Saya punyai seorang datuk. Susuk tua yang cukup mengkagumkan saya. Dari kecil hidupnya teruji dengan sejuta mehnah. Akhirnya bebas dari belenggu kekufuran. Berhijrah mencari damai dan mengubat hati bersih kurniaan tuhan. Dari Iraq, Mesir, Mekah dan mengakhiri kisahnya di Palestin.
Itulah datuk saya dan datuk kita, Nabi Ibrahim 'alaihissalam.
Nabi Allah yang namanya disebut ulang puluhan kali. Nabi yang menjadi Khalilullah. Baginda merupakan Nabi Allah, ayah kepada dua Nabi, Ismail dan Ishak, datuk kepada Yaaqub serta Moyang kepada Yusuf 'Alaihimussalam. Baginda Ibrahim disifatkan oleh Nabi Muhammad sebagai kembar kerana kemiripan mereka.(1)
Keingkaran kaumnya meninggalkan berhala mengajak Ibrahim 'Alayhissalam mencabar minda masyarakat kufur itu. Berhala dihancurkan. Tinggal yang terbesar untuk disoal oleh sang musyrikin yang dungu.
Bayarannya, baginda dibakar dengan api marak dari unggun kayu sebesar bukit. Namun, api marak tidak mampu membakar walau sehelai bulu rambut Ibrahim 'Alayhissalam. Api itu sejuk dengan kehendak Allah.
Ibrahim 'Alayhissalam mengambil keputusan untuk berpisah dari kaum keluarganya. Menuju ke Tanah Suci Palestin. Bertemu dengan Sarah. Kemudiannya berhijrah ke Mesir lalu dihadiahkan Hajar.
Melalui Hajar, Ibrahim 'Alayhissalam dikurniakan Ismail. Anak lelaki tunggal ini dikurniakan Allah pada lewat usianya. Namun, ujian Allah tidak lekang dari para kekasihnya. Ibrahim 'Alayhissalam diuji lagi. Anak kesayangan ini harus ditempatkan di Lembah Gersang yang tidak mempunyai sebarang tumbuhan, Mekah. Ujian tidak berakhir. Beberapa tahun kemudian, anak lelaki itu diarahkan pula oleh Allah untuk disembelih. Ibrahim 'Alayhissalam, hatinya bersih dan tulus kerana Allah. Ismail, anak taat kepada bapanya, meski ditinggal pergi bersama ibu di tanah gersang. Ismail diganti dengan sembelihan yang besar.
Ibrahim 'Alayhissalam mengukir sejarah lagi. Bersama anakandanya Ismail, Ibrahim membina Kaabah, rumah Allah yang mulia di Lembah Mekkah. Kesan Maqam Ibrahim masih kekal sehingga kini.
Hujung usia tuanya, Utusan Allah [malaikat] bertamu ke rumah Ibrahim Alayhissalam. Utusan Allah yang ditugaskan untuk menghancurkan jiran Ibrahim 'Alayhissalam, kaum Luth Alayhissalam yang durjana itu bersinggah di teratak Ibrahim Alayhissalam. Khabar gembira disampaikan. Ibrahim Alayhissalam bakal mendapat anak kedua dari Sarah yang sudah menopause. Tanda kebesaran Allah dizahirkan pada keluarga Ibrahim Alayhissalam. Ishak Alayhissalam lahir sebagai anak yang cerdik lagi bijak. Takdir Allah mengkehendaki Ibrahim Alayhissalam untuk dipanjangkan usia demi melihat cucunya Yaaqub Alayhissalam.
Di Palestin, Ibrahim Alayhissalam membina Masjid Al-Aqsa. Tempat suci ketiga bagi umat Islam. Andai Kaabah binaan Ibrahim Alayhissalam menjadi hak Muslim, kenapa Al-Aqsa didakwa menjadi hak Yahudi....?
Dari binaan batu itu, Ibrahim Alayhissalam menyeru manusia untuk menunaikan haji. Suara Ibrahim 'Alayhissalam didengari oleh semua makhluq Allah.
1400 tahun lalu. Anak kecil lahir dari rahim Aminah. Lelaki yang menjadi Rasul terakhir ini lahir dari keturunan Ibrahim melalui sulbi Ismail.
Muhammad sallallahualaihiwasallam.
SALAM IBRAHIM
Isra' Mi'raj berlaku beberapa tahun selepas perutusan Muhammad sallallahualaihiwasallam sebagai Rasul terakhir. Dalam perjalanan Mi'raj, Nabi Muhammad sallallahualaihiwasallam bertemu dengan datuknya, Ibrahim a.s yang kemudiannya mengirikan salam cintanya kepada umat Muhammad. Ibrahim a.s mengirimkan salam cintanya kepada kita.
Kisah ini terakam dalam hadith sahih riwayat Tirmizi :
Pada malam Mi'raj, aku bertemu dengan Ibrahim. Lalu baginda Ibrahim berkata : " Wahai Muhammad, sampaikan salamku kepada Ummatmu. Ceritakan kepada mereka, bahawa syurga itu cukup indah. Jernih airnya, dan benihnya adalah Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillaallah, dan La haula wala quwaata illa billah."
Datukku, aku sambut salam cintamu dengan selawat ke atasmu dalam setiap solatku.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، فِي الْعَالَمِينَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
Sambutlah jua salamku ini di Mahsyar nanti.
Datukku, aku menyahut seruanmu puluhan ribu tahun dahulu. Aku kini qasadkan Baitullah untuk wuquf, tawaf dan sai'e kerana Allah.
Ya Allah, sambutlah ibadatku sebagai haji yang mabrur.
Kepada rakan-rakan, guru-guru, adik-adik dan sanak saudara di luar sana, saya dengan ini memohon sejuta kemaafan dari kalian atas segala tingkah laku yang tidak menyenangkan malah mengundang dosa. Doakan musafir saya diiringi rahmat dan berkat. haji yang mabrur, InsyaAllah.
HASANHUSAINI,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.
1: Sahih Muslim 167
ustaz, minta doakan kami suami isteri murah rezeki dapat belajar di ummul qura intake lepas raya haji ini. syukran kathir.
BalasPadam-rokhaizat & amir rahmat
Assalamualaikum .Salam ziarah.Semoga saudara/ri dalam limpahan rahmat Allah SWT.Kaif haluk? Ana khirrij jamiah al-Bayt tahun 2000.Biar susah dan payah belajar di bumi anbia'; namun hari ini semuanya mematangkan hamba untuk meneruskan sebuah perjalanan didunia ini menuju akhirat.Dijemput ziarah ke blog hamba di http://bicara-hamba.blogspot.com
BalasPadam