Khamis, 30 Julai 2009

Dia Lebih Sedih..CACATAN ISA

Saya pernah merasai kepedihan hidup tanpa ayah. 20 tahun lamanya diri tersepi dari belaian seorang ayah. Namun, setelah membaca warkah dari adik Suhaib, terasa bahawa pedih saya itu sekelumit cuma.

Baca dan hayati...

Nama saya Suhaib. Saya berusia 16 tahun. Ketika bapa saya, Mat Sah Satray ditahan di bawah ISA pada 18 April tahun 2002, saya berusia 8 tahun 5 bulan. Saya masih terlalu kecil dan tidak dapat mengingati semua peristiwa. Ketika itu saya sedang tidur, tetapi terjaga apabila beberapa orang polis masuk ke bilik tidur saya dan dengan kasar menyelak cadar, mengangkat hujung tilam, menarik rak baju, membuka serta menutup almari pakaian hingga mengeluarkan bunyi kuat yang membuatkan saya terjaga.

Umi, panggilan saya pada emak, mendukung saya dan diletakkan di sebelah abah yang ketika itu duduk di sofa di ruang tamu. Aku menoleh ke arah Abah dan nampak kedua-dua tangannya bergari. Aku menangis kerana terlalu takut melihat gari itu. Gambaran gari yang melengkar di kedua-dua belah tangan Abah amat sukar untuk hilang dari minda saya......

Agak lama juga polis menggeledah rumah kami. Seorang wanita sibuk menyoal Abah dan Umi bergilir-gilir dan kemudian menulis sesuatu di atas kertas. Manakala lima orang lelaki yang lain, sibuk membuka rak buku Abah, mengeluarkan Quran dan buku-buku agama serta menyelak-nyelak setiap muka surat dengan pantas. Saya tidak tahu, apa yang mereka cari. Tidak lama selepas itu, mereka membawa Abah masuk ke dalam van putih. Umi dukung saya dan kami berdua sempat melambai tangan kepada Abah. Sebaik sahaja van putih hilang dari pandangan, aku menangis lagi sambil memanggil-manggil Abah. Saya baring di riba Umi hingga tertidur...

Saya bagaikan melalui satu mimpi buruk di mana Abah dilarikan dari rumah oleh sekumpulan lelaki. Bila terjaga dari tidur, saya mencari Abah di semua bilik termasuk bilik air tetapi tidak ditemui. Saya mendapatkan Umi yang sedang membancuh minuman untuk bertanya tentang Abah, tetapi saya nampak Umi juga sedang menangis....

Saya asyik teringatkan Abah. Dari pagi saya tunggu Abah, tengah hari, hinggalah cuaca gelap dan masuk waktu maghrib, Abah masih juga belum pulang. Saya mula menangis kerana rindukan Abah... Ketika itu telefon rumah berdering, saya dan Umi berlari ke arah telefon tetapi apabila gagang diangkat, tiada siapa yang bercakap di hujung talian....

7 tahun telah berlalu Peristiwa buruk itu telah berlalu tujuh tahun yang lalu, namun ianya sukar untuk hilang semuanya dari fikiran saya. Tujuh tahun lalu Abah saya dibawa pergi, hingga kini beliau tidak pernah balik ke rumah kami.

Pada tahun 2009 ini, maknanya hampir separuh usia saya membesar tanpa belaian kasih sayang, bimbingan dan sentuhan Abah walaupun beliau masih hidup. Saya membesar bertemankan barang-barang peribadinya seperti jam tangan, dompet, baju, seluar, kain pelikat dan buku-buku beliau. Saya sekadar mengikuti nasihat dan kata-kata beliau melalui surat-surat kirimannya. Jika rasa terlalu rindu padanya, saya akan pakai baju, seluar dan kain pelikat beliau.

Saya letak gambar Abah di dompet duit bersebelahan dengan gambar saya.

