Sabtu, 26 September 2009

Laut Mati Yang Mematikan Hati

Setelah hampir separuh purnama saya bermastautin di bumi Syam, beberapa perancangan ziarah diatur untuk menjinakkan kami dengan bumi gersang ini sebelum bermulanya sesi pengajian pada minggu depan. (Baca hari Ahad, 27 Sept 2009).

Tempat pertama yang bakal dilawati setelah ke Makam Nabi Nuh dan Qal'ah Salahuddin tempoh hari ( ceritanya bakal menyusul) ialah ke Laut Mati.

Laut Mati terletak kira-kira 80 km dari Amman- ibu negara Jordan, bersempadan dengan Tebing Barat, Palestin yang kini diduduki oleh Yahudi Laknatullah 'Alaih. Pesisir laut sepanjang lebih 60km itu terbahagi kepada Tebing Barat di sebelah Palestin, dan Tebing Laut Mati di sebelah Jordan. Ukuran rentas di antara dua tebing adalah sejauh 18km.

Laut Mati (البحر الميت‎) merupakan tasik air masin yang terletak di kedudukan serendah 418 m di bawah aras laut, kedudukan terendah di atas daratan, dan juga tasik masin yang terdalam, sedalam 330 m.

Airnya mempunyai kemasinan kedua tertinggi di dunia selepas Laut Asal di Djibouti dengan kemasinan hampir 30 %. Ini bermakna, dalam sekilo air laut mati, terdapat 300gram garam, 8.6 kali lebih masin dari laut biasa. Oleh kerana itu tiada satu pun hidupan yang boleh hidup di dalamnya dan kapal tidak boleh berlayar di atas permukaannya. Cabang sungai utamanya ialah Sungai Jordan dan Wadi Mujib.

Kesan Laut Mati ini membuktikan kebenaran dari ayat Al-Quran mengenai bala yang telah menimpa kaum Nabi Luth a.s di atas maksiat yang mereka lakukan kira-kira 3900 tahun yang lampau.

Nabi Luth a.s adalah anak saudara kepada Nabi Ibrahim a.s. Bapa baginda Hasan bin Tareh adalah saudara kandung Nabi Ibrahim a.s. Baginda mengikuti Nabi Ibrahim berhijrah dari Babylon (Iraq) ke Palestin yang dikenali dengan wilayah Kana'an pada ketika itu.

Seterusnya mereka ke Mesir dan berpisah di situ. Nabi Luth a.s berhijrah ke satu kawasan bernama Sodom dan Jemoroh yang kini merupakan kawasan bernama Jazirah Lisan terletak di selatan Laut Mati.

Menurut riwayat, kaum Nabi Luth a.s berjumlah 4 juta orang. Kaum Nabi Luth a.s dibinasakan oleh Allah S.W.T disebabkan melakukan perbuatan terkutuk iaitu Homoseks yang belum pernah dilakukan oleh kaum terdahulu.

Cerita tentang Nabi Luth dan kaumnya banyak tercatat secara jelas di dalam Al-Quran.

Antaranya, ayat 80-81 Surah Al-A'araf :
Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan Yang keji, Yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?
"Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu Dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum Yang melampaui batas".

Dakwah dan amaran keras Nabi Luth a.s tidak dipedulikan oleh kaum Sodom dan Jemoroh malah mereka bertindak untuk mengusir Nabi Luth a.s dari wilayah tersebut dan menuduh Luth a.s hanya berpura-pura menunjukkan kebaikan.

Setelah dakwah dan usaha baginda tidak berhasil, maka berdoalah Nabi Luth a.s supaya ditimpakan bencana terhadap kaumnya yang sudah melampaui batas.

Lalu Allah mengutuskan malaikat untuk membalikkan bumi Sodom sekaligus menghancurkan seluruh kaumnya.

Firman Allah di dalam Surah Hud ayat 82 :

Maka apabila datang (Masa perlaksanaan) perintah kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus Segala Yang ada di muka buminya) dan Kami menghujaninya Dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.

