Isnin, 16 Mac 2009

Ajarkan A itu untuk Hidup

Para pelajar yang kaya A hari ini, mesti dibantu untuk melihat keseluruhan hidupnya di masa hadapan. Jangan hanya bijak akademik tetapi tidak bersedia menempuh realiti hidup.

Untuk menjadi seorang yang berjaya di masa hadapan, bukan hanya akademik yang jadi bekalan. Sikap, kemahiran hidup dan kematangan dalam membuat keputusan harian, adalah sesuatu yang sering hilang prioritinya pada hari ini.

Oleh itu, gambaran akhir terhadap sesuatu tindakan itu mesti diambil kira.

Begin with end in mind

Ini prasyarat yang ditetapkan oleh Stephen R. Covey dalam bukunya yang masyhur, Seven Habit Of Highly Effective People.

Cukup penting untuk para penghuni dunia pada hari ini untuk menilai sesuatu keputusan yang dibuat sejauh keberkesanan yang bakal timbul dari keputusan itu.

Kekayaan A pada hari ini perlu diseiringkan dengan daya kematangan untuk menganalisa soalan dunia.

Kaya dengan A, namun tidak mampu menafsirkan, apakah yang bakal berlaku apabila bersekedudukan dengan lelaki ajnabi tanpa orang ketiga.

Kaya dengan A, namun tidak waras untuk memikirkan apakah yang bakal berlaku bila gelojak nafsu dijawab dengan ‘terlanjur’.

Kaya dengan A, namun membuang anak merata tempat.

HILANGNYA ILMU TAKSIR ( COMMON SENSE )

Saya selalu ditegur dan diingatkan oleh ibu dan datuk agar selalu men’taksir’ bila ingin melakukan sesuatu.

“kita buat macam ni kat orang lain, macam mana kalau orang buat kat kita..?” begitu persoalan kebiasaannya.

"apa orang akan kata pada kita " kadang-kadang berbunyi begini.

Taksir dalam loghat Kelantan mungkin boleh ditafsirkan sebagai intuisi.

Mungkin juga sebagai persepsi awal yang menjangkakan keputusan akhir.

Dalam bahasa Inggeris sebagai common sense.

Dalam istilah Syariah disebut, ma’luum minddeen bil dharuurah.

Besar manfaatnya.

Besar juga balanya bila ‘taksir’ @ common sense ini ditinggalkan.

Kekurangan pendidikan luar kelas hasil muamalat, pergaulan dan berorganisasi atau hasil didikan oleh ibu bapa akan menjadikan remaja yang walaupun kaya dengan A itu hilang nilai kemanusiaan seorang manusia.

Kemanusiaan seorang manusia pasti akan tahu, bahawa berminar selama dua jam itu memenatkan dan boleh menyebabkan mengantuk dan sebagainya. Namun oleh kerana hilangnya ‘ilmu taksir’ dari barisan urusetia, bekalan untuk seminar hanyalah pen dan buku nota..!!

Kemanusiaan manusia pasti tergugat maruahnya apabila ke sekolah dengan perut yang memboyot.

Aulawiyyat

Jangan hanya kita mengajar mereka untuk berfikiran kritis sebelum mereka tahu apa itu strategis!!

Jangan ajar mereka untuk berlari sebelum mereka diajar untuk berjalan !!

Usah ajar mereka yang baru berusrah untuk berjihad dan melaunglkan takbir ke sana dan kemari sebelum mereka tahu apa itu akhlaq dan adab!!

Sabda Nabi : “ addabani rabbi, fa ahsana ta’diibi”

Suburi A dengan IMAN

Pelajaran iman hanya akan didapati melalui pengajian yang tidak menjadikan A sebagai matlamat. Tetapi natijah ilmu di dada yang mampu diamalkan akhirnya menjadi keutamaan. Bukan hanya ilmu yang hanya dicurahkan sepenuhnya di atas kertas jawapan. Lalu keluar dari dewan peperiksaan dengan dada kosong.

Proses pembelajaran dan pengajaran berasaskan iman memang patut dilaksanankan dalam setiap tahap proses pembelajaran.

Bermula dari tahap awal pembelajaran dari ibubapa sejak usia 2-5 tahun.

Tahap persekolahan 5-17 tahun dan tahap tinggi dikolej dan universiti.

Setiap ilmu yang dicurahkan kepada para pelajar merupakan amanah untuk mereka amalkan. Ianya bakal dipersoalkan oleh Allah nanti.

Sabda Nabi :

“Barangsiapa yang bertambah ilmunya, tetapi tidak bertambah hidayatnya, maka tidaka akan bertamabah di sisi Allah melainkan semakian jauh dariNya.”

