" abang, apa pandangan tentang budak tu...?" tanya seorang sahabat tentang pandangan saya terhadap seorang muslimat.
" nta rasa camne dengan pilihan ana ni..." tanya seorang lagi sahabat meminta pandangan.
Blog
Satu blog menceritakan dialog rumah tangga. Satu lagi tentang siapa yang sekupu untuk menjadi teman. yang lain pulak menceritakan kisah sahabat yang baru kahwin diperantauan.
Semuanya bercerita tentang agenda masa depan.
Sambil membaca, saya tersenyum. Berkat ilmu Fiqh Munakahat (muqarrar sem 5) atau penangan siswa dan siswi tahun akhir. Saya tak mahu menyediakan jawapan. Silalah buat pilihan sendiri.
" sesiapa yang mampu diakalangan kamu, kahwinlah..." Petikan ringkas dari hadis nabi ini sering mejadi hujah.
Sejauh mana kita mampu menafsirkan mampu yang diungkap nabi. Umumnya mampu itu perlu dikaitkan dengan pelbagai aspek. Keewangan, ilmu, masa, kesihatan, semuanya perlu difikirkan.
Alasan ingin mengelak maksiat sering diutarakan. Bagi saya, itu hanyalah alasan mereka yang iman lalang. Kalau maksiat ingin dielak, terleih dahulu maksiat itu jangan dicari. Seorang berada di hujung barat, seorang dihujung timur, beralasan kerana takut maksiat. Lucu betul. Maksiat itu tidak datang, maksiat itu dicari.
Berkorban juga menjadi taruhan. Alam rumah tangga jangan disempitkan dengan hanya memilih faktor dan sudut tertentu. Kahwin bukan hanya untuk mengelak maksiat, bukan hanya sekadar untuk berkorban. Ianya untuk memenuhi tuntutan syariat serta fitrah kejadian manusia.
Berbaiklah dengan Wali
Ini antara teknik yang sering diguna pakai oleh mereka yang ingin masuk jarum, memikat hati wali. Si teruna akan menjadi manusia paling 'ter' dalam segalanya untuk mendapat restu wali. Tutur bicaranya lembut, langkahnya tersusun. Memikat hati wali yang zahir, berusaha memenuhi syarat wali tersebut. Begitu juga si dara.
Dalam tidak sedar, kita telah melupakan wali yang lebih besar dan lebih ketat syaratnya. Allah.
Allah juga mempunyai syarat dan hukumnya. penuhilah syarat dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah untuk mendapat restu serta rahmat dari-Nya yang menjadi resipi utama kebahagiaan rumahtangga.
Pesetujuan wali sebelum akad bukan lesen untuk berhubungan. Bahkan saya lebih suka berpegang dengan pesanan Almarhum datuk saya, semakin kita tertarik dengan 'nikmat' dunia itu, semakin kita perlu jauhinya. Supaya nikmat itu betul-betul nikmat tika kita menikmatinya.
Jangan buat pandai
Lumrah zaman sekarang, berdikari. Semuanya kita nak buat sendiri. Pesan saya pada adik yang bertanya, "jangan cari sendiri". Pesanan yang mudah untuk difahami dan dicernakan oleh pemikiran yang sihat, namun amat payah untuk dilaksanakan. Kita lebih suka untuk merisik sendiri, bagaimana keadaan 'si buah hati'. Padahal pada waktu itu, hati teruna telah mabuk, hanya yang terlintas dimata semuanya baik. Lalu keputusan yang dibuat tidak saksama, makan diri bila bersama. Tidak sekupu. Orang tua saya pernah berkata, " wanita yang dikenali secara sendirian (tanpa orang ketiga) adalah wanita yang paling tidak kita kenali..."
Kenali diri sendiri
Kenali bagaimana sifat dan naluri serta tabiat sendiri untuk memelih pasangan. Jangan cari yang hanya berkenan dimata. Cari yang berkenan dengan HATI dan serasi.
Pasangan ideal
Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, begitulah sebaliknya. Cermin diri sendiri sebelum memilih. Baiki diri sendiri sebelum mengharapkan teman yang baik.
Teringat kisah bagaimana Ayahsu saya dinikahkan di atas tangga setelah tiba dari mesir. Begitu juga kisah ibu yang hnya mengetahui suaminya adalah ustaznya pada hari perkahwinannya.
Begitu juga kisah bapa Abdul Kadir Jailani dan ibunya. Mampukah kita melahirkan Abdul Kadir selepas ini andainya keadaan kita pada hari ini tidak diubah ke arah yang lebih baik. jangan mendambakan keluarga bahagia, anak yang soleh seandai perhubungan ibu dan ayahnya tidak dijaga sejak sebelum kahwin lagi. Kalau si teruna boleh menduga hati dara ketika ini, tak mustahil perbuatan itu akan berulang bila mereka bersama. Jika si dara sudah pandai melayan ajanabi yang haram baginya ketika ini, mungkin sahaja bila bersuami nanti, nikmatnya bukan berada pada yang halal, bahkan terus tertarik pada yang haram.
Jangan Ajar Allah
"Ana dah istikharah...Memang tak nampak orang lain."
Betulkah cara kita beristikharah? Kita minta Allah tunjukkan yang baik atapun kita memberitahu bahawa pilihan kita sudah baik..? tepuk dada tanya iman. Ramai yang beristikharah ketika hati mereka sudah mabuk. Pilihan sudah ada dihati, seolah mengajar ALLAh, "inilah teman yang terbaik untuk saya, Perkenankanlah..."
Buat sahabat dan sahabiah yang sudah terdetik untuk membina tangga dirumah masing-masing, renungilah post ini sebaiknya.
Saya sudah mencernakan sebaiknya untuk mudah difahami. Bacalah dan renungilah sebaiknya.