Selasa, 5 April 2011

Catatan Ringan Wasatiyyah



Pertengahan 2010, proses pemerincian idea wasatiyyah didiskusikan di peringkat agensi agama kerajaan Malaysia. JAKIM sudah semestinya menjadi proksi untuk proses itu. Awal tahun 2011 menyaksikan Perdana Menteri Malaysia sendiri turun mempopularkan konsep wasatiyyah yang dianggap sebagai pelengkap kepada konsep 1 Malaysia.

Saya tidak sempat untuk mendalami perkara tersebut di Malaysia. Malah, langsung tidak berkesempatan untuk emngikut mana-mana seminar dan bengkel percuma yang dijalankan. Bahkan, hanya menyelami idea tersebut melalui tulisan dan kertas kerja yang tersebar di internet.


Hari ini, rezeki tiba di depan mata. Kedutaan Malaysia Jordan melalui Education Malaysia Jordan (EMJ) dan Mu'tah University menganjurkan sebuah wacana yang bertajuk, - Pemantapan Idea Wasatiyyah di Kalangan Pelajar Malaysia-. Tiga orang pensyarah dari Mu'tah University dijemput membentangkan ketas kerja masing-masing.

Ketiga-tiga pensyarah tersebut ialah, Prof Dr. Muhammad Rawasyidah, Dekan Hal Ehwal Pelajar, Mu;tah University. Dr. Syuwesh Mahamid, pensyarah yang terkenal dengan ideologi yang sentiasa segar dan pemikiran yang terbuka. Dr. Qois Mu'aitah, pakar perbandingan agama dan firaq.

LATARBELAKANG

Kedatangan YB Senator Dato’ Dr. Masitah binti Ibrahim ke Jordan pada tahun lepas menjadi titik tolak berlangsungnya wacana wasatiyyah pada hari ini. Hubungan yang baik di antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Jordan telah memberi kesan kepada pendekatan politik Malaysia untuk turut mengikuti jejak langkah pendekatan politik Jordan.

Sepanjang pembacaan saya di media rasmi kerajaan seperti JAKIM dan beberapa blog milik pendokong tegar idea wasatiyyah, saya simpulkan bahawa idea ini digali dari pemahaman ayat ke 143 dari surah Al-Baqarah.

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُواْ شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا

Saya merujuk kepada beberapa kitab tafsir yang muktabar, juga kepada beberapa kamus dan mu'jam yang memberi tafsiran kepada frasa 'Ummah Wasatan'.

Hampir keseluruhan sumber yang saya rujuk memberi penafsiran yang hampir sama kepada frasa tersebut, iaitu konsep keadilan. Kitab Tafsir At-Tabari, Fi Zilal Al-Quran, Al-Munir, Al-Sayuthi, Al-Qurthubi, dan rujukan bahasa seperti Kamus Al-Muheeth, Lisan Al-Arab juga membawa makna sedemikian. ADIL.

Syed Qutb dalam tafsirnya Fi Zhilal AL-Quran memberi penerangan yang lebih jelas dan terperinci berdasarkan ruang lingkup wasatiyyah, namun masih berpaksikan ADIL. Saya amat cenderung dengan fikrah Syed Qutb. 

Maka, tidak menjadi kesangsian kepada saya apabila ketiga-tiga panel juga turut bersetuju malah menekankan konsep yang sama. 

Konsep adil dalam proses politik yang bermaksud kesediaan untuk menerima pandangan dan perbezaannya. Mampu menerima dan berlapang dada dengan kepelbagaian idea dan pendekatan. Dengan syarat, ianya selari dengan Syariat Islam.

Prof Dr. Muhammad Rawasyidah menekankan proses penerimaan idea yang datang dari golongan oposisi menjadi teras utama kepada konsep wasatiyyah. Manusia pada dasarnya adalah sama taraf. Justeru, amat tidak patut untuk mana-mana pihak menutup telinga dari mendengar pandangan dan idea pihak lain. Lebih tidak patut kalau ada yang sanggup menyekat dan menyembelih idea pihak lain dengan menuntup mulut mereka dari melontarkan pendapat dan idea. Prof berpendapat, meninggalkan wasatiyyah dengan mengekang mana-mana pihak adalah satu proses melawan kemanusiaan.


Dr Syuwesh Mahamid pula tampil dengan idea yang hampir sama, namun dengan contoh yang lebih jelas.  Dr. menolak pandnaga yang mengatakan bahawa pengertian kepada kalimah wasatiyyah adalah pertengahan. Pada pandnagan beliau, wasat bermaksud adil, seimbang dan plaing menepati syariah Islam.

Dr Syuwesh juga mengkritik sebilangan golongan yang mengaku wasatiyyah, lantas menjadi golongan yang tidak mempunyai prinsip yang kukuh. Golongan ini hanya mampu membaca fakta, nas dan dalil tanpa mampu untuk menulis dalil tersebut ke atas tikar peradaban dunia yang realiti.

