Rabu, 9 Februari 2011

Menipu Rasulullah



Pesanan dari Dr. Syuwesh Mahamid paling terkesan di hati saya.

Perbuatan meliarkan manusia dari agama dengan alasan agama adalah perbuatan terkutuk. Terpesong jauh dari maqasid syariah Islam. Lantikan Allah kepada manusia sebagai pendakwah dan Khalifah adalah untuk menguruskan manusia dengan syariat Allah. Sebagai penyelesai masalah. Bukan penimbul dan pereka masalah.
Sambutan Maulidurrasul diadakan setiap tahun. Alhamdulillah. Kita sudi untuk mengingati Rasulullah, ikon manusia paling sempurna di dunia ini. Namun, sambutan itu seakan cacat dan tidak sempurna. Bukan disebabkan ada yang menuduhnya bidaah. Bukan juga kerana sambutannya tidak meriah. Tapi, samputan itu miskin kesan dan faedah.


DI MANA KESANNYA..?

Sambutan kesyukuran dikurniakan seorang Nabi dan Rasul dan diberi peluang untuk menikmati syariat Islam bukanlah hanya dengan slogan dan kata-kata manis semata-mata. Bahkan kata-kata dan slogan itu harus ditukar kepada bentuk realiti, kerana slogan-slogan itu bakal ditagih di akhirat nanti.

Slogan kebiasaan saat sambutan Maulidur Rasul diketahui umum. Bukan main manis sogan yang dijunjung. Kain rentang dan sepanduk diarak mengelilingi bandar dan kampung. Namun sedihnya, anak bulan Rabiul Akhir belum lahir, sunnah dan ajaran Muhammad sudah pun disepak terajang. 

Sedang perarakan beralangsung di Padang Merdeka, di puncak bukit sana, ada insan yang sedang merancang untuk merampas hak manusia lain secara zalim. Ketika sepanduk Maulidur Rasul di papan-papan tanda masih belum diturunkan, sudah ada manusia yang sanggup memadam peta syariat Allah yang pernah dilakarkan oleh Muhammad sallahu'alaihiwasallam suatu ketika dahulu.

Periuk kenduri maulid masih belum dibasuh, namun rasuah sudah mula di'kenduri'kan beramai-ramai di Putrajaya. Lenggang selawat dan burdah bertukar menjadi lengang mabuk di pub dan kelab malam, lenggang karaoke dan lenggang kangkung yang bersedia untuk menipu bila-bila masa.

Seakan tiada kesannya mengingati kelahiran dan perjuangan Rasulullah.

Kenapa..?

SYARAT MENCONTOHI NABI

Allah berfirman:
" Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingati Allah."
Sambut kelahiran Nabi, namun diri tak rindukan rahmat Allah, takutkan kematian, cintakan dunia, bencikan akhirat. Mana mungkin sambutan itu memberi kesan kepada mereka.

Rasulullah hanya kan menjadi contoh yang baik untuk mereka yang rindukan rahmat Allah. Untuk mereka yang rindukan akhirat. Sudut pandang yang berbeza akan membezakan cara manusia menilai apa yang berharga dalam hidup mereka.

Cintakan dunia akan menghasilkan mereka yang gila harta, pangkat dan kekayaan. Hasilnya, rasuah merata, peras ugut menjadi raja, monopoli memenuhi duit menjadi raja. Maka, mereka yang cintakan dunia tidak mungkin akan cintakan akhirat. Maka dia juga tak mungkin akan cintakan Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam.

Bencikan syariat dan agama Allah dan ulama' Allah, mana mungkin boleh mengaku sayangkan Rasulullah.

Salam Maulidurrasul. Salam Sunnah Rasul, Salam Syariat yang dibawa oleh Rasul.

HASANHUSAINI,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.


Tiada ulasan:

Facebook Comments Box: Bloggerized by HASANHUSAINI.COM

Catat Ulasan

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]