Umi akan memastikan kami melawat Abah sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Namun waktu lawatan selama 45 minit itu jauh dari mencukupi untuk Abah menghilangkan rindu, memberikan bimbingan, tunjuk ajar serta melepaskan kasih sayangnya kepada saya.

Satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah ketika lawatan pertama ke Kem pada 24 Jun 2002. Setelah hampir tiga minggu tidak melihat Abah sejak pertemuan terakhir di Bukit Aman, saya rasa terlalu rindu kepadanya. Kami berbual selama 45 minit dan di akhir pertemuan, Abah dibenarkan keluar dari bilik kurungan untuk bersalaman dengan saya dan Umi. Abah mengangkat, mendukung dan mencium saya berkali-kali. Saya terlalu rindukan Abah dan apabila warden bertugas menyuruh Abah masuk kembali ke bilik kurungan, saya menangis dan tidak mahu melepaskan pegangan pada lengan Abah...

Bagaikan binatang di zoo Sejak hari pertama penahanan Abah hinggalah di saat ini, saya tidak pernah berpeluang mengerjakan solat dan membaca quran bersama beliau. Saya tidak mengharapkan duit belanja atau keluar membeli belah kerana memahami semua itu tidak mungkin dapat dilakukan bersama. Namun, satu perkara yang lebih memedihkan bermula pada bulan April 2005, kami keluarga tahanan hanya dibenarkan bertemu menggunakan interkom di sebalik dinding kaca lutsinar. Bila sahaja melihat Abah di sebalik cermin kaca, hati saya terasa hancur... Ketika itu, saya teringat binatang di zoo yang diletakkan di dalam kotak kaca. Apakah dosa dan kesalahan Abah diperlakukan sedemikian rupa. Sejak tarikh itu, setiap kali melawat Abah, saya hanya berpeluang bercakap melalui interkom dan duduk di sebalik kaca. Saya hanya dapat melihat wajah Abah, tetapi tidak dapat menyentuhnya...hati ini memang pedih yang teramat sangat.

Tujuh tahun saya dipisahkan dari Abah, namun tiada sebarang tanda beliau akan dibebaskan. Walaupun pada tahun 2009 ini ada dua pembebasan beramai-ramai yang mendapat tempat di dada media, namun nama Abah saya tiada dalam kedua-dua senarai pembebasan tersebut....

Perpisahan dengan Abah benar-benar membuat saya rasa rendah diri dan terpinggir. Saya terlalu ingin menjalani kehidupan harian bersama Abah. Saya ingin makan, berbual, bergurau senda dan melakukan pelbagai aktiviti harian bersamanya. Saya juga punya keinginan mempunyai keluarga yang lengkap, sama seperti orang lain.

Hingga kini saya tidak faham kenapa Abah saya, seorang yang pendiam dan mudah tersenyum, masih juga belum dibebaskan. Saya tidak tahu apakah sebenarnya kesalahan beliau kerana tahanan ISA lain yang ditahan bersama Abah tujuh tahun dulu, hampir semuanya telah pun dibebaskan... namun Abah masih tetap dikurung di Kem. Saya setuju dengan pendapat Umi bahawa Abah sepatutnya dibicarakan di mahkamah. Kalau benar ada bukti menyatakan dia salah, sekurang-kurangnya hakim akan menetapkan, bilakah tarikh akhir dia menjalani kehidupan sebagai banduan. Saya amat sedih mengenangkan kehidupan Abah dalam ketidakpastian selama tujuh tahun dan terus berlarutan.

Saya akan terus berdoa pada Allah supaya Abah segera dibebaskan...

*Testimoni ini ditulis oleh Suhaib Mat Sah, anak kepada tahanan ISA Mat Sah Satray. Mat Sah Satray ditahan sejak tahun 2002, dituduh terlibat dalam aktiviti Jemaah Islamiah, namun tidak pernah dibuktikan di mahkamah. Dipetik daripada blog merdekareview.

Adikku..akan ku kesat air matamu di pagi 1 Ogos ini...

