Rabu, 20 April 2011

Mencari hobi, bekalan diri, untuk memberi

“Kita (umat islam) adalah kaum yang yang malas bekerja. Bila kita kerja, tidak ada komited dan itqan. Kita hanya menjadi pengguna tanpa pernah terlintas untuk menjadi Pembina. Malah lebih memalukan, kajian mengatakan bahawa kita hanya berkerja selama 27 minit sehari. Berbanding jepun yang bekerja lebih10 jam sehari.” Ungkap Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi dalam siri ceramah beliau.

Sangat benar dan tepat kata-kata itu. Kita adalah kaum yang pemalas. Kita hanya tahu mengguna peralatan orang lain tanpa kita berfikir dan mengkaji lalu berusaha untuk membina dan membuatnya sendiri.

Saya pernah mengagumi Malaysia apabila membuat keputusan untuk membeli MV Agusta, syarikat pembina motosikal terbaik di dunia yang berpangkalan di Itali. Namun akhirnya, syarikat itu dijual semula atas kepentingan politik sempit. Sedangkan nilai kepakaran dan teknologi serta kretiviti MV Agusta diiktiraf di seluruh dunia.

Lihat bagaimana MV Agusta Brutale menjadi mesen Ferarri dua roda. Belum disebut bagaimana MV Agusta Mamba dikomen dengan baik oleh peminat-peminat motor antarabangsa sebagai model yang paling canggih. Semuanya dengan buatan tangan. Namun kini hanya tinggal kenangan. Kita hanya mampu berbangga dengan MODENAS yang hanya pandai membuat kulit motor.

PERBANYAKKAN KEPAKARAN

Saya cuba lari dari sikap kebanyakan rakyat Malaysia, terutamanya meLAYU. Saya cuba untuk menjadi MUSLIM sepenuhnya. Insan yang mampu memberi manfaat yang terbanyak kepada insan lain.

“ Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat kepada manusia”. Begitu bunyi sebuah riwayat.

Kepakaran dan kemahiran. Dua kalimah yang mudah ditafsirkan secara akademik, sukar secara praktikal. Berapa ramaikah yang mampu pulang dengan pakaian kepakaran dan kemahiran dalam bidang yang mereka ceburi. Seorang sahabat lulusan kolej dalam bidang IT tidak mampu untuk mengulas lanjut tentang apakah itu komputer bila ditanya. Seorang ustaz terpaksa membelek kembali kitab kuningnya bila ditanyakan tentang persoalan fiqh, sedangkan beliau mempunyai ijazah sarjana muda syariah. Itu realiti.

Kita berikrar mengikuti junjungan Rasulullah. Betulkah?

Rasulullah adalah seorang pengembala kambing yang berjaya. Seorang usahawan yang berjaya. Seorang pakar strategi perang yang kreatif. Seorang pemimpin negara yang berintegriti. Seorang diplomatik yang disegani kawan dan lawan. Seorang imam, ustaz, ayah, suami yang mithali. Pelbagai kemahiran yang baginda miliki. Kita pula bagaimana?

Tambahan pula, baginda dibantu oleh Allah dengan wahyu Al Quran yang mempunyai gaya bahasa yang menarik minat sasaran baginda untuk pergi lebih dekat. Itu sunnah pesuruh Allah. Nabi Musa dengan tongkat ularnya. Sesuai dengan umatnya yang gila sihir. Mukjizat yang kena dengan minat mad’u masing-masing.

Dunia IT hari ini menyaksikan manusia amat ‘meminati’ teknologi. Maka, tak keterlaluan rasanya kalau saya berpandangan bahawa teknologi maklumat adalah ‘mukjizat’ kepada para pendakwah.

DARI KECIL

Saya cuba untuk mengikuti jejak tersebut. Mencari sebanyak mungkin kemahiran. Sebagai senjata dakwah dan juga sebagai bekal hidup, supaya tidak terlalu banyak bergantung kepada tenaga-tenaga dan produk orang lain. Juga untuk menyahut seruan Syeikh Yusuf Al Qaradhawi.

Sejak kecil, saya diajar dan dididik untuk berdikari. Cuba untuk berdiri di atas kaki sendiri. Teringat bagaimana pertama kali menampal tiub basikal yang pancit seawal darjah satu. Menunggang motor ketika darjah 3 dan membaiki sendiri kerosakan motor pusaka itu bila dia meragam.

Rumah saya yang hanya mempunyai 3 kipas, satu di ruang tamu lelaki, satu di ruang tamu perempuan, satu lagi dalam bilik ibu. Saya kepanasan, maka dengan daya kreativiti yang diasah sejak kecil, saya mencipta sebiji kipas dari motor mesin basuh yang rosak. Canggih dan tahan lama. Sudah sepuluh tahun dia berkhidmat.

Ibu pada awalnya sedikit bimbang dan kurang yakin dengan kemampuan anak lelakinya ini. Namun kini, tidak ramai mekanik dan tukang baiki yang kenal dengan alamat LOT 64, kerana tidak pernah terlapor kerosakan dari situ. Semuanya dibaikpulih sendiri.