Begitulah kisah umat Nabi Luth a.s yang telah dilenyapkan oleh Allah setelah mengingkari arahan dan ajakan dakwah Nabi mereka.

Berkaitan dengan cerita Nabi Luth juga adalah berkaitan dengan isterinya yang derhaka. Title sebagai isteri seorang nabi tidak menjamin seseorang itu mendapat hidayah, apatah lagi untuk dijamin syurga.

Perbandingan yang cukup jelas dan dekat dihati telah dirakamkan oleh Allah dalam Surah Al-Tahrim, ayat 10-12. Sila rujuk tafsir untuk meneliti bahasa Al-Quran yang sungguh indah itu.

Isteri-isteri Nabi Nuh dan Nabi Luth dibandingkan oleh Allah dengan Isteri Firaun yang kufur. Isteri-isteri Nabi Nuh dan Nabi Luth mendapat neraka meski tidur sekelambu dengan Nabi Allah, manakala Isteri Firaun yang kufur mendapat syurga yang kekal abadi meski suaminya adalah penderhaka besar yang mengaku tuhan.

Laut Mati juga sinonim dengan cerita tentang kemenangan tentera Rom ke atas Tntera kerajaan Parsi. Berita yang menggembirakan ini dikhabarkan oleh Allah saat Rom dimbang kekalahan yang teruk sehingga bangsa arab beranggapan bahawa, adalah amat mustahil untuk Rom kembali bangkit, malah untuk mempertahankan diri saja, mereka sudah tidak berdaya. Negeri-ngeri jajahan Rom seperti Syria dan sebagainya dirampas oleh Parsi dalam operasi ketenteraan itu.

Namun, turunnya wahyu Allah yang terakam di dalam surah Al-Ruum, ayat 2 dan 3 amat mengejutkan dan menerima cemuhan dari bangsa arab. Namun, deduksi Al-Quran yang merupakan wahyu itu tidak dapat disangkal, akhirnya Rom berkuasa semula, dan kemenangan itu dicatatkan di sekitar laut mati yang terendah. ( Adna Al-Ardh). Untuk bacaan lanjut, saya cadangkan untuk merujuk tafsir-tafsir seperti Al-Azhar dan Fi Zilal Al-Quran.

Kembali kepada ziarah saya.

Sebelum bertolak, saya sempat meneliti beberapa cerita tentang Laut Mati dari beberapa kitab, buku dan artikel di internet. Sambil memasak bekalan, saya bertanyakan tentang tentatif perjalan kami. Bertolak selepas Asar dan kembli selepas Isya'. Sempat juga saya mencadangkan agar dipesan secara tahqiq agar niat untuk ke Laut Mati diperbatulkan andai ada yang tersasar untuk berkelah di Laut Mati.

BANGSA YANG MENYEDIHKAN

Perjalanan merentas bukit batu dan jalan yang berliku-liku selama lebih kurang 2 jam, kami tiba di Pinggir Laut Mati. Sungguh mengejutkan saya, sebuah kawasan peranginan yang cantik terhias di depan mata.

Bagai tidak percaya. Pantai Amman. Begitu yang terpahat di papan tanda.

Ya Allah, bangsa muslim apakah begini..?

Saya menepuk-nepuk dahi beberapa kali.

Tidak kurang 500 orang arab datang bersukaria, berkelah, mandi-manda dan ada juga yang datang mencari 'berkat' Laut Mati.

Usahkan untuk merasakan bahawa inilah bumi yang telah Allah zahirkan azabnya terhadap kaum Nabi Luth 3900 tahun dahulu untuk diambil iktibar dan pengajaran, Yahudi di depan mata mereka diseberang laut (Tebing Barat) seakan dijadikan jiran yang baik untuk disantuni.

