Jumaat, 6 Januari 2012

Kertas Pertama, Kertas Kedua


"Tak boleh, paling kurang, kena sewa dua hari sebab hari Ahad, 1 Januari, CUTI ", tegas pemilik pusat sewa kereta di Amman.

Saya memandang Muhammad. Ahad cuti...? Education Malaysia Jordan tak akan dibuka. Kedutaan Malaysia di Jordan tak akan beroperasi. Taki pernah terfikir dibenak saya, bahawa hari Ahad tersebut adalah 1 Januari 2012.

Kereta disewa dua hari. Kontrk perjanjian dibuat. Passport saya menjadi cagaran.

Dari Amman bergerak ke Kawasan Bebas Cukai di Zarqa', meninjau-nijau kereta murah. Kemudia ke Mafraq, mengutip dokumen untuk zakat dan bantuan kewangan ahli KMKJ di sana. Di kesempatan yang sempit itu, dimanfaatkan juga untuk bertemu mata dengan ahli KMKJ di Mafraq. Salah seorangnya kurang sihat. Semoga Allah sembuhkan beliau.

Musafir disambung ke Irbid. Menelusuri jalan ditepi sempadan Jordan - Syria. Bermalam di Irbid sambil berdiskusi bersama teman-teman yang sangat baik. Perkongsian dengan rakan-rakan perubatan sangat membuka minda.

Selesai urusan di Irbid, saya kembali semula ke Amman untuk menghantar borang ke rumah Atache Pendidikan, Education Malaysia Jordan. Borang dan dokumen itu harus disahkan sebelum dihantar ke Majlis Agama Islam Negeri Kelantan dan pihak yang berkenaan.

Lewat petang, kembali ke Mu'tah untuk bersedia dengan peperiksaan keesokan hari.

Kertas jawapan diconteng dengan jawapan yang telah tersedia berdasarkan pemahaman saya dalam sesi perbincangan sepanjang semester. Tiga muka surat untuk 3 soalan. Usai peperiksaan, saya terbang sekali lagi ke Amman. Menuju ke Education Malaysia Jordan untuk menyelesaikan urusan. Sebesar-besar penghargaan kepada Atache yang sedia berkhidmat lebih masa.

Lantaran urusan yang tidak sempurna, kereta dilanjutkan tempoh sewaannya. Saya merancang untuk ke Kedutaan keesokan hari.

Dengan jarak perjalanan mencecah 700KM, saya kembali ke Mu'tah dengan badan yang lunyai. merengkok di bawah selimut bulu dengan cadar panas terpasang. Menggigil. Demam. Pening. Loya. Sakit kepala.

Buku, nota dan kitab untuk peperiksaan dua subjek berat pada Khamis pagi hanya mampu saya jeling sekejap. Berbekalkan dua biji panadol, saya dilelapkan Allah.

Jam 2 pagi, saya bangkit semula. Kitab dan nota dibelek. Satu persatu. Sehelai demi sehelai. Kadang-kadang terlelap sebentar. Bila terjaga, kitab sudah terlepas dari tangan. Begitulah berulang sehingga fajar terbit di ufuk. Azan Subuh berkumandang. Subuh saya sendirian. Usai Subuh, kitab dijamah semula. Kurang lebih 10 minit, saya dilelapkan sekali lagi.

Teeettt! Teeett. Penggera berbunyi. 8.15 Pagi!!!!!!

Saya melompat dari pembaringan. Mencapai jaket dan kopiah serta sebuah buku, mandi P. Ramlee, sarung kasut dan terus berlari. Saya lupakan sementara sengal-sengal tulang, pening dan loya.

Masuk ke dewan peperiksaan tepat jam 8.30. Ambil kertas jawapan. Saya termenung. Hati saya dipenuhi bait-bait munajat.

Ya Allah, upayaku kontang untuk terus mengalirkan usaha, maka kini, hanya tawakkal yang aku gantungkan kepadaMu.

Usai menjawab kertas pertama, saya mengurut dada, mengucapkan syukur.

Usai menjawab kertas kedua, saya raupkan tangan ke muka. Air jernih gugur. Saya tunduk, sujud. Terima Kasih Allah.

Dr. Firas menepuk-nepuk belakang saya. "Jangan menangis, Allah bersamamu, anakku."

Tulislah perancanganmu dengan sebatang pensil, serahkan pula pemadamnya kepada Allah. Dan izinkanNya memadam bahagian yang tidak sempurna untuk digantikan dengan perancangan yang lebih baik, hadiah istimewa dariNya untukmu.

HASANHUSAINI,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.

Tiada ulasan:

Facebook Comments Box: Bloggerized by HASANHUSAINI.COM

Catat Ulasan

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]