Ahad, 24 Mei 2009

Tribute Untuk Adik


Senyuman terakhir ibu hari ini...

23 Mei tarikh keramat buat adik saya. Beliau kini selamat berdaftar sebagai pelajar Tamhidi Syariah dan Undang-undang di Universiti Sains Islam Malaysia.

Sepanjang perjalanan, ibu menghabiskan sisa waktu yang berbaki sebelum berpisah dengan adik sebaiknya. Kasihan ibu, sendirian pasti di rumah selepas ini. Hanya berteman ayah. Saya mungkin tidak banyak waktu yang boleh diluangkan bersama ibu.

Adikku, sungguh besar harapan ibu ingin melihat anak-anaknya berjaya.

Bukan berduit ibumu untuk menyara sepenuhnya pengajianmu. Namun bukan kepalang usahanya untuk memudahkan urusanmu. Ayah juga begitu. Kesepuluh anaknya tidak terhantar, namun anak tirinya kini diusahakan untuk menghantar sama.

Adikku, sesungguhnya, banyak mata sedang tertumpu kepada keluarga kita. Keluarga Wahab Maryam. Keluarga yang pernah menjadi tunjang pergantungan di kampung. Keluarga orang alim.

Banyak juga mata-mata yang tertumpu kepada kita. Yang baik, alhamdulillah, cuma dibimbangi, mata yang mengintai keburukan untuk disebar luaskan. Lantaran hasad mereka kepada keluarga kita.

Adikku yang disayangi..

Tinggi juga harapan ayah dalam diarinya yang kini masih ku simpan.. harapannya kita menjadi insan yang bertaqwa, biar apa gelaran yang diraih.

Harapnya agar kita menjadi insan yang bermanfaat, menyumbang jasa.

Adikku..

Sesungguhnya ketika ini, ibu kesedihan lantaran kesepian dan kesempitan.
Berjanjilah duhai adikku, betkadlah bersama ku, bahawa kita akan tukarkan duka wajah ibu suatu hari nanti dengan langkah kita pada hari ini.

Adikku, berjanjilah untuk mengubat luka hati ibu di hari esok. Berjanjilah bersamaku untuk mengukir senyum diwajah kusam itu bila dengan senyuman yang bercahaya di wajah yang kian dimamah usia itu.

Adikku, kesunyianmu di sana bakal hilang dengan kehadiran rakan-rakan dan kesibukan pelajaran. Namun, kesunyian ibu dirumah hanya diubati ayah yang kian uzur dan cicipan unggas yang berzikir.

Adikku, tersuskan usaha menggapai kejayaan, kerana restu ibu bersamamu. Tekadkan kakimu di perantauan untuk pulang membawa senyuman di hati ibu.

Ikhlas dari kekandamu.


Khamis, 21 Mei 2009

All The Bestkah?

Semalam. Saya menerima satu mail dari seorang pembaca blog saya.

Pembaca setia katanya.

“ana terkadang terasa begitu iri hati membaca cerita nta…segalanya baik..samada cerita family, sahabat, usrah, tempat kerja, seolah-olah segalnya menurut skrip yang nta rancang.. ana cukup tak boleh terima bila nta bergembira waktu excdent..cukup pelik…tak macam hidup ana yang penuh belenggu…nta anak sulung, tp bgitu bebas membuat keptuusan, ana sentiasa dikongkong...”

E-mail begitu menyebabkan saya termenung seketika.

‘All the best’kah hidup aku?

Persoalan yang bakal saya jawab sendiri. Cuma yang membezakan, ikhlas atau berselindung.

Saya cuba untuk memahami sahabat tersebut. Latarbelakangnya, sikap serta cara melihatnya saya selidiki.

Positifkan keadaan

Tak dinafikan bahawa setiap manusia yang bernyawa pasti ada tekanannya. Pasti ada ujian yang melanda, bala yang menimpa, musibah yang menjemput hati supaya tabah mendahului amarah.

Maka, sebagai manusia realiti, saya juga tak terkecuali begitu. Cuma, mungkin yang berbeza, saya belajar untuk melihat sesuatu melalui banyak dimensi dan cuba untuk mengambil sudut terbaik.