Saya termenung panjang. Pastinya hancur luluh hati saudara seaqidah di Palestin melihat rakan sebangsa dan seagama mereka hanya bersantai di pinggir Laut Mati yang hanya 18km dari Tebing Barat, tanah Palestin yang kini telah dijajah Israel yang dilaknat.

Sebelum meneruskan agenda lain, saya tampil atas rasa ingin berkongsi, menasihati sahabat-sahabat yang turut sama dalam ekspedisi kali ini agar meneliti dalam diri masing-masing, dibimbangi adanya sifat-sifat yang sama seperti sifat kaum sodomi yang diazab dan yahudi yang dilaknat.

Moga hati saya yang terlebih dahulu lunak untuk dimuhasabah.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Artikel sebelum : "Kita Pernah Berjanji"

Rabu, 23 September 2009

Kita Pernah Berjanji...

Hujung minggu, saya berkesempatan ke bandar untuk mencukupkan bekalan kehidupan harian. Pengubat bosan, saya bawa bersama seorang sepupu yang baru berusia 4 tahun.

Umur yang sedang mabuk mengeja. Segala-galanya ingin dieja. Sehinggakan model kereta dan no.plat pendaftarannya sekali.

Fitrah benda baru, segalanya enak.

Namun hakikat sebenar adalah untuk menunaikannya dengan niat untuk menyumbang manfaat nanti, apakah ianya masih segalak itu saat membaca menjadi kewajipan?

Saya pernah menjadikan tugas memandu sebagai ubat mengantuk paling efisien. Sebut sahaja mahu ke mana, pasti mampu menjadi jawapan saya, meski pukul 4 pagi yang siangnya belum sempat qailullah.

Namun kini?

Untuk mencukupkan jarak dua marhalah boleh membuatkan saya menguap puluhan kali. Stamina sudah hilang berkala dengan kegemaran yang bertukar menjadi rutin dan kewajipan yang membosankan.

Mydin Kota Bahru

Seperti biasa, hujung minggu menjanjikan lautan manusia turun ke Bandar. Rakyat Kelantan dengan kuasa belinya yang maha tinggi membanjiri pasaraya yang ada di sekitar Bandar. Khususnya Mydin.

Usai memilih barangan yang diperlukan, saya menolak troli ke kaunter bayaran. Dengan autopilot, saya mencari kaunter yang paling pendek barisannya.

Beratur.

Sepupu yang saya bawa bersama asyik mengeja apa saja tulisan yang terbayang dimatanya.

Tiba-tiba, baju saya ditarik-tarik. Saya menunduk dan bertanya, “ kenapa?”

Sambil memuncungkan mulutnya ke arah satu label dan mengeja.

W-A= Wa, N-I=ni, T-A=ta....

WANITA! Lorong Wanita!

“ Ni lorong wanita la abe long…nun lorong lelaki…” suara nyaringnya mudah menghinggapi cuping telinga mereka yang berada sekeliling.

Saya berbasa-basi, menarik troli ke kaunter sebelah yang agak panjang.

Kebiasaan saya di tengah ibu negara Malaysia melupakan terma dan undang-undang yang diamalkan di negeri sendiri. Kelantan tidak sama dengan Kuala Lumpur!

FITRAH

Fitrah kanak-kanak sekecil itu pasti akan tertarik ke arah yang baik. Mengikuti undang-undang fitriyah. Cuma, seandainya fitrah itu tidak dijaga dan dididik dengan baik, ia akan hangus ditelan kebiasaan yang dipaksa-paksa lantas merosakkan.

KEBIASAAN

Sejak awal menjejakkan kaki ke Darul Quran, saya memasang tekad untuk menjadi best student.

Maka, saya ke kelas seawal 7 pagi, sedangkan kelas akan bermula pada pukul 8 pagi.

Saya istiqamah dengan jadual yang saya bawa dari MTDQ Repek yang padat. Meng'haram’kan waktu selepas Maghrib selain dari diperuntukkan untuk menghafal ( dibaca mengulang ).

