Jumaat, 6 Februari 2009

Musuh Allah Berdiploma TAHFIZ

Tengah hari. Air cond terasa suam.

Hari ini hari terakhir kuliah. Selepas ini kami akan ‘berehat’ melalui study week. Jangan dibaca study weak.

Subjek Sejarah Mashaf ( Tarikh Mushaf ) diajar oleh Us Ibrahim Bin Abdullah. Terkenal dikalangan kami sebagai ayahanda kerana sifat lemah lembut dan peramah yang menyenangkan.

Beliau juga antara pensyarah senior di Darul Quran. Dan diantara pensyarah yang JELAS pendirian terhadap sesuatu pegangan dan pendapat mahupun isu.

Sepanjang perbentangan, sememangnya saya cukup tidak selesa. Gambaran tidak seindah khabar. Lagak abang-abang yang sudah khatam tidak seperti sepatutnya.

Bergelak ketawa yang berlebihan meski semasa perbentangan sedang berlangsung.

Ejekan dan perlian kepada mereka yang bersungguh-sungguh dan serius.

Sampukan yang tidak sepatutnya ketika majlis ilmu.

Mempersendakan ( kalau boleh diistilahkan sebegitu ) hukum-hukum Allah dan ayat-ayat-Nya.

Mengejek dan mempersendakan nilai wara’ pada sesetengah sahabat yang lain.

Semuanya merimaskan saya. Saya betul-betul tidak betah dengan perangai sebegini pada ahli ilmu yang mengaku ingin menjunjung kalimah Allah dan beramal dengannya.

SEDIH

Seorang sahabat keluar membentang hasil kerjanya. Saya bukanlah rapat sangat dengan beliau.

Tiba gilirannya, hampir semua rakan-rakan saya tergelak ( sengaja gelak ).

Gelak besar.

Kawan yang berada di depan untuk membentang hasil kerjanya merah padam.

Cuba memulakan perbentangan.

“ ni…”
“ ni …” Tersangkut.

“ Haa…gagap lagi, gagap lagi..” seragah seorang sahabat di belakang saya. Disambut dengan deraian ketawa.

Ya Allah. Kenapa harus ada perkara sebegini yang berlaku dalam negeri Al Quran.

Simpati saya memuncak. Terasa untuk bangun menegur.

Mujur ayahanda Us cepat membetulkan keadaan.

“ Teruskan sahaja…” kata Us Ibrahim.

Sepanjang perbentangan itu, pasti ada gelakan kedengaran.

Saya cukup rimas dengan keadaan begitu.

Sebelum selesai kuliah pada petang itu, Us Ibrahim bangun memberi nasihat.

“ Semuanya saya akan nilai untuk memberi markah…keseriusan kamu, akhlaq kamu, semuanya termasuk dalam nilaian saya.” Kata Us.

Semuanya terdiam. Yang terlibat tertunduk. Reti malu rupanya.

“ Saya nak pesan kepada kamu, perkara yang dah selesai jangan diungkit lagi…tambahan pula itu adalah salah satu dari hukum Allah, jangan kita nak menjadikannya sebagai bahan gurauan. Ikhtilat itu hukum Allah. Jangan main-main.” Nada Us Ibrahim bertukar serius.

“ Kamu kena ingat siapa kamu, dimana kamu berada, apa sebenarnya akhlaq kamu.. saya ingat, kamu semua telah khatam kitab Adab Hamalatul Quran karangan Imam Nawawi, bagaimana dengan praktikalnya..? Bagaimana dengan akhlaq kamu yang menghuni bumi Darul Quran, bagaimana dengan sikap pelajar Al Quran..tolong serius, jangan main-main .”

Us mengakhiri ucapan nasihatnya pada petang itu dengan meminta maaf. Toleransi dan lemah lembutnya mendorong beliau mengungkapkan perkataan yang tak perlu beliau ucap, “ana minta maaf kalau ada sesiapa yang terasa”.

Saya yang duduk tidak jauh dari beliau mengalirkan air mata. Entah mengapa. Terima kasih ayahanda. Jasamu tetap akan ku kenang.

PELIKKAH SAYA?

Tak normalkah saya andai tak mampu untuk ketawa saat mereka sednag tertwakan sahabat yang sedang tergagap-gagap membentang hasil kerjanya ?

Tak normalkah saya andai tak mampu untuk turut menghilai sama saat ‘lawak’ hukum Allah sedang ditayangkan?

Pelikkah andai saya bermasam muka kepada orang yang mepermainkan hukum Allah ?

Pelikkah saya anda terasa jelek dengan budaya huffaz zaman sekarang yang tandus akhlaqnya ?

Salahkah saya untuk mengajak rakan-rakan untuk turut sama bersifat warak, sesuai dengan akhlaq Huffaz?

Pelikkah orang yang menegur untuk kebaikkan ?

Teringat pesan seorang Us ( Dr ) yang dianggap sebagai pendidik ( Murabbi) kepada anak-anak muda di Kelantan sewaktu program untuk pelajar tahun akhir dan prasiswazah yang akan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

“ Saya nak tekankan, bila kamu dah graduasi nanti, jangan pula kamu semua berpaling menjadi musuh Allah. Janganlah yang balik dari Al-Azhar menjadi musuh Allah yang memegang ijzah Syariah. Jangan pula yang balik dari Ain Sham atau Alexanderia memegang title Pakar Bedah Hospital Iblis, jangan pula yang keluar dari Darul Quran macam nta, menjadi musuh Allah berdiploma Tahfiz ! .” Jelas beliau semasa berucap dalam majlis penutup sambil matanya memandang tepat kepada saya.

“ akulah satu-satunya wakil dari DQ...” Gumamku sendirian.

194 orang yang akan Graduasi pada Julai 2009, berapa orangkah yang akan menjadi pembela Agama Allah, dan berapa pula yang akan menjadi musuh Allah berdiploma Tahfiz ?

Na’uzubillah...

Tiada ulasan:

Facebook Comments Box: Bloggerized by HASANHUSAINI.COM

Catat Ulasan

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]