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Rabu, 29 Julai 2009

Teori Evolusi : Satu Keyakinan



Meski rambut bertukar warna, wajah agak berbeza, Dasar mereka terhadap Yahudi tetap sama. Kezaliman mereka kepada Palestin tetap sama.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Selasa, 28 Julai 2009

Huffaz : Blueprint Untukmu

Saya membaca dan terus membaca. Dari buku, komputer, internet. Bahkan juga dari handphone. Membaca menambah maklumat, menajam minda, mengasah fikiran dan sebagainya. Boleh dikatakan, segala yang timbul dari proses membaca adalah kebaikan. Justeru, saya menanam minat untuk terus membaca.

Kini, ingin pula berkongsi manfaat dari usaha saya untuk generasi yang menjadi harapan ramai orang untuk mencetuskan revolusi dan tranformasi dalam masyarakat. Islah masyarakat. Itulah generasi huffaz.

Syed Qutb menantikan generasi ini.

Penantian ummat untuk merasai semula nikmat berada dibawah naungan pemerintahan islam semakin tidak berpenghujung. Hanya yang menjadi bekal untuk terus digenggam kepercayaan itu adalah sabda Rasul mulia, bahawa umat ini nantinya akan kembali ke bawah suluhan Minhaj Nubuwwah, seperti di zaman pemerintahan Khulafa’ Ar Rasyidin.

Pada tahun 60an, penantian itu seolah bakal berakhir dengan berlakunya pemisahan secara besar-besaran sama ada secara pengenalan ( identiti ) kepada entiti di antara islam dan kuffar. Mereka yang menyokong dan mendokong kelihatan jelas, di pisahkan oleh dua jurang yang luas. Sehingga, Almarhum Dr. Fathi Yakan menulis tentang masa depan milik islam hanya dengan syarahan idea yang tidak lebih dua helai dalam Kitabnya : Apa Erti saya Menganut Islam.

Saban tahun, penantian seakan makin jauh dari titik akhir. Sehinggalah ke zaman kita pada hari ini. Keyakinan itu semakin terhakis. Islam seolah akan sentiasa berada di posisi bertahan. Kalau menyerang pun, hanyalah kerana kelemahan musuh, bukan dengan kekuatan kita.

Lalu, saya semakin rindukan Muhammad S.A.W kembali menyelamatkan ummat ini. Namun pastinya ia adalah mustahil. Saya rindukan juga Abu Bakar yang penyayang... Umar yang perkasa... Uthman yang akhlaqnya menawan..Ali yang bijaksana... Namun hampa, kerana mereka telah tiada.

Lalu, saya mengubati duka ini dengan sabda Nabi :

Aku tinggalkan untuk ummat ini dua perkara : yang seandainya mereka berpegang dengan kedua aset tersebut, mereka tidak akan sesat selamanya : Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah.

Ya. Al-Quran masih di sisi saya. Hadith masih terjilid dalam dua sahih utama, tujuh sunan dan ribuan jilid lain.

Namun, sedih saya masih memuncak. Teks-teks itu tak mampu menerangi kegelapan jahiliyyah yang semakin pekat menyelubungi tanpa pelaksana kepada kod-kod yang terkandung dalam teks tersebut.

Seperti yang dilakukan oleh generasi yang menjadi kerinduan saya. Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat baginda pantas dalam merealisasikan teks itu.

Jelas, dunia ini memerlukan rijal yang mampu menginterpretasikan isi-isi teks itu dalam hidup mereka untuk menerangi dunia ini.

Saban tahun, ribuan Huffaz dilahirkan. Sama ada dari rahim Maahad Tahfiz Swasta, Separa kerajaan, kerajaan negeri bahkan kerajaan pusat. Namun, badai dan taufan dari generasi ini masih belum melanda untuk melakukan perubahan dalam masyarakat tempang hari ini. Sistem tempang yang menggelapkan jalan menuju tuhan.

Politik tempang dengan demokrasi.

Ekonomi tempang dengan kapitalisme dan sosialisme.

Pendidikan tempang dengan sekularisme dan dualisme.