Kalau diikutkan kebiasaan, saya cukup berhak untuk tertekan sewaktu kemalangan di Kepong tempoh hari. Dengan ketiadaan duit, kesuntukan masa, kereta yang dipinjam cuma, langgar orang lagi..sudah tentu tekanan yang datang begitu berat. Kalau saya menangis pada waktu itu, tak siapa akan mengatakan bahawa saya pondan dan sebagainya.

Tapi, apa yang saya cuba adalah untuk melihat sebaliknya.

Tangisan, tekanan dan emosi tak akan menyelesaikan masalah. Tambahan pula, peranan saya selaku ‘abang’ pada waktu itu.

Ke’abang’an itu sedikit sebanyak membantu saya untuk belajar menekan butang pause, berfikir secara rasional bukannnya dengan emosional.

Selalukah begitu..?

Saya tetap manusia. Dengan erti, adakalanya juga saya akan tertekan, bermasalah dan buntu.

Apa yang saya ceritakan di laman maya ini bukanlah gambaran sebenar kehidupan seharian saya. Cukup sedikit maklumat dan perkongsian yang saya tulis berbanding apa yang saya hadapi secara realiti. Namun, untuk menulis sesuatu yang kita sendiri tidak ingin untuk mengimbaunya sebagai kenangan cukup susah dan memeritkan. Maka, kebanyakan cerita dan perkongsian saya adalah sesuatu yang positif atau sedang dalam proses mempositifkannya.

Contohnya, ibu saya pernah terasa hati apabila saya lewat menghubunginya setelah cukup haul seminggu.

Saya juga pernah tertekan dengan masalah dan musibah yang menimpa-nimpa. Dengan harta yang semakin mengering dari saku dan dompet.

Tertekan dengan tanggungjawab yang banyak tak tertunaikan. Serabut dengan perancangan masa hadapan yang belum tentu ke mana.

Tertekan dengan tugas dan kerja, tugas dan tangungjawab. Di tempat belajar, bekerja dan di rumah.

Kerana saya juga seperti anda, seorang manusia.

Justeru, di mana punca kekuatan saya. Jika saya jawab Allah, ramai akan berpandangan sinis.

“fuh, hebat la awak, bila tak ada duit, minta doa..”

Ya, bukan sebodoh itu. Ketetapan Allah juga perlu diikuti. Usaha untuk pembaikan itu wajib didahulukan sebelum dipintal dengan sekuntum doa.

Lalu jawapannya adalah, saya mempunyai ramai teman.

Bukan teman, tetapi kawan.

Bukan juga, tetapi sahabat.

Ya, sahabat. Namun bukan sebagrang sahabat.

Sahabat seagama yang bukan diikat dengan harta, bukan dengan talian keluarga, tapi dengan agama. Ikatan aqidah hasil bai’ah dan syahadah kepada tuhan yang esa.

“bukankah aku ini tuhan kamu,” lalu mereka menjawab, “bahkan ya”.

Dialog jutaan tahun dahulu menjadi saksi kekuatan.

Manusia bersinergi.

“ nta makan apa hari ni?”

“nasi kukus”

“hui, sedapnya, berapa harga?”

“ lima ringgit malaysia”

“ isy, mahalnya..tak patut betul..cekik darah punya orang”

Seketul peha ayam goreng berempah, sepinggan nasi putih yang dimasak dengan cara kukus dan sedikit kuah serta sambal bernilai RM 5.

Mahal?

Cuba fikirkan, betapa senang dan bertuahnya kita hasil sinergi sesama manusia sehingga kita mampu menikmati sepinggan nasi kukus hanya dengan membayar RM 5.

Andainya sinergi itu tak ada.

Maka untuk menikmati sepinggan nasi kukus, anda perlu memelihara ayam, sembelihnya, masak. Untuk memasak, anda perlu menanam kunyit,lengkuas, halia dan mengkondensasikan air laut untuk dijadikan garam serta menanam sawit untuk mendapatkan minyak sawit demi menggoreng seketul peha ayam berempah.

Bagaimana pula dengan beras? Sambal cili dan dalca timun? Kuah kari?

