Isnin, 2 Februari 2009

Cerita Orang Kahwin

Cukup payah untuk saya menulis post ini. Tahun lepas, saya telah mencerna satu post yang lebih kurang sama isunya, Penangan Tahun Akhir.

Bukan semestinya orang agama itu ustaz atau ustazah. Tetapi sesiapa sahaja yang menganggap perkahwinan mereka bakal dan sedang terbina di atas dasar “fadzfar bi dzaatid-deen, taribat yadaak”.

Misalnya dalam isu yang baru timbul di Kolej saya baru-baru ini.

Perihal menjaga batas pergaulan lelaki dan perempuan sebelum berkahwin, saya tidak betah melihat ia dilaksanakan dalam bentuk yang menjadikan agama sebagai bahan senda dan ejekan.

Melihat lelaki dan perempuan berjalan tunduk hingga menyendeng tepi dinding.

Menyaksikan sepasang ahli dakwah ber’sms’ pada jam 4 pagi dengan alasan mengajak Qiamullail (konon).

Hinggalah kepada terjebaknya anak muda yang hafiz dan hafizah di dalam kancah zina…

Semuanya menggerunkan, dan ia banyak berlaku apabila nilai agama cuba diamalkan dalam bentuk yang tidak kena dengan ke-manusiaan seorang manusia.

Akhirnya saya mencuba sekali lagi untuk memahami keadaan dengan menstrukturkan pemahaman saya di atas bebutang keyboard ini. Puzzle-puzzle ini saya cuba fahamkan dan menyusunkannya menjadi satu formula yang mudah difahami.

Semuanya bermula dari satu peristiwa.

“ Bolehkah ana nak kahwin dalam masa terdekat…? ” tanya seorang sahabat memulakan bicara pada suatu petang.

Saya yang sedang tekun menaip tesis tersentak tiba-tiba.

Saya merenung tepat ke arah mata sahabat baik itu. Ternyata tidak ada tanda gurauan atau seloroh. Matanya bulat memandang tepat ke arah saya.

“ betul ke..? dah ada calon?” saya mencari kepastian.

“ Erm..Gadis idaman hati sejak sekian lama..” jawabnya dengan penuh keyakinan.

GADIS IDAMAN HATI

Gadis idaman hatiku. Itulah ayat kebiasaan yang lelaki ucapkan bila bertemu dengan gadis memikat.

Benarkah ianya sudah dinilai oleh hati? Atau masalah hati?

Atau hanya tertipu oleh pandangan mata yang belum pernah berpengalaman menilik seorang gadis..?

Tilikannya hanya pada kosmetik luaran.

Tilikannya hanya pada nasab yang senang diselidiki.

Tilikannya hanya pada wajah yang bujur telur dan mata redup yang ayu itu. Kecantikan zahiri yang selalu menipu.

Tilikannya hanya pada nilaian aset dan harta yang senang dihitung.

Soalan OBJEKTIF itu cukup SENANG dijawab.

Yang penting itu subjektif. Yang berkat itu subjektif. Rahmat itu subjektif.

Maka yang mempunyai agama itu yang sukar dikira. Sukar dicari. Sukar dinilai. Nilaiannya sesubjektif nilaian hati.

SIAPA YANG PUNYAI AGAMA

“Ana dah pilih seperti yang nabi ajar..yang punyai agama…” beliau menjelaskan lagi bila saya sedikit menyindir hati yang dimaksudkan.

“ budak tu hafizah..belajar agama lagi..” hujah itu di anggap kukuh baginya yang sudah angau.

Zaat ad deen

Zat. Bukan sifat. Sifat itu mungkin akan berubah kerana kebiasaan sifat itu hanya pada luaran.

Yang gemuk akan menjadi kurus. Yang kaya akan menjadi miskin.

Maka bidalan zat yang dipakai dalam hadit di atas melambangkan pegangan agama yang betul betul kukuh dalam diri gadis tersebut.

Bukan hanya beragama bila bergelar hafizah.

Bukan hanya beragama bila bertitle pelajar agama.

