Rabu, 26 Disember 2007

ISO: idea susahkan orang..?

“Khairunnaas, anfa’uhum linnaas”. Sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia. “Addiinu yusrun”, bermaksud : agama itu mudah. Dua hadith ini memberi satu penekanan kepada manusia sebagai khalifah dan ‘abid di muka bumi ini untuk mengikuti dua syarat ISO dari Allah dalam menjalankan setiap gerak kerja yang dilakukan untuk mentadbir dunia ini. Segala yang disarankan oleh agama adalah untuk manfaat dan kesenangan manusia.
Setelah hampir setengah bulan, saya memerhati apakah kesan dari MS:ISO kolej saya, adakah bertepatan dengan prasyarat dari pencipta alam, ALLAH S.W.T. Ianya menjadi kayu ukur yang penting bagi saya kerana kolej kami adalah kolej yang bidang hardcorenya ialah Al-Quran dan majoriti pegawai dan ahli eksekutifnya ialah golongan agama yang berjanji setia lima kali sehari untuk menjadikan segala amalan hariannya kerana Allah semata-mata. Inna solati wanusuki wamahyaaya wa mamati lillahi rabbil alamin.

.............................


Saya memulakan langkah pertama dari rumah dengan hati yang penuh dengan pengharapan baru bahawa ISO yang dilancarkan bakal memberi kemudahan dan kesenangan kepada semua pihak. Dalam perjalan menaiki bas catar Ekspres Transnasional yang kapasiti enjin berjenama MAN buatan Jerman itu tidak kurang dari 12000 cc, saya berbual-bual dengan beberapa kawan, mengharapkan masa depan kami di kolej lebih selesa dan tenang tenteram.

Segalanya hancur, harapan musnah apabila bas kami tiba di pintu pagar besar kolej. Arahan Pak Guard supaya bas yang kami naik hanya berhenti di perkarangan masjid meresahkan banyak pihak. Sedangkan perjanjian dengan pihak terlibat sebelum balik bercuti adalah untuk membenarkan bas masuk hingga ke kawasan asrama. Saya menjadi terkejut dan agak kebingungan mengingatkan perjanjian tersebut. Siapa pula yang mengubah kebenaran bertulis itu? Tambahan lagi, seperti kebiasaan, apabila balik bercuti, kami akan berbekal dengan pelbagai keperluan dan makan dari kampung untuk dikongsi bersama dengan sahabat di kolej. Paling kurang, satu beg besar. Setelah berunding dan menghubungi pihak terbabit, bas kami dibenarkan masuk. Saya menarik nafas lega.
Namun, seorang sahabat memberitahu bahawa bas kedua, (sebelum bas kami) hanya berhenti di masjid kerana dihalang oleh pihak keselamatan disebabkan arahan atasan. Rakan-rakan yang keletihan menempuh perjalanan selama 12 jam itu terpaksa memikul bebanan termasuk sahabiah dari muslimat yang rata-rata membawa komputer untuk persediaan menyiapkan tesis. Kesian muslimat. Ada seorang rakan saya dari Pasir Mas yang bertubuh kecil molek terpaksa memikul 3 kotak barang disamping dua beg besar dari masjid ke asrama yang jaraknya hamper 300 meter dalam keletihan. Bayangkan, mungkin ISO kami sememangnya Idea Susahkan Orang. Saya menyuarakan kepada pihak keselamatan. Namun mereka mendakwa menerima arahan untuk berbuat demikian dari pihak atasan. Mungkin pihak pentadbiran yang bertanggungjawab keatas ISO.
Lebih memeranjatkan lagi apabila diberitakan bahawa pada sebelah petang tersebut, deretan ibubapa beratur di pintu utama kerana dihalang masuk. Saya bukan mahu mempertikaikan undang-undang, tapi saya mementingkan nilai perikemanusiaan. Deretan ibubapa ditahan kerana mahu menghantar anak-anak mereka di ‘taman syurga’. Apalah mudharatnya sekira ibubapa dibenarkan. Bayangkan kalau perkara ini berlaku kepada anda wahai ibu dan bapa mithali…
Suatu ketika, semasa masalah Prebet dan Ibubapa dihalang masuk, saya pernah berjumpa dengan pihak terlibat. Mereka beralasan bimbang berlaku sesuatu yang tidak diingini berlaku. Satu alasan yang tidak konkrit dan tidak sepatutnya diberikan oleh mereka authority dan berkaliber.
Arahan dan larangan yang dikeluarkan secara mengejut itu menyusahkan banyak pihak. Ibubapa merungut, para siswa/wi gelisah dan pihak keselamtan tersepit antara tugas dan perikemanusiaan. Tambahan pula, ketiadaan alasan yang konkrit itu menyebabkan kami sangsi dengan arahan yang diberi. Beberapa kali meminta penjelasaan, jawapan tetap sama.
Sepatutnya, sebagai golongan yang faham Al-Quran mengambil pengajaran dari method Al-Quran dalam menetapkan satu arahan dan keputusan. Pengharaman Arak didalam Al-Quran dibuat dengan secara berperingkat dan ansur-ansur disamping memberi alasan kukuh terhadap pengaharaman itu. Mudharat melebihi manfaat yang ada.
Saya terfikir, apakah mudharat yang bakal menimpa sekiranya ibubapa dan bas dibenarkan masuk kekawasan asrama? Apakah kesan buruk yang bakal diterima sekiranya prebet dibenarkan masuk kekawasan kolej.
Selain itu, pengharaman sesuatu perkara menurut Al-Quran juga diberi inisiatif lain seperti pengharaman riba digantikan dengan halalnya jual beli. Mana inisiatif pengangkutan kami sekiranya prebet diharamkan? Melihat sahabat memikul beban berat dari pintu pagar utama untuk ke asrama, hati terasa pilu… tambahan pula melihat sahabiah yang berada dalam keadaan demikian.

Fikir-fikirkanlah. Saya yakin semua pihak tahu baik buruk sesuatu perkara. Jadi, gunakanlah timbang-tara yang baik dalam memutuskan sesuatu perkara. Janganlah sehingga untuk memudahkan setengah pihak yang minority, golongan majority tertindas.

Marilah sama-sama kembali kepada ajaran Al-Quran dan Al-Sunnah.

Tiada ulasan:

Facebook Comments Box: Bloggerized by HASANHUSAINI.COM

Catat Ulasan

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]