Sinergi yang cukup indah untuk dihayati. Sinergi yang menjadi sumber tenaga.

Namun di manakah sumbernya..?

Saya menjumpainya pada tanggal 28 mei 2006 di Darul Quran. Usrah yang membina kekuatan saya. Dari insan biasa yang terlopong speanjang masa di Haluan Siswa, terketar-ketar dan bisu saat Mafatih Mahabbah sehingga kepada Setiausaha Hewa, Timbalan Pengerusi Aqrab dan akhirnya sebagai Yang Dipertua PERKEMAT DQ.

Nama-nama seperti Idris, Izwan, Yusran, Syaukani, Hayyi, Azan, Khalil, Hashrul dan Syahrul adalah nama yang menjadi sumber sinergi dan tulang belakang kebangkitan.

"Ooo, maksudnya nta ni jenis yang tidak proaktif la, sebab terpaksa bergantung dnegan orang lain untuk menjadi hebat..."

Antara sinergi dan proaktif. Itu bukan persoalannya. Saya tidak menjadikan Sahabat seperjuangan saya sebagai asas untuk menuju perubahan dari tak hebat kepada hebat. Namun, peluang sinergi yang ada, saya pergunakan sebaiknya.

Di antara dua situasi ketika anda dalam kesusahan, yang mana menjadi pilihan.

Anda ditimpa musibah dan ada yang memehami serta sudi berkongsi akaun bank untuk menyelamatkan anda, disamping anda tetap proaktif untuk menyelesaikan masalah.

Atau, anda bermasalah dan anda hanya proaktif berseorangan untuk menyelesaikan masalah anda sendiri secara sendirian.

Pilihlah yan mana satu.

Saya cukup bertuah, mensyukuri nikmat Allah yang mengurniakan saya peluang untuk merasai batapa haibahnya kekuatan sinergi dengan talian aqidah. Dan saya cuba untuk merasakannya kepada mereka yang berada di sekeliling saya.

"tidak sempurna iman seseorang itu sehinggalah dia mencintai sahabatnya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri"

Jadi, kepada pembaca yang iri hati dengan pengalaman saya, berusrahlah untuk mencari sinergi dikalangan makhluq Ilahi.

Rabu, 13 Mei 2009

Engkaulah ratu hatiku..

Hari Ibu.

Saya menghubungi ibu dari Kuala Lumpur. Sehari sebelum hari ibu, saya terbang bersama Saga baru kesayangan ibu dari tangga rumah ke Kuantan, seterusnya ke KL.

Sebelum mula perjalanan, ibu berpesan..

" Bawa kereta baik-baik...bukan sayangkan kereta, tapi sayangkan anak lelaki tunggal..kereta, kalau rosak boleh dibaiki, kalau tak ada duit, boleh berhutang..anak, kalau rosak, tak ada spare part.." pesan ibu sambil matanya merenung tepat ke arah mata saya.

Tangan ibu saya kucupi, kemudian ke pipi dan dahi.

Masuk ke kereta dengan kaki kiri, bertolak. Dalam perjalanan, mutiara jernih mengalir lagi. entah kenapa, sejak kebelakangan ini, air mata lelaki saya begitu murah untuk mengalir.

Dua minggu lepas, dua saman laju bertandang ke rumah. Sedikit leteran ibu singgah menjadi tazkirah yang paling baik di dunia. Tapi, sewaktu saya jejakkan kaki ke rumah, ibu tidak pernah mengungkit akan hal itu.

Itulah kasih ibu. Kasih yang tak berbayar dan tidak akan terbayar.

Kasih Ibu, Kasih sejati.

Minggu depan, 23 hb, adik bakal mendaftar sebagai pelajar Tamhidi Syariah dan Undang-undang di USIM.

Tahun ini juga, insyaAllah, saya akan terbang ke seberang laut.

Mengenang itu, ibu tiba-tiba bersuara tika makan malam bersama.

"mungkin ni makan malam empat orang, lepas ni tinggal empat mata je la, saya tengok kat awak, awak tengok kat saya.." ibu memandang pinggan nasi selepas mengalihkan pandangannya dari ayah.