Beliau memberi komen, kalau konsep wasatiyyah ditimbulkan hanya untuk menarik sokongan pengundi, tanpa disertakan dengan praktikal yang baik, maka konsep itu tidak akan dapat diterima sama sekali oleh akal yang sempurna. Golongan yang mengaku mendokong konsep wasatiyyah tidak harus membisukan mana-mana pihak dari melontarkan suara dan pandangan. Jangan pula berlaku kepada golongan yang lantang melaungkan slogan wasatiyyah, sedangkan dalam masa yang sama, memijak-mijak institusi keagamaan, menutup mulut ulama' dan memenjarakan mereka.


Dr Qois Mu'aithah pula tampil dengan idea pendamaian ikhtilaf. Sunnah kejadian Allah di muka bumi ini dijadikan berbeza. Maka, perbezaan ini harus diraikan untuk memancing kebaikan sunnah yang ditetapkan oleh Allah itu. Proses berfikir dengan pelontaran suara dan idea harus dikembangkan untuk menjamin berkembangnya tamadun. 

WASATIYYAH PADA HAKIKAT

Wasatiyyah, konsep fitrah yang dibawa oleh Al-Quran. Idea Wasatiyyah perlu diterjemahkan secara total dalam realiti kehidupan seharian. Pelopor idea wasatiyyah perlu melaungkan bukti mereka tekad dengan idea tersebut dengan tindakan mereka. Kebebasan beridea perlu diperbaiki dengan lebih bagus. Platform politik yang dibentangkan di tanah air perlulah sama rata. Kalau ini tidak berlaku, ianya bakal berkubur sepertimana berkuburnya ide Islam Hadhari slepas berundurnya Tun Abdullah dari kerusi Perdana Menteri.

Kebebasan media juga perlu diperbaiki untuk memberi nilai wasatiyyah. Pastikan ruang dan peluang untuk muncul di media sama luas dan sama berat. Proses komunikasi  antara kerajaan dan pembangkang juga perlu diisi dengan nilai wastiyyah. Sebagai kerajaan di peringkat negara mahupun negeri, proses mendengar idea perlu disamaratakan. Begitu juga dengan wasatiyyah dalam ekonomi dan perbendaharaan negara. Di mana nilai wasatiyyah dalam kes royalti minyak dan subsidi?

Tempangnya nilai wasatiyyah dalam hal-hal yang disenaraikan di atas akan memberi kesan yang sangat buruk kepada negara dan ummat Islam sendiri. Ini kerana, Malaysia cukup dipandang tinggi oleh negara arab dan dianggap sebagai negara Islam contoh di peringkat dunia. Manakala, wasatiyyah pula adalah diantara nilai yang usul dalam sistem sosial Islam.

MAHASISWA

Dari kaca mata mahasiswa, saya melihat, idea wasatiyyah tiba tepat pada masanya. Cuma, praktikal layanan kepada mahasiswa prlu berubah. Paradigma mahasiswa jauh lebih baik dari apa yang kerajaan bayangkan. Mahasiswa adalah golongan terpelajar yang matang. Tindakan melabelkan mahasiswa tidak matang akan meliarkan mahasiswa dari berminda seorang pimpinan. Malah, ia juga akan meliarkan mahasiswa dari pihak kerajaan sendiri.

Mahasiswa juga punyai idea dan suara. Mereka inginkan suara mereka didengari, smada oleh kerajaan mahupun oposisi. Perbuatan menutup telinga dari mendengar idea mahasiswa pasti akan menyebabkan mahasiswa lebih melenting. Lwbih buruk, kalau ada usaha untuk menunutp mulut mahasiswa. Paling buruk, apabila ada usaha untuk mencucuk hidung mahasiswa dengan mana-mana doktrin paksa rela. 

Proses ini dilihat oleh mahasiswa sebagai proses mengundur ke belakang, jika ianya dibuat oleh sebuah negara membangun seperti Malaysia. Tambahan pula, Malaysia mengamalkan konsep demokrasi dan kebebasan bersuara.

Saya juga adalah seorang mahasiswa pada hari ini. Tulisan saya mewakili sebahagian mahasiswa sedar yang berminda besar, suka mengkaji dan benci dilihat tidak matang. 

Wasatiyyahlah dengan kami, kami akan menjadi rakyat yang paling wasatiyyah kepada kerajaan Malaysia dan sesiapa sahaja.

HASANHUSAINI,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.

2 ulasan:

  1. wasatiyah..

    mcm mana plak dgn pihak y mngaku mngmbil jln wasatiyah dlm apa jua prkr,ttapi sukar ntk mnrima pndpt org lain apabila berlaku khilaf?

    BalasPadam
  2. Ana Imtiyaz : Maksudnya, frasa itu masih tinggal frasa..teori masih belum dipraktikkan..

    BalasPadam

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]