Saya belajar dan diajar untuk meng‘islah’kan barang rosak, dari sekecil suis lampu hingga menegakkan tiang seri rumah usang pusaka itu. Hasilnya, kni saya terasa terpanggil untuk meng‘islahkan’ masyarakat yang kini kurang terurus.

Di pondok, saya belajar mengenal pemikiran ulama’ terdahulu. Kitab kuning yang tertadah di hadapan lutut guru. Talaqqi. Juga diajar mengenali sedikit sebanyak dunia akademik melalui SPM.

Saya belajar bagaimana untuk hidup dengan diri sendiri. Berbekalkan mesin rambut rosak, saya baiki dan saya mampu mendapatkan lebih RM300 dengan mesin buruk itu. Saya menjadi tukang gunting. Keuntungan itu, saya belikan sebuah mesin berjanam WAHL yang original. Sudah lebih sepuluh tahun juga ia berkhidmat dan masih bertahan hingga kini.

Hujung minggu, saya ‘berniaga’ burger dan roti canai yang dibuat sendiri. Diuli dalam bilik. Kadang-kadang, mendapat tempahan dari makcik-makcik yang bekerja di situ. Sehingga kini, pengalaman itu amat banyak memberi erti dalam kehidupan saya. Jordan dan Mu'tah menjadi saksi. Rezeki hasil roti canai banyak menampung keperluan dapur Darul Muttaqin.

Keluar dari intitusi pengajian pondok, saya sedikit buta dalam bidang teknologi. Akhirnya saya cuba memelihara sebuah laptop. Mungkin dengan memiliki benda tersebut, saya akan mengenali dan mahir untuk menggunakannya. Dan terbukti, saya mampu menguasai makhluk itu tidak sampai setengah tahun.

Empat yang lalu, saya membina laman blog untuk menguasai dunia internet, tidak sampai setahun saya sudah tidak lagi malu untuk mempamerkan rumah maya saya di kalangan teman-teman. Dari situ, saya mengasah bakat menulis, dan menajamkan minat membaca. Indikatornya mudah, apabila pembacaan saya kurang, kadar artikel juga berkurangan. Sifir itu masih berguna sampai sekarang.

Awal Julai 2008, saya mempunyai rezeki, lantas memiliki sebiji kamera digital tahap ‘semi pro’. Cuba mendalami dunia fotografi untuk mensyukuri nikmat Ilahi ini. Mentor saya, Us Muktasyaf menunjuk jalan, bagaimana foto itu mampu menjadi medan dakwah. Teruja melihat bagaimana komen dan nota-nota positif yang ditinggalkan pelawat. Bahkan dari ‘mat saleh’ sendiri. Hasilnya, gajet itu benar-benar meninggalkan kesan yang baik kepada saya. Banyak juga kos hidup saya di Jordan ditampung dengan hasil gajet kegilaan ramai masakini itu.

Pertengahan April 2011, saya dijemput untuk berkongsi pengalaman dalam bidang astrofotografi di Al-Albayt University, Mafraq, Jordan. Program anjuran Majlis Pelajar Kedah Jordan dan PRISMA serta EMJ mendapat perhatian serius dari Fakulti Astronomi Univeristi tersebut.

Teringat kenangan berusrah di Darul Quran, pertengahan 2006 di bilik A71. Saya cuba berlatih untuk bercakap, lantas cuba merelakan diri untuk menjadi ahli panel dalam mini forum bersama adik beradik usrah. Akhirnya, semua fakta yang saya baca dan hafal hilang saat memberi hujah. Lidah saya kelu dan keras selepas beberapa patah perkataan dipaksa keluar. Hampir putus asa jadinya.

Saya mengadu kepada naqib, "Ana memang tak reti nak cakap depan orang...". Saya memberi alasan.

"Ana yakin nta tidak bisu untuk tidak boleh bercakap, bahkan nta sedang bercakap dengan ana, seorang 'orang'." Ringkas jawapannya sambil tersenyum. 

Hasil cabaran itu, saya berlatih untuk memahirkan diri bercakap. Sehingga pada suatu hari, saya menunggang motosikal dari Kuala Kubu Baru ke Kuala Lumpur. Sepanjang perjalanan, saya tidak henti-henti berceramah sendirian. Syok berceramah, saya lupa untuk 'pause' ceramah saya sewaktu menunggu lampu hijau di bulatan Dataran Merdeka. Puluhan pasang mata tertumpu kepada saya. Malu!

Lihatlah bagaimana Islam itu indah. Dakwah itu pula luas. Maka di sini ternyatalah bahawa muslim yang High Profile lebih berguna dari muslim yang Low Profile.

خير الناس أنفعهم للناس

“ Sebaik manusia adalah manusia yang paling bermanfaat kepada manusia”
Rujukan lanjut yang lebih terperinci, rujuk Tafsir Al-Quran Al-Azhim oleh Ibn Kathir, ayat 143, surah Al-Baqarah.

HASANHUSAINI,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.

1 ulasan:

  1. suka dengan pemikiran anda, salam dari Kuantan !

    BalasPadam

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]