Saya beristiqamah untuk datang ke Masjid 1jam sebelum subuh. Jadual ketat saya sebelum ini (MTDQ Repek) dapat saya praktikkan dengan baik.

Namun itu hanya untuk beberapa bulan cuma. Selepas beberapa ketika, pergaulan dengan teman-teman, kekangan tugas dan sebagainya, saya terlencong dari ‘kebiasaan fitrah’ kepada kebiasaan yang buruk.

Kalau ingin disyarahkan dari sudut pandangan ‘Us Stephen Covey’ maka ia pastinya berpunca dari diri saya yang tidak Proaktif.

Hingga akhirnya, bagaikan nasi yang sudah menjadi bubur, saya menyesal dengan apa yang berlaku. Ingin saja dikalaukan apa yang telah dirancang dahulu berjalan lancar.

BAHARUKAN NIAT

Kini, saya bakal melangkah ke dunia baru. Ke Dataran Syam Insya-Allah. Ameen.

Saya sudah mula memasang-masang tekad lagi. Untuk menjadi yang terbaik sekali lagi.

Sesuai dengan akta imtihan Allah dalam surah Al Mulk. Mati dan hidup diciptakan untuk menguji, siapa yang TERBAIK amalnya.

Berbagai niat di'pasangkan' di kepala.

Pengajian musim panas.

Talaqqi.

Ziarah Syria untuk ‘mencuri’ sanad dan sebagainya yang terlintas di kepala…

“ Ana nak buat degree 3 tahun je kat Mu’tah” seorang sahabat memahat niat di Kuala Kubu Bharu.

“ Musim panas, ana nak ke Syria, talqqi kitab dan cari sanad Al-Quran dengan Syeikh Qurraa’..” azam seorang sahabat yang lain.

" Ingat ye janji kita, nak menadah kitab dan muzakarah antara kita..." janji diingatkan oleh seorang sahabat.

“ Kat Jordan nanti, ana nak tinggal dengan arab, senang dapat bahasa..” seorang lagi sahabat berazam luar kotak.

" ana kalau ditakdirkan ke Jordan, ana nak mujahadah betul-betul..ana kesian pada ibu dan ayah ana, bukannya berduit sangat mereka tu...", seorang lagi merancang kehidupan.

"moga-moga hijrah ana ke Jordan, betul-betul menghijrahkan ana ke arah yang lebih baik..doakan ana dapat kekuatan untuk tinggal perangai-perangai lama yang buruk..." keluh seorang sahabat lagi.

" Insyaalah, selagi ada rezeki untuk ana, kita akan berkongsi..kita akan saling kuat-menguat dan tak akan berpecah haluan..." lafaz ala bai'ah yang pernah dituturkan di tulang belakang semenanjung.

“ Ana nak sambung master terus kat Jordan..” Getus seorang lagi.

Dan saya yakin, mereka semua berniat untuk menjadi yang terbaik demi Islam.

KEBIMBANGAN SAYA

Saya cuma mampu menawarkan kebimbangan untuk diambil perhatian andai ianya baik. Bimbangkan beberapa hepotesis saya menjadi kenyataan.

Bimbang kita bermudah-mudah dengan alasan uruf.

Bimbang kita mudah hilang identiti dan jati diri dalam kegelapan tanpa penyuluh melainkan diri sendiri. Andai diri berTAQWA, maka jalan yang baik itu senang dijumpai. Namun andai diri kontang TAQWA kerana maksiat dan nista, maka pastinya jalan itu sulit untuk dijejaki.

Bimbang kita melencong dari niat dan qasad awal. Bimbang juga teralih keutamaan dalam amalan.

Bimbang kita lupa akan janji-jaji yang pernah terlafaz.

Moga Allah mempermudahkan laluan saya untuk menjadi yang TERBAIK dalam konteks manusia dengan mampu memberi MANFAAT kepada Ummat…ameen.