A yang banyak haruslah diterjemahkan dengan banyaknya hidayat, dalam ertikata, banyak amalan yang mampu dilaksanakan, banyak tegahan yang mampu ditinggalkan.

Jangan pula, bila sudah masyhur dengan kayanya A, maka keseronokan A itu akhirnya merosakkan hidup mereka sendiri.

Kayangilah diri anda dengan iman dan taqwa.

Janganlah terlalu material dalam menilai genius hanya dengan menilai kekayaan A yang dimilkki.

Tanya sifu kita, siapakah yang genius itu :

Sabdanya :

“Sesungguhnya, mereka yang cerdik (genius) itu adalah orang yang mempersiapkan diri untuk kehidupan selepas mati”.

Tanyakan pada yang kaya A itu, siapa yang sudah bersedia untuk kehidupan selepas mati, bukan untuk mati.

Jangan pula jadikan alasan bahawa mereka masih muda untuk ditanya persoalan sedemikian.

Imam Malik mampu berfatwa saat umur seperti mereka. Belasan tahun. Muhammad Al Fateh sudah membuka Kota Kostantinopel pada saat semuda itu.

Bagaimana dengan si Kaya A pada hari ini..?

Mungkin sistem pendidikan kita pada hari ini perlu dikaji juga, bukan hanya PPSMI..

Kembara Akhir dari DQ Ke Kelantan

Hari ini, buat sekian kalinya, saya keluar dari DQ.

Dengan barang-barang yang menyebabkan penyerap hentak Proton Saga biru itu termampat terus. Betul-betul lowered .

Empat penumpang dengan barangan sarat hijrah untuk kembali ke tanah air masing- masing. Arah yangakan dituju, Kuala Kubu Bharu, Kuantan, Kuala Terengganu, Tanah Merah, Kota Bharu dan terakhir, Jerteh. Mungkin mencecah 700KM.

Tepat jam 10.30, saya, Azan, Syaukani dan Hayyi bertolak.

Lambaian terakhir Pegawai Keselamatan menggambarkan keprihatinan, menghilangkan kebengisan mereka selama ini. Terima kasih.

Saya yang memandu, lalu jalan pintas ke Lebuhraya Karak melalui Genting Highland menjadi pilihan saya. 40 minit kemudian, tiba di Bukit Tinggi. Semuanya terlena.

Simpang ke Janda Baik yang menyimpan seribu kenangan. Di situlah sejarah perjuangan pernah dipahat dan diukir. Manisnya hanya kami yang mengetahui.

Jalan agak sibuk dengan kereta yang dipandu oleh mereka yang sedang meraikan cuti sekolah. Tol Bentong sesak.

Saya meletakkan target untuk tiba di Kuantan jam 1.40 pagi. 2 ¼ jam untuk menempuh 240KM. Bermaksud, saya perlu berada di kelajuan maksimum. ( dengan keyakinan tinggi dan hati-hati )

Berada dilorong kanan sepanjang masa, kecuali apabila ada raksasa bertayar 26 yang begitu sombong berada di lorong kanan meski hanya pada kelajuan 80 km/j.

Saya seronok mengikut belahan angin bas ekspress. Menjimatkan petrol kerana kereta saya tidak perlu memecahkan tampanan angin untuk membelah labuhraya itu.

Lebuhraya yang diuruskan MTD Prime itu agak kurang sempurna. Terlalu banya lencongan yang merimaskan. Lekukan yang menyebabkan hati saya hilang dari dada anda untuk beberapa saat. Tayar depan yang ringan melencong jauh dari landasan yang terlah ditetapkan.

Tepat jam 1.50 pagi, saya tiba di rumah Syaukani. Tepat pada masa yang ditargetkan. Cadangan untuk makan di Mazenah Nasi Kukus terbatal meski dirancang untuk kesana pada jam 9.30 pagi. Panggilan dari Ibu Hayyi memaksa kami memendekkan waktu ziarah.

Terbang ke Kuala Terangganu. Singgah di Marang. Masjid tiga tingkat itu mengujakan hati saya.

Di situlah benih dakwah dan tarbiyah bercambah. Rumah kayu disebelah kanan meruntun hati saya. Kediaman usang Presiden Parti Islam SeMalaysia itu sungguh menyedarkan saya. Saya memetik butang dikamera Canon 1000D saya beberapa kali. Merakam rumah kayu usang itu.

Sungguh berbeza dengan istana di Putrajaya. Juga berbeza dengan istana di Sri Perdana.

Giliran Hayyi memandu. Saya memberi tips-tips berguna. Cukup bermakna untuk memandu dalam jarak yang jauh dan mengejar masa.

Tiba di Kuala Terengganu, singgah di Adnan Keropok Lekor untuk membeli buah tangan kepada keluarga. RM 10 keropok Lekor Kg.Losong Hj Su saya sumbatkan ke dalam but kereta.

