Selasa, 10 Jun 2008

Siapa yang membazir? Siapa yang patut berjimat?

Minyak petrol Malaysia
Minyak Petrol Saudi. Rs 10 = 20.9 Liter

Tanggal 4 jun 2008, perdana menteri malaysia mengumumkan kenaikan harga minyak yang memecahkan rekod kenaikan harga bahan bakar itu, petrol 78 sen dan RM 1 bagi diesel. Mungkin itulah tanda terima kasih beliau kepada penyokong setia kerajaan dan mungkin juga sebagai ancaman kerana mempercayai janji Pakatan Rakyat. Walaupun alasan yang diberi ialah kenaikan harga bahan mentah itu di pasaran antarabangsa.

Sehubungan dengan itu, ramailah yang bangkit menentang, berpiket dan menganjurkan tunjuk perasaan. Tidak kurang juga yang bersedia dengan pelan perancangan hidup baru, mungkin merancang untuk kembali menunggang motosikal, berbasikal atau bersunnah dengan menunggang kuda. Yang malang ialah mereka yang bersetuju malah membela keputusan kerajaan menaikkan harga emas cecair itu.

Saya menulis pada hari ini bukan untuk membahaskan dari sudut akademik atau politik jauh sekali dalam bidang ekonomi. Bahkan berpandukan pengalaman berkunjung di negara sejawatan dengan Malaysia sebagai pengeluar minyak, Saudi. Harga minyak di Saudi jauh berbeza dengan harga di Malaysia. Rs 10 mampu memulangkan lebih 20 liter petrol. Tak perlu beralasan bahawa kita membeli minyak dari luar. Yang penting negara kita adalah negara pengeluar minyak.

Bukan sekadar itu, negara kita juga terkenal dengan negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia. Di mana keuntungan semua itu? Di mana keuntungan sawit? Di mana keuntungan getah? Dimana keuntungan minyak mentah? Ketidakpedulian kita terutamanya pimpinan negara untuk bersyukur dan berjimat menyebabkan harta kurniaan ilahi yang diperap berbillion tahun di bawah tanah itu yang sepatutnya mampu bertahan ribuan tahun bakal habis dalam jangkamasa tidak sampai 100 tahun.
Maka untuk menutup kemarahan rakyat, pengerusi OIC yang merangkap imam HADHARI pun mengarahkan ustaz dan ustazah menyerap masuk dalam masyarakat samada dalam media elektronik, media cetak, malah terjun dalam dunia realiti ke kampung dan desa untuk menyampaikan ceramah dan forum supaya berjimat cermat. Maka berbondno-bondonlah ustaz dan ustazah Hadhari tampil dengan upah yang tinggi, berkereta besar pergi berceramah ke kampung kepada pakcik dan makcik yang sudah puluhan tahun mengira biji beras, berjimat cermat untuk menjaga anak-anak yang bakal meneruskan hidup.


Sedangkan panel penceramah, ahli vip yang hadir serta penganjur masih dalam dunia membazir. Tidak pernah sekali Allah mempersaudarakan manusia yang zalim dengan syaitan, berbeza dengan si pembazir, maka Allah berfirman, “ Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara bagi syaitan-syaitan”.


Suka untuk saya tegaskan pada hari ini, golongan yang patut ditegur ialah para pembesar negara yang secara zalimnya meletakkan beban kepada rakyat sedangkan mereka masih bersenang-lenang dengan pangkat dan harta yang bertimbun bahkan masih menerima elaun dan dividen serta keistimewaan yang keterlaluan.
Kenyataan seorang 'orang besar kerajaan', "tidak relevan memotong elaun menteri, bukan sampai bilion pun". Ya, memang rakyat tahu, elaun menteri tak sampai billion, sebab itulah rakyat nak ia dipotong. Mana kesanggupan pemimpin untuk bersama rakyat kalu masih menikmati elaun ?

Saya amat tertarik dengan kisah Imam Nawawi yang dibuang negeri setelah beliau enggan untuk memberi fatwa untuk mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk mencukupkan kelangkapan perang demi mempertahankan negara. Sekali imbas, patut bagi si raja untuk mengambil harta rakyatnya pada waktu itu. Tapi, kecerdikan Imam Nawawi tidak seperti ustaz dan ustazah Hadhari yang mudah ditipu oleh ketamakan pemerintah. Beliau berhujjah bahawa beliau akan membenarkan si raja mengambil harta rakyat jika gedung kekayaan istana dikosongkan, gundik-gundik dibebaskan dan segala kemewahan ditinggalkan namun kelengkapan perang masih belum mencukupi. Maka raja naik marah lantas membuang Imam Nawawi ke luar negeri.

Begitu juga dengan kisah seorang sahabat yang dihantar untuk menjadi gabenor di salah sebuah wilayah islam. Maka apabila tiba musim pembahagian zakat, nama si gabenor tadi berada di tangga teratas senarai penerima zakat lantaran kemiskinan beliau kerana senantiasa meninggalkan kesenangan dan keperluan diri serta keluarga semata-mata untuk membantu rakyat jelata. Samalah juga tentang apa yang berlaku pada Khalifah Umar Khattab yang terlebih dahulu mengorbankan kesenangan diri sebelum meminta rakyat berjimat cermat apabila tiba musim kemarau, Musim RAMAD, selama hampir 9 bulan. Sepanjang temoh itu, Saidina Umar tidak memakan lemak, meminum susu bahkan memakan daging. Rasulullah sendiri yang sememangnya menjadi contoh tauladan kepada umat islam hidup dalam keadaan sederhana.
Itulah gaya sebenar seorang pemimpin. Terlebih dahulu mengorbankan kesenangan sendiri, bukan hany dengan mudah meletakkan beban kepada rakyat. Sedangkan diri sendiri masih sempat untuk bermain golf, menunggang kuda, bercuti ke luar negara dengan dibiaya duit Rakyat! Bagaiman patut pemimpin negara berpesta dengan berhabis jutaan ringgit sedangkan rakyat miskin yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan tanpa apa-apa skim yang menaungi sedang mengikat perut membilang biji beras ekoran kenaikan harga beras dan kenaikan mendadak harga minyak.

Tertarik saya untuk mengikuti jejak langkah Imam Nawawi menegur Pembesar Negara supaya terlebih dahulu berjimat sebelum melepaskan beban itu kepada rakyat. Tinggalkan dahulu istana besar, kecilkan dahulu poket tebal menteri-menteri, hilangkan dahulu skim eksekutif dan eklusif yang melindungi para menteri, jual dahulu saham-saham individu yang bernilai bilion ringgit. Hilangkan dahulu sifat pentingkan diri para pembesar dengan mengosongkan garaj kereta mewah dan eksotik pembesar negara. Patutkah seorang pemimpin masih bermewah mengurniakan pangkat bermewah-mewah berpesta saat rakyat mereka menderita.

Bayangkan Pak Lah berucap supaya rakyat berjimat, sedangkan dia sejurus menyantap di meja mewah berasama konconya? Dari mana duit untuk membayar makanan itu? Bukankah lagi patut Pak Lah meniru gaya seorang MB yang hanya makan nasi goreng dalam polisterin?
Wahai rakyat Malaysia, sedarlah bahawa anda semua sedang diperbodohkan oleh pemimpin yang kamu junjung. Anda di desa telah puluhan tahun berjimat, sedangkan mereka masih sempat bermewah. Patutkah anda memilih meraka untuk kali kedua?

Tiada ulasan:

Facebook Comments Box: Bloggerized by HASANHUSAINI.COM

Catat Ulasan

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]