Sejarah tempang dengan penipuan dan manipulasi.

Pemerintahan negara tempang dengan korupsi, nepotisme dan kroni.

Mana huffaz yang bangkit dicelah ketempangan itu membekalkan cahaya dari Al-Quran? Tiada.

Tiada pada pandangan saya. Atau, pandangan saya rabun. Mungkin juga pandangan saya tempang. Namun itulah yang mampu saya simpulkan dengan dua mata anugerah Allah ini.

Tenaga 'nuklear' huffaz terbazir begitu sahaja.

Maka, atas dasar rasa bertanggungjawab, saya cuba dengan keringat saya yang kerdil untuk membentangkan sedikit pandangan untuk menyelesaikan masalah ini.

Ketiadaan autoriti membataskan saya untuk mengulas secara mendalam dalam sudut yang spesifik. Justeru, saya mengharapkan juga buah fikiran bernas dari sahabat para pembaca untuk memperinci, menambah serta memperelokkan idea ringkas saya ini.

Dalam hal ini, mungkin saya banyak terpengaruh dengan idea Prof Dr.Sidek Baba, semenjak saya meneliti draf pelaksanaan Program Persijilan DQ-UIAM dua tahun yang lalu.

Idea membekalkan tenaga Huffaz yang mahir dalam bidang teras pengurusan sebuah negara. Dalam kata lain, memahirkan Huffaz dengan ilmu untuk mengurus UMMAT.

Seperti yang kita maklum bahawa, untuk memerintah dan mengurus urusan dunia supaya betul dengan kehendak Allah memerlukan tenaga pakar dalam bidang-bidang tertentu. Bukan sekadar pakar dalam menyediakan dalil-dalil yang mewajibkan terlaksananya syariat Allah di muka bumi. Tetapi, pakar yang mempu -sekali lagi- menginterpretasikan teks Al-Quran dan Sunnah itu di lantai peradaban ini.

Teks sahaja belum mampu untuk menyuluh ummat. Perlu ada rijal yang arif untuk menulisnya di lantai peradaban ini.

Untuk mengurus siasah dan sistem politik, kita bukan hanya memerlukan ahli Quran yang mahir mencedok dalil-dali sahih dari Al-Quran dan hadis, namun dalam masa yang sama memerlukan mereka yang pakar dalam falsafah politik dunia. Pakar dalam kod politik Kapitalis, sosialis dan komunis, agar nanti, tidaklah berlaku usaha meruntuhkan jahiliyyah dan menubuhkan jahiliyyah moden.

Begitu juga dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sistem teras pemerintahan lain yang perlu menerima sentuhan dari generasi Al- Quran.

Kenapa Generasi Al-Quran?

Pasti ada yang bertanya, kenapa perlu obses sangat dengan generasi Al-Quran?

Saya tiada jawapan yang konkrit, kenapa generasi Al-Quran yang saya pertaruhkan untuk mengubati kedahagaan ummat. Cukuplah keyakinan saya terhadap hujjah yang telah tersedia oleh Syed Qutb dalam kitabnya : Petunjuk Sepanjang Zaman.

Namun, sedikit hujjah yang mungkin boleh dijadikan sandaran. Bahwa generasi al Quran yang diharapkan adalah generasi yang tidak memandang islam pada cebisan tertententu lantaran Manual Operating itu sudah berada di dada mereka.

Moga tidak ada lagi orang yang hanya memandang jalan keluar dari kegelapan jahiliyyah ini hanya pada sistem tempang yang disyahadahkan dengan kalimah arab.

Bukanlah jalan keluar itu pada Syariah semata. Bukan juga pada Akhlaq dan kejiwaan. sahaja Bukan juga pada falsafah dan pendidikan. Tidak pada kod undang-undang dan sistem pemerintahan. Bukan hanya pada politik dan pemerintahan. Bukan hanya pada ekonomi dan kewangan.