" malam ni, lauk telor goreng tawar masih manis lagi, lepas ni, lauk ayam pun jadi tawar la..." kelam suara ibu dari dadanya.

"lepas ni, telor kat kedai Azhar tak laku la, sebab pelanggan tetap dia dah ke Jordan..." adik perempuan saya cuba menyinarkan suasana.


"ehem", saya membetulkan kedudukan kerongkong yang sempit. Ketawa tak mampu dilepaskan. Ibu sedang menyampaikan isi hatinya.


Usai makan, saya menghulurkan buku "Bidadari Dari Timur" kepada ibu.

Sambil itu, saya mendampingi ibu.

" Ma tak bagi abang belajar jauh ke?" saya cuba mencari kepastian.

" Bukan begitu maksud ma..bukan tak bagi belajar jauh..cuma..." Suara ibu tersekat.

" Eherm...cuma, ibu mana yang tak sayang kat anak dia..kalau boleh, dia nak tengok anak-anak dia setiap hari, setiap jam, setiap saat.." Perasaan ibu lerai.

Air matanya merembes sama laju dengan untaian manik di pipi saya.

Teringat suatu ketika dahulu.

"Di Nilam Puri (KIAS) tu, tak ada ijazah ke..". Ibu pernah bertanya begitu ketika saya menyampaikan hasrat untuk ke Mesir bila mendaftarkan diri sebagai calon STAM.

Terkenang kesunyian ibu selama 16 tahun sepeninggalan ayah. Ibu sendirian mendidik anak nakal seperti saya.

Pantang lewat sampai ke rumah, ibu pasti menyusur dengan motor pusaka peninggalan ayah, menjejaki anak lelaki nakalnya. Kadang-kadang saya mandi sungai, kadang-kadang saya terjun sawah mencari lampam, keli dan haruan.

Jarang-jarang saya mencuba teknik baru menunggang motor dengan motor kawan.

Semuanya itu membimbangkan ibu.

Ibu bimbangkan anaknya rosak, punah menjadi sampah masyarakat. Ubat ibu waktu itu bervariasi. Kadang-kadang berakhir dengan libasan rotan yang hinggap.

Tidak seperti anak zaman sekarang. Ibu pernah berkongsi bersama teman sejawatannya, ibu tunggal.

" anak aku, nakal juga.. tapi kalau rosak pun, bukan rosak akidah..mandi sungai, naik pokok..anak zaman sekarang, tengok vcd lucah, gambar lucah, internet, tu semua rosak pemikiran..susah nak diubati.."

Namun, setiap kali selepas merotan saya, ibu pasti menangis dan menyebut nama ayah. Rotan yang ditinggalkan ayah itu hanya diguna bila kenakalan saya memuncak.

Betapa susah ibu memikul tugas lembut seorang ibu dan tugas tegas seorang ayah.

Malamnya, bila saya nyenyak tidur, pasti ibu datang mngusap ubun-ubun dan membacakan doa :

Ya, Allah, kau kurniakan kepada ku dari pasangan ku dan anak-anakku sebagai penyejuk mata, dan jadikan kami imam (ketua) kepada orang muttaqin.

Pernah saya tersedar saat ibu menyapu ubat ke tempat luka hasil libasab rotannya ke tempat tak berbaju saya. Ibu menangis saat itu.

Dan hari ini..

" San, maafkan ma ye...dulu ma rotan, cubit..." Ibu menangis lagi.

Saya semakin sebak.

Tanpa kalimah di lisan, hati saya berbicara:

Ibu, rotanmu membentukku, Leteranmu pemanis hatiku, Cubitanmu mengukir peribadiku.. Semuanya kerana hasrat ibu yang tinggi, menginginkan daku menjadi insan soleh..berperibadi tinggi..muslim sejati..

Tiga tahun lalu, saya memperkenankan pinangan untuk ibu, saya menjangkakan bahawa ibu pada suatu hari nanti akan memerlukan teman pengubat kesunyian saat kami berdua melangkah luas menyambung pelajaran.

