Rabu, 7 Disember 2011

ISLAM : Do and Don't



Suasana menunaikan ibadat haji yang saya alami tidak sama seperti yang saya bayangkan sewaktu di tanah halal. Ia juga tidak sama dengan apa yang saya dengar cerita-cerita orang. Di Tanah itu, saya juga mengatur langkah dengan menelusuri jejak sirah Nabi Muhammad. Dek itu, sebuah buku sirah saya selit, menggantikan kitab fiqh.

Langkah saya adalah langkah beribadat, ziarah mencari ibrah.

MINA

Selesai wuquf di Arafah, kami menuju ke Mina. Meski jarak tidak lebih dari 20 km, masa yang diambil oleh bas kami lebih 6 jam. Ketibaan kami disambut dengan azan Subuh sejam kemudian. Selepas melontar, saya berlari ke Masjidil Haram menunaikan tawaf sebelum kembali semula ke Mina untuk bermalam.

Sirah di Mina amat penting untuk saya jejaki. Ia adalah gerbang yang sangat penting dalam usaha membebaskan Makkah. Dari dakwah di Mina, Nabi Muhammad sollallahu 'alayhi wasallam dikurniakan Madinah, negara Islam pertama.

Apa yang berlaku di Mina?

Jawabnya adalah perjanjian. Perjanjian yang bagaimana? Berjanji dengan keperluan yang 'common' kepada manusia. 
Ubadah bercerita tentang perihal perjanjian itu. Nabi sollallahu 'alayhi wasallam bersabda, "Marilah, berbai'ahlah kepada Ku, bahawa kamu tidak akan mensyirikkan Allah dengan sesuatu apa pun, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anak kamu, tidak membawa cerita-cerita fitnah dari hadapan dan belakang, dan tidak mendurhakai ku dalam kebajikan."  [Sahih Bukhari]
Larangan yang 'ringan' untuk disepakati oleh semua manusia. Jangan membunuh. Jangan mencuri. Jangan berzina. Jangan mulakan fitnah. Tanpa disebutkan perkara tersebut sebagai larangan pun, fitrah manusia sudah cukup memusuhinya.

Dengan mudah, mereka yang hadir dalam perjanjian itu bersepakat memberikan bai'ah (janji setia) kepada Rasulullah sollallahu 'alayhi wasallam.

MAQASID SYARIAH

Itulah juga Maqasid Syariah. Tujuan paling agung Islam diturunkan. Cara hidup yang menepati fitrah manusia diciptakan.

Waris mangsa bunuh teringin untuk melihat pembunuh saudaranya dibunuh balas tanpa disebut bahawa bunuh balas adalah hukum Islam.

Mangsa kecurian pasti inginkan balasan yang setimpal kepada pencuri harta yang disayanginya.

Seorang suami pasti ingin menghukum jantan bangsat yang berzina dengan isterinya.

Namun, kehendak manusia kadang-kadang terlebih. Maka Islam datang untuk mengawal. Bunuh balas hanya dengan hukuman dari hakim.  Hukuman paling berat kepada pencuri adalah potong tangan, bukannya curi balas atau langgar lari. Zina pula disebat, bukan dihujam dengan besi panas dan dilempar ke dalam gaung.

Dalam Islam, bukan hanya kepentingan umum yang dijaga. Kepentingan peribadi juga dititikberatkan. Anda boleh tinggalkan beberapa kewajipan lantaran menjaga harta yang tiada gantinya. Anda boleh melakukan beberapa perkara haram ketika darurat. Sesungguhnya Islam sentiasa relevan, sama ada untuk orang baik meski untuk orang jahat.

Islam menyuruh sesuatu yang sememangnya kita suka untuk melakukan. Bahkan Islam melarang sesuatu yang sememangnya kita benci untuk melakukannya. Islam itu mudah.

Saya juga nak berjanji setia juga untuk Islam. Anda bagaimana?

p/s : menulis artikel sebagai 'nota' untuk peperiksaan subjek Maqasid Syariah Islamiah  pagi besok.

HASANHUSAINI,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.

Tiada ulasan:

Facebook Comments Box: Bloggerized by HASANHUSAINI.COM

Catat Ulasan

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]