Ahad, 29 Julai 2012

Rumi Mengajar Kehidupan


Kepenatan masih membungkus diri selepas membelah semenanjung dari pesisir laut Selat Melaka di Klang ke Kota Bharu untuk kali ketiga dalam minggu yang sama dengan duduk di kerusi pemandu sepanjang jalan.

Tiba di Nilam Puri adalah sebuah rehat yang besar untuk saya. REHAT.

Barangan dari bonet dipunggah keluar. Beg pakaian dilambakkan sahaja di tepi katil. Belum leluasa untuk mengemasnya. Selepas sedikit penyegaran dengan beberapa timba air perigi, lambung kanan saya akhirnya berjaya dirapatkan ke tikar mengkuang bertemankan hembusan angin dari kipas usang.

Assalamu'alaykum.... 

Sayup salam dilaungkan dari pintu depan. Allah.. Nafas dilepaskan laju tanda kecewa. Ingin sahaja lambung terus ditampalkan ke tikar mengkuang, namun apabila teringatkan sepotong hadis yang menjadikan aktiviti menyambut dan memuliakan tetamu sebagai sempadan orang beriman, saya bangkit. Tamat Cakera Pertama.

Cakera Kedua

"Saya dah kecewa dengan ajk kawasan saya. Payah benar nak ubah mentaliti mereka. Sangat konservatif, jumud!" Keluh seorang ahli jawatankuasa yang komited dan inginkan penambahbaikan kepada organisasi yang dianggotainya. Namanya Kamal. (bukan nama sebenar)

"Sabarlah encik, lagipun mereka tu berapa lama lagi akan hidup. Nanti bila mereka dah berundur, adalah peluang encik nanti." Seorang AJK lain memujuk.

"Masalahnya, saya ni dah dilabel dengan macam-macam label negatif. Tali barut pun dah dikalungkan ke leher saya ni." Keluhan encik Kamal semakin dalam.

"Itu lumrah, encik Kamal.. Kalau namanya organisasi yang dianggotai manusia, pasti ada orang yang membantut dan membuntu, tapi kena ingat, pasti ada juga yang membantu."

Encik Kamal mengangguk-anggukkan kepalanya.

Cakera Ketiga

"Saya dah tak tahan dengan keluarga saya. Masing-masing buruk perangai, busuk hati! Tiap hari bertengkar. Masing-masing keras kepala. Tak ada tolak ansur, tak reti nak jaga perasaan orang" Keluh seorang ahli keluarga yang tertekan dengan pelbagai kerenah yang tidak menyenangkan hatinya.

Kalau boleh, ingin sahaja dia menapak keluar mencari angin sendiri. Bukan dia tidak mampu, pendapatan bulanannya sudah cukup untuk menampung hidup bujangnya.

Namun, apabila memikirkan baik buruknya, akhirnya dia bersyukur, meski mereka kurang baik dan kurang sempurna malah selalu menyakitkan hatinya, dia masih mempunyai sanak saudara.

Alangkah malangnya mereka di luar sana yang hidup sebatang kara. Tidak ada lelaki bernama ayah untuk diseru. Tidak ada wanita bernama ibu untuk dirayu. Tidak ada abang, kakak dan adik untuk menjadi teman bergurau senda.

Rumi Mengajar Kehidupan

“Setiap kamu terhadap kehidupan ini adalah seperti rumah tamu. Setiap hari kamu dikunjungi pelbagai tamu dengan pelbagai kerenah. Bukalah pintu untuk mereka dan layan sebaik yang kamu mampu. Andai kamu menutup pintu, kamu sangka dirimu semakin selesa tetapi hakikatnya kamu semakin kehilangan segala-galanya” – Jalaluddin al-Rumi

PENUTUP

“Seorang mukmin yang bergaul dengan orang ramai serta bersabar dengan kesakitan akibat pergaulan dengan mereka itu, adalah lebih baik dari seorang mukmin yang tidak bergaul dengan orang ramai serta tidak bersabar atas kesakitan akibat pergaulan itu” [Hadith riwayat Imam Tarmizi dan Ibn Majah]

HASANHUSAINI,
Taman Subang, SS3 Kelana Jaya.

Tiada ulasan:

Facebook Comments Box: Bloggerized by HASANHUSAINI.COM

Catat Ulasan

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]