Dan hari ini, dalam kesayuan, saya menaruh harapan kegembiraan. Ibu sudah berteman. Ayah pasti akan menjadi ayah sejati menemani kesunyian ibu.

Ibu..engkaulah ratu hatiku...




Bulan bersedih

"Bukan kawan la ma, abang..." Nov 2007.

Ayat yang paling menyentuh hati ini bakal saya ingati sampai akhir hayat.

Hari ini, 12 Mei 2009. Saya di KLIA bersama Syaukani, Yusran, Rahim, Redzwan , Mahmud, Hafizan dan beberapa sahabat lain untuk menghantar beberapa orang adik beradik yang bakal menyambung perjuangan di dataran Syam.

Azan, Khairi, Arif, Fatimah dan Kak Khalijah. Mereka bakal menjadi tetamu dataran Syam. Bumi Anbiya' yang penuh barakah. Itulah isi kandungan doa Nabi Muhammad S.A.W.

Terasa sayu saat menerima ucapan salam kasih sayang dari mereka, terutamanya adik bongsu GEGAR, Azan sebelum melangkah pergi. Riak wajah yang dipaksa keras untuk tidak banyak mengalirkan air jernih. Namun, untaian mutiara itu ikhlas menuruni pipi, menjadi lidah bagi hati kecil yang bersawala.

Kehadiran Abg Idris meski sibuk dengan tugas menjaga ummah cukup memberi kesan. Naqib yang tak kenal erti lelah dengan usrah. Seolah usrah menjadi makanan ruji. Tabik. Air tangannya cukup memberi kesan yang merubah kami menjadi sekarang. Gegar Corp. Ikon usrah di DQ.

Melambai tangan saat mereka turun ke Terminal cukup syahdu. Tangisan mama yang melambai kepada anak bongsunya meruntun hati.

Mereka pergi, aku masih di sini. Menunggu giliran untuk menyambung sisa perjuangan.

Di Medan Mu'tah atau di Bandar Nabi.

Ya Allah, permudahkanlah urusan mereka untuk menjadi insan yang bermanfaat kepada makhluq-Mu.

BULAN BERSEDIH

Dalam perjalanan paling soleh, saya hanya memandu 80kmj dari Bentong ke Kuantan. Sepanjang perjalanan, saya dan Syaukani membelek helaian kenangan bersama Azan dan Khairi. Pahit manis di Darul Quran yang menjadi asam garam yang mendewasakan.

Ya, bulan turut bersedih, bagaikan kami yang sedang kehilangan seorang adik yang disayangi.

Terima kasih jaga aku... Syaukani kelu mengingati kalimat itu. Kasih si pemberi sudah tentu beratus kali ganda dari kasih si penerima.

Perasaan lerai. Kami sekali lagi tersedu. Kini mengenangkan masa depan yang masih kelabu.

Ya Allah, permudahkanlah urusan kami...untuk membantu agama-Mu.

Selasa, 5 Mei 2009

sebuah catatan

Usai pertemuan bersama ikon, Ust Hasrizal di Cheras, saya bergegas ke UKM. Bertemu mata dengan naqib, meski hanya beberapa detik cuma.

Kembali ke DQ, bertanyakan khabar tentang generasi baru. Diploma 09-12. Beberapa orang junior yang pernah merasai air tangan saya menapak ke sana. Moga menjadi insan yang bermanfaat di bumi barakah itu.

Berpagi, saya meneruskan musafir ke Kuantan. Singgah sebentar di Bentong. Mohon simpati seorang sepupu untu mempromosikan jualan baju Brotherhood.

Terus lagi ke Kuantan. Menghantar Syaukani pulang le rumah.

Terus lagi dari Kuantan ke Kelantan. Menunaikan tugas sebagai guru pengiring PKBM (L) di Kem Rehlah, Pantai Bisikan Bayu, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan.

SUASANA KEM

Selepas memakirkan kereta di bawah teduhan Rhu rendang, laungan kalimah yang menggentarkan hati kedengaran.

" TAKBIR"

" ALLAHUAKBAR"

Aik, ni perkhemahan PKBM atau tamrin pemuda kawasan...? Getus hati saya.

Cerita bersambung kalau ada manfaatnya...