Hanya sanya, jalan itu adalah ISLAM yang sumbernya Al-Quran.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Huffaz : Perbetulkan Posisi Kita

“Assalamu'alaikum abang, ana ada hajat yang tak tertunai lagi…nak minta tolong sikit boleh? Itupun kalau free..?” Tanya seorang junior yang merupakan pengerusi IQRAC 2009, Hanif.

“Insyaallah..ada apa yang boleh ana bantu?”

“Ana dah lama bercadang untuk menemukan abang dengan pimpinan-pimpinan Iqrac…”

Usrah rupanya.

“Insyaallah, pukul berapa..?” Saya cuba untuk meluangkan masa bila usrah yang ingin dihidangkan kepada saya.

“5.30 petang, di bilik gerakan Iqrac”

Selesai beberapa urusan di pekan Kuala Kubu Baru yang masyhur di kalangan sahabat-sahabat Darul Quran dengan jolokan Pekan Koboi, saya bergegas kembali ke asrama untuk memenuhi jemputan tersebut.

“Alhamdulillah, hari ini kita bakal disajikan dengan sedikit pengisian berharga dari abang kita…” begitulah lebih kurangnya isi ucapan aluan dari pengerusi majlis.

Ya Allah, pengisian rupanya.

Tanggapan saya, hanyalah perjumpaan untuk bertaaruf lantaran itulah perjumpaan pertama kami. Meskipun mereka sudah memikul amanah kepimpinan IQrac selama lebih sebulan yang lalu.

Secepat kilat, saya merangka isi yang bakal saya kongsikan bersama adik-adik baru saya ini.

Seperti biasa, persoalan yang tidak akan lari dari menjadi tema saya apabila berkesempatan bersama penghafal Al-Quran ialah, Kenapa Nak Hafal Quran?

Namun, sentuhan permulaan diringankan sedikit untuk memikat hati-hati yang belum pernah berdamping dengan saya secara peribadi. Pelbagai pengalaman saya kongsikan bersama mereka.

Pengalaman saya yang pernah hidup ‘dua alam’ itu saya ulas sebaik mungkin supaya dekat di hati mereka. Lebih senang untuk di ambil manfaatnya.

Alam belajar dan perjuangan mahasiswa dalam proses dakwah dan tarbiah kampus. Begitu juga alam pekerjaan serta perjuangan realiti dalam dakwah dan tarbiah serta siasah dalam masyarakat.

Meski saya hanya bekerja selama kurang dua bulan, namun ianya amat meninggalkan kesan yang amat besar kepada perubahan yang sedang saya alami sekarang.

Bermula bagaimana saya cba untu memahami betapa sekularnya pendidikan yang sedang dihadapi oleh lebih 1 juta pelajar di Malaysia sehingga mendalami bagaimana rosaknya dua sistem yang mempengaruhi kehidupan para pemuda, institusi rumah tangga dan institusi pendidikan.

Rosaknya institusi rumahtangga berpunca dari hilangnya sifat amanah dikalangan ibubapa dalam MENDIDIK anak-anak. Sehingga kebanyakan mereka hanya pandai ‘mengajar’ apabila anak-anak melakukan kesalahan.

Rosaknya institusi pendidikan apabila guru-guru hilang amanah juga dalam MENDIDIK para pelajar, malah lebih teruk, hanya mengajar dengan berorientasikan A semata-mata.

Dan, saya serta sahabat baik, Syaukani didatangkan untuk menjadi ubat kepada dua sakit parah ini.

Kesan langsung dari dua penyakit ini, anak-anak muda ( saya anak-anak ‘tua’) menjadi kebingungan dalam mencari contoh untuk mereka hidup. Apa yang lebih teruk ialah, mereka kehilangan tempat untuk meluahkan perasaan seandai ada krisis yang berlaku sepanjang tempoh masa mereka mencari identiti untuk di'pakai' seumur hidup.

Hakikat kesedihan yang berlaku ialah, kebanyakan dari mereka tersilap pilih teman komunikasi lantaran rosaknya dua intitusi terdekat dengan mereka, Keluarga dan Warga pendidik.