Masakan kita boleh menyifatkannya zaat ad deen andai tidak mampu menahan gelojak nafsu untuk mencari teman sebelum halal.

Mana mungkin muslimah yang zaat ad deen berikhtilat dalam keadaan yang tidak terkawal.

Mana mungkin muslimah yang zaat ad deen berhubung dengan lelaki ajnabi sedang dia seorang ‘pembaca kitab’.

Masakan seorang hamba yang ada ciri zaat ad deen membelakangi walinya dan WALINYA.

“apakah patut kamu menyuruh manusia ke arah kebaikan dalam masa yang sama kamu melupakan diri kamu sendiri sedangkan kamu adalah golongan pembaca kitab”


MENCARI GADIS


Mencari gadis. Ya. Itu bagus.

Tapi nilaian bagus itu bukan hanya pada muslimah yang bersifat gadis.

Gadis kebiasaannya ditafsirkan sebagai muslimah yang ‘bikir’.

Gadis itu hanya mungkin seketika. Sedangkan matlamat hidup kita bersama dengan ‘gadis’ itu adalah selepas kegadisannya. Itulah kebiasaannya yang menjadi penyebab utama borang cerai begitu laku di pejabat agama seluruh negeri. Mencari gadis menjadi agenda. Selepas gadis menjadi petaka.

Bagaimana bila yang ‘gadis’ itu sudah tidak lagi gadis?

Bagaimana jika yang jeilta itu sudah berkerutdan berkedut?

Bagaimana jika yang kaya itu sudah jatuh papa?

Yang panjang masanya itu pada waktu gadis itu bukan lagi gadis. Bila gadis itu bergelar wanita. Bila gadis itu sudah bergelar ibu. Bila gadis itu bergelar tua. Bagaimana ‘hati’ kita saat itu? Masih lagi bekenan di hati? Masih lagi menjadi pujaan hati?

Maka, carilah yang beragama. Bukan sekadar pelajar agama. Bukan sekadar yang bergelar hafizah (banat). Tapi yang bergelar muslimah, yang dipanggil mu’minah. Yang bersifat solehah.

“ kalau inginkan yang solehah, maka jangan di cari solehahnya. Tapi berusahalah untuk menjadi soleh.”

BILA MAMPU, KAHWINLAH

Umur muda? Bukan penghalangnya.

Mampu bukan usia sahaja ukurannya. Mampu juga subjektif.

Umum sahaja Al Ba ah yang digariskan WALI kita.

Bersedia pada spiritual. Bersedia pada ilmu di dada dan pengalaman dalam kotak jiwa. Bersedia menunaikan kewajipan dan tanggungjawab sebelum mewajibkan isteri untuk taat.

Bersedia untuk berfikir tentang peranan bukan menuntuk hak yang tak tertunai. Bersedia untuk taat pada DUA AYAH dan DUA IBU.

Bersediakah anda…?

Nikmat berkahwin bukan hak yang wajib kita dapat, tetapi tanggungjawab sebelum dan selepas berkahwin yang wajib kita tunaikan.

Berkahwin kerana perasaan tanpa mempedulikan tanggungjawab dan bebanan, adalah kebudak-budakan yang mengundang kehinaan.

Kematangan usia tidak semestinya mematangkan pertimbangan.

Kepetahan bercakap tidak menjaminkan anggungjawab tertunai.

Jangan pula kita tertipu dengan ‘kebahagian’ yang di ‘rasa’ sedangkan kita belum dibebankan dengan peranan dan tanggungjawab.

Kepada sang suami, bakal suami, isteri atau bakal isteri, pulanglah kepada Allah sebagai hamba-hamba-Nya. Hamba yang tidak pantas bercakap tentang HAK, kerana kehambaan itu hanyalah pada TANGGUNGJAWAB, TUGAS DAN PERANAN.

Fikir-fikirkanlah.. posting ini amat sarat dengan mesej tersirat dan tersurat.

Tiada ulasan:

Facebook Comments Box: Bloggerized by HASANHUSAINI.COM

Catat Ulasan

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]