki kesayangannya. Kereta Proton Iswara Aeroback 'kurniaan' Imam Muda Idris sudah cukup selesa untuk diterbangkan 250KM ke Timur tanah air.
Tepat jam 11.15 malam, kami mendarat di Beserah, Kuantan. Menghantar hadiah seberat hampir 70KG kepada keluarga Pakcik Adnan. Semoga bergembira.
Keluar dari Lebuhraya Pantai Timur, Iswara kelabu itu semakin liar. Selekoh pula semakin tajam. Stering yang dipulas semakin kurang fungsinya.
Eeeeetttttt!!! Kereta terhenti di bahu jalan. Bunyi kunyahan keluli dari tayar belakang disebelah kanan mengerikan saya. Kelopak mata tiba-tiba segar membutang.
Bearing tayar belakang hancur langsung. Kami hanya mampu bergerak pada kelajuan 20KM/J. Keluar di Ketari untuk mencari bengkel 24jam. Kecewa. Hanya mampu menunggu jam 10 pagi untuk dibaik pulih. Surau menjadi pilihan untuk kami bermalam.
Allah lebih pandai merancang perjalan kami. Belum tentu untuk saya tiba ke Bandar Baru Bangi dengan kondisi mata yang hampir tidak mampu dibuka.
Alhamdulillah.
REZEKI LINE MERAH
Setelah 2 minggu di Kuala Lumpur, saya bertekad untuk kembali semula ke pangkuan Ibu. 40 hari di Malaysia bukannya tempoh yang panjang. Masa yang pendek untuk menunaikan hak yang banyak dituntut dan diraih.
Tiba di Hentian Putra selepas terperangkap di Jalan Duta sebelum ke Kuala Kubu Baru untuk menghantar kereta dan kembali semula dengan komuter. Huh. Saya tercungap-cungap. Mengejar Bas Express Mahligai. Duit berbaki RM 10 lebih selepas membeli sedikit roti dan air mineral untuk mengisi perut selepas berbuka hanya dengan sebiji tamar 'kurniaan' LDP.
Di kerusi empuk itu, saya mudah terlena dipukul keletihan yang bersangatan. Terjaga hanya bila bas berhenti di Merapoh. Saya turun untuk bersahur pada jam 12.30 tengah malam.
Sepinggan nasi dan sedikit daging, telur dan sotong dihulurkan kepada penjaga kaunter.
"RM 10 ye nak...", beritahu makcik tersebut.
Mata saya terbelalak. Aduh, mahal betul. Padahal hanya bernilai 2JD di Jordan. Saya menghulurkan not merah. Baki di poket hanya kepingan syiling. Air belum dibeli. Tandas berbayar belum di'sewa'. Saya bercadang untuk meneguk air paip sahaja.
Usai makan, saya ke tandas. 30sen dilaburkan disitu. Keluar, saya ke surau untuk menyempurnakan sahur dengan air paip di situ. Kecewa. Air keruh sahaja yang keluar. Tidak selamat untuk diminum.
Saya kembali ke bas. Menyeluk-nyeluk saku bag, kalau-kalau ada syiling yang berbaki. Ada!. Beberapa keping syiling dikeluarkan. Huh, kecewa lagi. Semuanya tertulis Qirsy, Syiling Jordan. Saya pasrah, melelapkan mata dengan tekak yang gersang dan kemarau. Letih yang masih berbaki menjadi pemangkin untuk kelopak mata saya dikatup rapat.
Bas berhenti lagi di Kuala Krai. Sahur, kata pemandu dari tingkat bawah. Saya turun lagi. Warung kampung pastinya murah, bisik hati saya. Baki 90sen diharapkan mampu untuk ditukarkan dengan segelas teh O ais.
"Kak, teh O ais satu!", saya memberi pesanan dengan yakin, lupa dengan harga petrol yang baru sahaja naik sebulan yang lalu.
Gelas Teh O Ais tiba.
"RM 1.20 ye", ujar kakak yang menghantar air.
Saya menelan air liur. Sambil menghirup air, saya termenung panjang. Bagaimana air ini mahu dibayar? Hanya 40sen yang tak cukup. Baki Qirsy Jordan masih bernilai RM 6. Namun, pastinya tak sah untuk dijadikan matawang di sini.
Ya, Allah, bantulah daku. Bulat hati saya memohon belas dari Sang Pencipta.
"Assalamualaikum, Abang, tu L Lens ke..?", Tanya seorang pemuda 20-an sambil matanya diarahkan kepada DSLR saya yang ditidurkan di atas meja.
"Walaikumussalam, eh, bukanlah, ni Lens biasa je, saya mekapkan untuk menyamar je....", saya memberi penjelasan. Dia terkeliru dengan Lens 15-85 IS USM yang dililit reben merah.
Kami berborak sebentar. Tajuk DSLR memudahkan beliau mendekati saya. Pelbagai soalan yang diajukan dijawab rapi dan tersusun. Peminat baru dalam dunia fotografi. Saya hanya memberi tunjuk ajar sekadar temampu.
Pemandu bas bangkit menuju ke bas. Saya juga cuba menaruh nasib menuju ke kaunter. Berhutang 40sen adalah jalan keluar terbaik.
"Abang, saya dah bayarkan air tu..". Ujar pemuda tadi.
Huh, kalau tahu dari awal, saya order Radix ais Double.
Apapun, hati saya tenang dan lega. Alhamdulillah, dekat benar suaraku dan mustajabMu ya Rabb.
Setelah merancang skrip hidupmu, serahkan pemadammu kepadaNya. Allah lebih tahu skrip yang terbaik untukmu.
HASANHUSAINI,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.
menarik artikel.. kata Dr Ary, Zero Mind Process..
BalasPadambest, terbaik sheikh..
BalasPadam