Maka, pesan pertama saya kepada mereka untuk mengambil tugas menyelamatkan generasi muda sebaya mereka dengan menjadi saluran alternatif untuk generasi tersebut meluahkan perasaan . Menyerap frekuensi gelombang tekanan yang tinggi (beta) dengan mendengar rintihan batin mereka.

Itulah yang saya lakukan dalam usaha kecil saya untuk mengubati barah hasil virus dua intitusi penting sepanjang bekerja di Kuantan.

Sesi kedua, persoalan ditimbulkan sebelum sempat saya meneruskan point berikutnya.

“ Macam mana generasi huffaz nak selamatkan orang lain, sedang mereka berada di posisi untuk diselamatkan. dengan akhlaq yang tak bagus malah perangai yang buruk dan cacat di mata masyarakat..?” tanya seorang junior yang sedari tadi menjarangkan kadar kerdipan matanya, tanda tekun mendengar.

HUFFAZ TERSILAP POSISI

Itulah kesimpulan baru yang saya dapat timbulkan setelah merenung sejenak sebelum memberi respon terhadap persoalan yang dilontarkan sekejap tadi.

Kebanyakan (malah hampir seluruh) huffaz yang lahir ke dalam masyarakat hari ini berada di posisi yang perlu diselamatkan.

Berbeza dengan figur-figur yang lahir dalam generasi terdahulu. Mereka gah menyumbang di dada masyarakat.

Generasi baru perlu diselamatkan dalam medan pelajaran sehingga perlu diberi tempat untuk belajar, bukan bersaing dengan pelajar-pelajar lain di medan tersebut.

Perlu diselamatkan dalam bidang pekerjaan sehingga perlu disediakan peluang pekejaan, lantaran ketempangan mereka dalam memenuhi kompetensi sebagai seorang pekerja yang baik.

Perlu ditunjuk ajar berpanjangn, sedangkan dalam dada mereka adalah kitab petunjuk yang tidak diragui lagi.

Perlu disuap, dibelai dan diusap. Pasif dan tidak reaktif, apatah lagi proaktif. Berada di posisi yang perlu diselamatkan, bukan penyelamat.

DI MANA SILAPNYA?

Saya yakin, para pemikir yang telah memerah otak membentangkan draf untuk menubuhkan institusi tahfiz sejak berzaman mengimpikan graduasi Huffaz bakal terjun dalam masyarakat sebagai penyelamat.

Bukan yang sebaliknya, yang diselamat.

Kenyataan dari Dr.Sidek Baba tempoh hari membenarkan hepotesis saya ini. Temu ramah saya secara tidak langsung ketika sedang menyiapkan draf cadang tajuk pertama tesis saya dengan beberapa orang pengetua dan ahli lembaga dari beberapa buah institusi tahfiz juga sebegitu.

Ibu bapa yang menginfaqkan anak mereka untuk memikul tugas sebagai Huffaz juga mempunyai harapan sebegitu.

Namun, kenapa begini hasilnya huffaz generasi millenium yang serba canggih?

KRISIS NILAI DAN WORLDVIEW

Saya pernah berbual dengan seorang ustaz yang bertugas sebagai pensyarah di sebuah institusi pengajian masyhur. Beliau lulusan Universiti Al-Azhar. Kiblat ilmu.

“Nta nak sambung degree di jami’ah mana?”

“Insyallah, Jamiah Mu’tah ustaz..” saya cuba yakin dengan harapan saya itu.

“Ana tak nak kata bagus, juga tak bagus…tapi terpulang kepada yang menjadi faktor KENAPA nta nak ke sana, pastikan bukan kerana terikut-ikut dan juga kerana tengok ramai yang cemerlang dan berkualiti dari sana, ana Azhari, namun ana sudah tidak mampu berbangga dengan Azhari sekarang yang hilang TUJUAN mereka dalam persoalan KENAPA mereka memilih Azhar sebagai medan jihad ilmu mereka” jelas ustaz secara panjang lebar.