Meneruskan perjalanan ke Maahad Tahfiz Wal Tarbiyah milik Ust Abu Bakar Chik. Bertemu dengan Us Marwan yang menjadi wakil tunggal GAMIS ke seminar Pendidikan yang diadakan di situ.

Bertemu juga dengan Muntaqim yang baru sahaja memikul tanggungjawab besar di UIA PJ.

Berkongsi pengalaman seketika dengan beliau sebelum diajak makan ke meja VIP bersama Us Abu Bakar dan Dr Kamarudin Yusuf. Usai makan, bersalam dan meneruskan perjalanan ke Tanah Merah.

Mendaratkan Hayyi di kediaman Imam satu di perkarangan Masjid Bandar Tanah Merah tepat jam 5.30 petang.

Saya melengahkan perjalan ke Nilam Puri. Memanfaatkan sepenuhnya saat mata berempat untuk menyelami adik bungsu saya. Beberapa perkongsian saya adakan. Mungkin sebagai pesanan. Mungkin jug sebagai wasiat. Mungkin juga sebagai tanda kasih kepada seorang adik yang bakal meneruskan perjuangan dalam masa terdekat.

Azan bakal ke Syria. Mungkin pada bulab Mei ini. Sahabat ku, umur 20an bukanlah lambang kematangan. Kita mungkin hanya baru melalui satu pertiga hayat. Separuh kematangan. Saparuh pengalaman. Timbalah pengalaman dari sesiapa sahaja untuk mematangkan kita.

Belajarlah dari pengalaman sebelum pengalaman mengajar kita.

Khamis, 12 Mac 2009

Saya Nak Tahu ( UPDATE )


Hit 12 MAC 2009

Saya nak tahu, apa puncanya...?

Hit ke Blog saya meningkat mendadak semalam, 12 MAC 2009.

Kebiasaanya hanya sekitar 20-30 hit sehari. Tapi semalam, ianya melebihi 2 kali ganda. melebihi angka 100 hit.

Apa punca...?

Boleh saya tahu, wahai rakan-rakan sekalian...

Hari ini, JUMAAT.

Malam ni saya bakal bertolak ke Kelantan, melangkah kai keluar dari DQ untuk ke sekian kalinya.

Sebelum tu, saya surfing sekejap untuk menghantar time capsul ATOA kepada Mawardi. Alang-alang, jenguk blog.

Wah. Lagi meningkat saya punya HIt. Lebih 200 dalam masa 24 jam.

Apa yang ntum buat ye...?

Boleh saya tahu?

Rabu, 4 Mac 2009

Hari- Hari Terakhir Di DQ

Hembusan angin tasik masih menyapai rambut dihujung telinga saya. Mata masih bundar selepas terkena air wuduk, walaupun setengah jam yang lalu.

Jam biologi saya mula berubah semenjak persediaan imtihan bermula. Malam bagaikan siang.

Jeti antik itu hanya tinggal dua kerat. Hujungnya dibawa arus. Arus tasik itu agak deras malam ini. Kedengaran di telinga saya, hempasan air kerana ditiup angin di gigi tasik.

Spotlight dari dataran Pusat Islam terus menerangi. Suasana di bumi ini serasakan seperti biasa.

Namun gelojak hati saya berbicara, jiwa penghuninya sudah jauh berubah. Kian jauh dari kiblat Kalam yang Esa.

Saya pula bakal melangkah keluar dari sini. Meninggalkan generasi pelapis yang bakal meneruskan perjuangan yang tak ada penghujungnya ini. Cuma yang tinggal, apakah mereka sedar akan perubahan ini. Namun keyakinan saya cukup optimis, mereka mampu mengubahnya... optimis..

Petang tadi, sesi fotografi Ghuraba' terbatal dek hujan yang agak lebat. Digantikan dengan sesi rakaman wasiat dari ahli usrah saya.

" nta ambil hp ana, rakamkan pesanan dan ucapan nta..." saya menyerahkan HP Nokia 6233 itu kepada seorang adik usrah.

Terpaku matanya menatap saya. Bulat. Seolah tidak disangkakan.

Lima rakaman siap berada dalam folder Video Clips.

Satu persatu saya tayangkan .

Sayu.

Hiba.

Syahdu.

Terasakan bagai semalam saya menyambut mereka sewaktu malam pembahagian usrah.

" inilah usrah paling malang.."

Serasakan baru saja ianya berlalu. Kini, saat perpisahan sudah bermula.

Saya masih dahagakan tarbiyah dari mereka untuk mendidik saya lebih bertanggungjawab. Mendidik saya lebih berdisiplin. Menjadi naqib bukan hanya untuk mentarbiyah, tapi juga untuk ditarbiyah oleh anak usrah.