P/S : Artikel ini ditulis pada 1 Julai 2009 dengan tajuk "Sebelum Kebiasaan Menyelimuti" dan diterbitkan semula atas asbab dan faktor yang munasabah. Moga saya tidak terlepas peluang untuk kali kedua....
Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Isnin, 21 September 2009

Raya Di Perantauan

Assalamualaikum wbt..minal aidin wal faaizin,kullu am wa antum bikhoir diucapkn kepada seluruh ummat Islam,semoga raya kali ini merupakan hari kemenangan yang amat bermakna bagi kita.Mudah-mudahan kita memperoleh taqwa hasil tarbiyyah selama sebulan dalam bulan Ramadhan yang lalu.Taqwa inilah juga yang akan menjadi bekal untuk kita mendepani bulan-bulan yang akan datang,Insya Allah.



Inilah kali pertama saya beraya di perantauan nun jauh di bumi anbiya',tempat syahidnya 3 panglima ghuzwah Mu'tah.Terasa juga sayu tatkala beraya tanpa umi ayah dan keluarga di sisi,namun demi matlamat ilmu saya gagahkan hati ini.Terkenang akan semangat dan pengorbanan para ulamak terdahulu dalam menuntut ilmu.Hebat!Mereka memang hebat,hemah mereka tinggi,hasilnya lahirlah Imam-imam mazhab yang empat,Imam Nawawi dan ramai lagi.



Berbalik pada cerita idulfitri,pelbagai persiapan dibuat untuk hari kemenangan ini.Inilah cara untuk mengubat kerinduan pada tanah air yang baru ditinggalkan kira-kira dua minggu.Kerinduan pasti terubat dengan nasi kapit Perol,satay Bandar,rendang Ket dan lontong DBH.Pengalaman baru sebagai anak rantau kerana kesemuanya dihasilkan bersama adik beradik seperjuangan,,marveleous!





Allahumma taqabbal minna! Ya Allah,terimalah ibadah puasa kami sepanjang Ramadhan yang lalu,berilah kekuatan kepada kami untuk terus istiqamah beribadah padaMu,jadikan kami hambaMu bukan hamba Ramadhan.Kurniakn kami taqwa hasil didikan Ramadhan.





Kredit untuk Us Fakhrul Hayyi selaku penulis.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Sabtu, 12 September 2009

Tetamu Syam

Tiba di Changi di pinggir tengah malam. Saya melangkah keluar dari pesawat A320 milik Airasia dengan seribu satu perasaan. Melangkah menuju ke pintu keluar. Menelusuri jalan hampir 600 meter berselangkan 'tangga bergerak' sebagai pembantu yang baik.

Selepas ke tandas, saya terus ke kaunter Imegresen untuk pemeriksaan sebelum ke kaunter tuntutan bagasi.

UJIAN PERTAMA

Lama beratur, tiba giliran saya.

"Mana borang imegresen..?", tanya pegawai tersebut, seorang makcik yang agak manis mukanya.

"Ada borang ke..?" soal saya kehairanan.

"Allah, adik pergi isi borang kat sana, pastu terus datang jumpa akak, tak perlu Q lagi..." jelasnya berbelas.

Saya bergegas ke belakang mengisi borang dan kembali, seterusnya melepasi imegresen itu dengan lafaz salam kepada 'ibu' yang baik hati itu.

Bergegas ke Terminal 3 dengan khidmat Skytrain yang bertugas setiap selang tiga minit. Di Terminal tiga, saya terus check in untuk memudahkan urusan.

Sambil meronda, saya terlihat sebuah arca cantik, lantas terlintas kepada tengkuk saya yang terasa ringan.

"Allah, mana kamera aku..?"

Kamera 1000D saya hilang di Airport Changi.

Ringkasnya, Allah ketemukan semula dengan gajet itu 10 min sebelum gate penerbangan QR649 ditutup.