Persoalan KENAPA mudah untuk diselesaikan oleh generasi salaf dalam dunia tahfiz.

30 tahun lepas, industri tahfiz bukanlah bidang yang menjadi tumpuan. Justeru, yang memilih untuk terjun ke sini merupakan mereka yang sebetulnya jelas dengan TUJUAN dan persoalan KENAPA mereka memilih jalan ini.

Tidak pada generasi khalaf. Generasi yang sudah kabur akan TUJUAN dan jawapan kepada persoalan KENAPA lantaran banyak insentif dan ganjaran yang disediakan. Tambahan pula, institusi tahfiz kini telah menjadi kegilaan ramai lantaran ianya sudah menjadi satu sistem pengajian alternatif dari sistem sekular.

Maka, ramai dikalangan 'ahli baru' dalam dunai huffaz tersilap memilih bidang kerana tersilap dalam menilai peranan sebenar huffaz dan tersilap dalam menajwab persoalan kenapa nak hafal Al-Quran.

Memilih dunia Huffaz dengan melihat faktor kecil akan menjadikan huffaz yang lahir itu cacat dan tidak sempurna. Malah, mereka bukan menjadi generasi penyelamat, bahkan membebankan kerana terpaksa diselamatkan.

Maka, point kedua dan terakhir saya ialah, KENAPA NAK HAFAL QURAN- dan saya cuba membantu mereka mencari jawapan itu sebaik-baiknya.

Saya tak mahu digelarkan sebagai penentang sunnah. Juga peruntuh institusi huffaz yang mulia. Juga tak ingin digelarkan sebagai penulis jahat yang tak mampu menghafal Al-Quran lantas dengkikan mereka yang berjaya meraih gelaran Al-Hafiz.

Moga generasi yang bakal mendaftarkan diri sebagai HAMALATUL QURAN jelas tentang TUJUAN dan jelas juga dengan jawapan KENAPA NAK HAFAL QURAN…?

Moga usaha sekecil ini mampu menjadi sebutir pasir dalam binaan idea generasi Al-Quran Unik yang digagaskan Syed Qutub.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Ahad, 26 Julai 2009

Belajar Menjadi Hebat

Pulang dari berkongsi pendapat tentang masa depan perjuangan bersama sahabat-sahabat yang telah berjaya mendaftar sebagai MAHASISWA di Darul Quran, saya bertandanga ke bilik adik usrah saya, MarBu.

Lewat petang tadi, beliau mengajak saya untuk sama-sama menyertai diskusi tentang isme-isme baru di dunia hari ini.

Cukup bagus untuk berdakwah, dengan mengenali musuh dan pakaiannya. Supaya kelak, kita tak tersilap menembak. Dan tak tersilap ditembak kerana tersilap memilih identiti.

Timbul rasa malu, bila berada dalam perbincangan mereka.

Mencelah dalam sanubari ini, rasa kerdil. Meski dulu, mereka adik-adik saya yang kecil-kecil. Marwan, As'ad , Amirul dan Khairi dari Ghuraba', Fakhrur, Hamdi dan rakan-rakan lain. Mereka membanggakan saya.

Pembentang membentang dengan baik. Disambut dengan perhatian yang juga baik. Isi-isi yang bernas dipakejkan dengan hujah yang tuntas.

Generasi adik-adik saya kini telah jauh berubah. Malah telah diubah. Gaya pemikiran, gaya intelktual, segala gaya yang bagus untuk ulama masa hadapan.

Namun bukan saya agen pengubahnya. Berlepas diri dari mengaku, sayalah puncanya.

Moga dengan adanya generasi mereka di DQ, huffaz akan kembali mencelik matanya dari lena yang panjang.

Moga itulah yang akan terjadi...hanya sebuah harapan...

Adik-adikku...bersama kalian, aku memaknakan kehidupan...


Komen Anda Adalah bauh Tangan Terbaik [hasanhusaini]