Puncak tangki, Shuttle Train ke Ipoh, MPH Bookstore dan Kinokuniya Bookstore. KLCC Twin Tower, Masjid As Syakirin, Hutan Lipur Sungai Sendat, Masjid Az Zubair..

Semuanya memahatkan memori yang cukup bermaknan dalam kehidupan seorang manusia yang mengembara mencari erti kehidupan seorang hamba.

Andai dapat ku ulangi semula kisah manis itu...

Adik-adik Ghuraba' dan sahabat-sahabatku,

Doakan daku untuk terus thabat dalam medan ini...

medan dakwah..

dan selepas ini..

siapakah yang bakal menyeruku,

Medan Mu'tah di Dataran Sham..

atau

Medan Badar di Madinah..


Ahad, 1 Mac 2009

Muktamar GEGAR










Pada 27 Februari 2009 iaitu pada hari Jumaat telah diadakan satu perhimpunan ahli-ahli usrah yang sampai salasilahnya dengan Gegar Group Corporation (GGC). Kira-kira 30 usrah telah menyertai perhimpunan yang julung-julung kali diadakan ini dan melibatkan lebih kurang 180 peserta.

Perhimpunan unik yang diadakan di tingkat bawah blok A ini bertujuan merapatkan lagi ukhuwah dalam kalangan ahli dan memberi peluang kepada generasi awal GGC untuk menyampaikan ucapan terakhhir sebelum meninggalkan kampus Darul Quran.

Majlis ini bermula pada pukul 9.15 malam menerusi gotong-royong membakar ayam yang dijadikan juadah enak pada malam itu dan secara rasminya, majlis bermula pada pukul 11.30 malam.

Majlis telah dipengerusikan oleh saudara Abdul Majid Faiz dan dimulakan dengan ucapan Azan Safar, Fakhrul Hayyi, Syaukani, Shahrul Ramadhan, Yusran, Hashrul dan diakhiri dengan ucapan Mohd Ihsan Fadhli.

Ucapan-ucapan pada malam itu berkisar tentang pengalaman pahit manis berusrah, sejarah nama ‘Gegar’ dan pesanan berbentuk nasihat buat generasi pewaris GGC yang terdiri daripada pelajar-pelajar semester satu (persijilan), dua (diploma), tiga (persijilan) dan empat (diploma).

Seterusnya, Ustaz Mohd Ihsan Fadhli mengumumkan ‘peletakan jawatan’ ahli Majlis Tertinggi GGC dan pelantikan baru yang terdiri daripada Mohd Anas sebagai Pengerusi, Marwan Bukhari (Timbalan Pengerusi), Asyraf Abdul Rahman (Setiausaha) dan Mohd Faisal (Bendahari).

Kemudian, majlis diteruskan dengan tayangan multimedia yang melibatkan karya beberapa usrah. Sebelum itu, ditayangkan video pengenalan generasi awal GGC kemudiannya video usrah al Banna, Comrade, Rabithah dan diakhiri dengan video usrah Ghuraba’. S

lot tayangan ini menarik minat para hadirin menerusi gelagat dan telatah usrah-usrah yang terpapar. Pada malam itu juga, usrah Ghuraba’ mengambil kesempatan menyambut hari lahir salah seorang daripada ahlinya iaitu Abu Hurairah atau lebih dikenali sebagai Achik. Sambutan ini agak berlainan dan unik kerana ucapan hari lahir oleh ahli-ahli Ghuraba’ disampaikan melalui satu rakaman video.

Seterusnya iaitu kira-kira pukul satu pagi, para peserta menikmati hidangan bihun goreng dan ayam panggang. Suasana yang jarang ditemui ini bertambah meriah dengan adegan suap menyuap dalam kalangan peserta. Apatah lagi dengan hidangan yang cukup mewah.

Sungguh, suasana ini cukup menenangkan jiwa semua adik beradik walau dari usrah yang berbeza kerana semuanya bernaung di bawah GGC. Majlis seumpama ini cukup menarik dan berkesan dalam memastikan perjalanan usrah menjadi lebih menarik di samping memudahkan perkongsian antara usrah.

Sewajarnya ia diteladani oleh usrah-usrah yang lain kerana ia menunjukkan satu pelaksanaan sebuah imaginasi umum iaitu teori ‘mengMLMkan’ usrah dan hasilnya telah dilihat oleh para hadirin dalam majlis tersebut. Sekalung ucapan syabas diucapkan kepada para pemula rantai GGC dan semoga pewaris-pewarisnya lebih bersemangat dalam meniti perjalanan selepas ini.

Laporan Disediakan Oleh :

Marwan Bukhari Abd Hamid
Timb Pengerusi GGC