Melangkah masuk ke bilik 447 Hospital Pakar Perdana Kota Bharu, ter hidu aroma yang menyempitkan dada. Aroma yang menginsafkan jiwa keras. Aroma kelemahan, kelesuan, keletihan dan aroma KEMATIAN. Melihat ayahanda yang terkujur dengan mata terpejam, sedikit kaget untuk melangkah. Ku gagahi, duduk di sisi. Ibu yang dari tadi terlelap tidak perasan akan kehadiran anak sulungnya ini. Barangkali. Dahi ayah yang sedikit berpeluh itu, saya lapkan dengan helaian tisu dari kotak yang berjenama KPJ health. Anak syarikat yang beranaung di bawah Johor CORP, Tan Sri Ali Hashim sebagai Pengurus Besarnya. Dadanya yang terpasang beberapa urat wayar pelbagai warna itu kelihatan berombak.
Seminggu lepas, dia masih bersemangat. Masih gagah. Masih Mampu hilai ketawa bersama, apabila lawak spontannya diajukan. Namun kini, 'lawaknya' bertukar sedih untuk kami. Namun, kami tidak menangis bersama.
Sudah sekian lama tidak bermalam di 'rumah batu' ini. Terasa canggung. Kebiasaanya, sebulan sekali, pasti 'rumah batu' ini saya lawati. Mungkin takdirnya pada hari ini untuk melenturkan hati yang mungkin telah dihinggap karat mazmumah dek kerana lama tidak dibasuh denagn air mata keinsafan.
Ya Allah, seandainya hidup itu lebih baik untuknya, sihatkanlah ia, panjangkanlah umurnya, namun kiranya mati itu lebih baik untuknya, maka aku serahkan urusan ini padamu yang lebih mengetahui...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]