UJIAN KEDUA

Penerbangan selama hampir 8jam membelah samudera ingin dijadikan medan istirahah selepas hampir seminggu saya bertungkus-lumus menyiapkan persediaan untuk nafar kali ini.

Pukul 3.55 am waktu Doha, saya tiba dengan selamat. Keluar dan menghirup udara segar padang pasir Doha yang kian berubah wajah menjadi lebih moden.

Akibat keletihan, saya terus menyelesaikan kewajipan, subuh berjemaah dan terus mencari kaunter pertanyaan untuk bertanyakan khabar tentang penginapan saya.

Akhirnya dimaklumkan bahawa, saya tidak disediakan dengan hotel. Bermakna saya transit selama 9 jam dengan i'tikaf di Musalla.

Rahmat mendatang. Udara Jordan akhirnya saya hirup di penghujung waktu Zuhur. Queen Alian International Airport masih dalam proses naik taraf. Sedikit kekalutan di hudud untuk pengesahan visa, namun akhirnya ungkapan syukur tidak terhingga apabila mata saya bertentangan denga empat mata dari Syria.

Azan dan Arif bermusafir dari Syria untuk menyambut ketibaan saya sebagai tetamu dataran Syam ini.

Air mata bergenangan. Ya Allah, manis sungguh ukhuwah ini....

Berpelukan dan bersalaman.

Ya Allah, mereka datang kerana aku ini adalah saudaranya, bukan kerana nikmat dunia yang fana, kurniakan kepada keduanya Syurga mu di sana...ameen.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]

Rabu, 9 September 2009

Saya Dan Mu'tah


Lima Keluarga yang mengiringi Musafir Saya
Setahun yang lalu, saya mula merindui bumi ini. Bumi yang tersemadinya wira saya, Saidina Jaafar At-Tayyar R.A. Bumi yang menyaksikan syahidnya tiga sahabat agung di medan ini, medan Mu'tah.

Dan hari ini, saya di sini. Udara Mu'tah yang terselit bau Khubuz kini memenuhi paru-paru saya pada setiap helaan nafas. Alhamdulillah.

Namun di luar sana, mungkin ada yang mengucapkan kalimah lain, lantaran saya ke sini membiarkan surat dari Jamiah Madinah terbiar tanpa jawapan.

4 September 2009

Persiapan ringkas dibuat. Semalamnya, sedikit solat hajat dilakukan selepas Tarawih. Sanak saudara menziarahi. Saya mengemas dan menyusun barang-barang yang perlu dibawa.

Usai berbuka dan solat Maghrib, dua buah kereta bersiap sedia untuk bertolak ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra. Belum sempat bertolak, datang lagi dua buah, ingin menyertai rombongan kami untuk menghantar saya ke Jordan.

Jam 1130 malam, terbang ke awan biru membelah semenanjung ke LCCT Kuala Lumpur.

Singgah di Bangi untuk sehari. Menziarahi Surau Al Mujahidin, Desa Surada, Naqib- Us Idris di UKM, sahabat usrah-Khalil, Hafizan, Fadhlan, juga Sahril.

Selepas Asar, adik-adik Darul Quran tiba untuk mengiringi saya ke LCCT sekali lagi untuk ke Singapura.

Berbuka puasa di LCCT bersama adinda saya dari USIM yang datang bersama kawan-kawannya.


Mereka Yang mengetahui 'Rahsia' saya.....

Dan sebelum berlepas, memberi dan menerima sedikit wasiat dari sahabat-sahabat seperjuangan.

Terima kasih atas cenderamata kenangan kalian.

8.35 malam, sekali lagi saya membelah semenanjung untuk ke Changi International Airport. Transit di sana sebelum menukarkan penerbangan ke Qatar Airways ke Amman, Jordan melalui Doha, Qatar.

Cabaran bermula dalam kembara sendirian saya mencari bekalan TAQWA. Bersambung lagi.

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]