Sejak sebelum lahir, semua ahli keluarga saya adalah pendokong PAS. Ayah saya ketua pemuda, nenek saya ketua muslimat. Ada sebuah surau di tepi rumah saya yang diwaqafkan untuk Islam (PAS), sebahagiannya dijadikan PASTI dan pejabat markaz cawangan. Surau 2 tingkat itu pasti akan meriah setiap pagi Jumaat dengan kuliah mingguan oleh datuk dan ayah yang bergilir-gilir menyampaikan tazkirah. PASTI pula meriah setiap hari dengan gelagat pelajar-pelajar PASTI yang comel-comel. Saya hanya akan masuk 'kelas' ketika waktu makan. Gula-gula susu dan donat adalah kegemaran saya ber-PASTI.
Ketika peristiwa Memali 19 Nov 1985, ibu sedang mabuk hamilkan saya yang berusia 3 bulan dalam kandungan. Pun begitu, beliau gagah dan bersemangat menyertai rombongan menaiki bas untuk mengunjungi tapak peristiwa Memali hanya beberapa hari selepas kejadian. Pulang dari Memali, datuk menempa beberapa bilah pedang sebagai persediaan andai kuliah pagi Jumaat atau kuliah malam Selasa-nya turut di'serang'. Pedang itu masih dalam simpanan meski dihinggap karat.
Namun sejak 1989, kami berubah pendirian lantaran penggabungan PAS bersama S46 membentuk APU. Pada kami, ia dilihat sebagai 'cenderung menyokong kezaliman' dan dianggap mengambil orang yang lebih menyukai kekufuran (S46 : bekas UMNO) sebagai rakan kerjasama politik.
Beberapa siri ceramah diaturkan di perkarangan rumah saya. Pentas perbahasan panas. Beberapa watak utama yang menentang keputusan Majlis Syura PAS dipanggil oleh Jawatankuasa Disiplin PAS. Beberapa sesi muzakarah diaturkan, namun kami tetap dengan pendirian bahawa PAS sedang tersasar. Maka kami mengambil peranan untuk islahkan PAS. Akhirnya, Jawatankuasa Disiplin mengenakan tindakan tatatertib dan memutuskan keahlian kami gugur.
Selepas digugurkan keahlian, sebuah pakatan dibuat untuk 'menegur' dan menjalankan Islah ke atas PAS. Calon dihantar bertanding menentang PAS atas nama Gerakan Al-Islah atau PAS 51 pada PRU8, Oktober 1990. Saya yang hanya berumur 4 tahun, menjulang bendera hitam putih berlogo kitab dan membantu menampal poster calon kami di tiang-tiang letrik dan pokok kayu menjelang tengah malam. Tangan kecil saya yang baru berusia 4 tahun berpolot dengan gam kanji yang direbus sendiri. Peristiwa ini kurang 30 hari selepas ayahanda saya dijemput Ilahi pada September 1990. Sungguh aktiviti itu membantu mengubat rindu kepada ayah. Al-Fatihah, semoga Allah tempatkan ayahnda saya di syurga bersama para solihin. Semoga saya diketemukan dengannya kelak tanpa hisab.
21 Oktober 1990, APU yang terdiri dari PAS bersama S46, BERJASA, HAMIM dan KIMMA menawan Kelantan dan membentuk kerajaan.
Sejak itu, kami sekeluarga 'bersara' dari medan politik namun masih mengambil pendirian untuk berusaha mengISLAHkan PAS. 'Originaliti' PAS 1951 dijadikan taruhan.
Pasca 1990, beberapa tawaran menyertai UMNO bertandang. Antaranya melalui pengerusi badan perhubungan UMNO, Tan Sri Annuar Musa. Tin biskut beraneka jenama Julies yang dijadikan buah tangan beliau masih disimpan rapi. Tanda ingatan. Namun, datuk saya tetap tegas dengan pendiriannya. Meski PAS terpesong, UMNO jauh lebih terpesong dan lebih zalim.
Saban minggu, beberapa teman rapat PAS 51 akan berkunjung ke teratak datuk di lot 64, Kg Perol. Diskusi mereka akan panas dengan idea untuk menegur PAS. Almarhum Us Haji Wan Daud Wan Jusuh adalah teman paling rapat datuk saya. Tatkala ada sambutan kebesaran Islam, pakatan datuk dan rakan-rakannya akan mengambil kesempatan untuk menganjurkan ceramah. Rumah saya kerap menjadi pentas lantaran kelengkapan yang sedia ada sebagai markaz. Saya yang masih kanak-kanak tidak bersama rakan-rakan lain berlari-lari dan bermain-main, sebaliknya tekun berada bersama datuk di pentas utama.
Datuk kembali ke rahmatullah pada Jun 2004 ketika saya sedang bertungkus lumus menghadapi SMU. Pendiriannya tetap pada keyakinan kepada mesej Al-Quran yang difahaminya, tidak termakan umpan emas perak yang ditawarkan. Beliau bersama Almarhum Ust Wan Daud Wan Jusuh tekad ke penghujung hayat. Tidak seperti beberapa rakan lain yang akhirnya tersesat arah menyokong UMNO. Beberapa kenangan bersama PAS masih kekal di rumah saya.
Seluruh ahli keluarga saya tidak mengundi sehingga 2005. Namun begitu, darah politik masih menggelegak dalam diri saya. Dalam senyap, saya mengkaji perjalan politik Malaysia. Menilik UMNO dan PAS. Beberapa rekod lisan dari orang-orang lama dikorek. Saya 'menemuramah' beberapa tokoh Al-Islah (PAS 51) secara tidak langsung. Sudut pandang dan dalil-dalil mereka saya kaji dan tekuni.
Gegaran reformasi 1998 turut saya ikuti. Beberapa kaset koleksi ceramah 'terakhir' Anwar Ibrahim saya cetak secara senyap-senyap dari pakcik saya. Ceramah-cerama politik rentas parti saya hadiri. Menilai hujah yang dilontarkan. Meski masih dalam fatrah 'tidak bersetuju' dengan PAS, saya mewajibkan diri mengunjungi kuliah Jumaat Tuan Guru sebulan sekali. Meski dalam fatrah 'tidak bersetuju' dengan PAS, hati kecil saya akur bahawa PAS jauh lebih baik dari UMNO.
Jun 2006. Usia saya mendaki 20 tahun. Kurang setahun dari umur yang melayakkan saya mengundi. Saya tekadkan diri untuk terus mengkaji, siapa yang bakal saya undi. Beberapa kenalan Darul Quran mendekatkan saya kepada beberapa tokoh dan figura yang lebih memudahkan saya mengenali dunia politik.
Saya menghadiri program PAS ketika jiwa saya masih belum bersama PAS. Saya menghadiri Himpunan 15K Pemuda PAS di Kota Bharu ketika saya masih belum memilih PAS sebagai jalan politik. Pertemuan bersama Ust Tuan Ibrahim, Ust Idris Ahmad, Cikgu Azmi, YB Mahfuz Omar, YB Salahudin Ayub dan Ayah Chik, TG Nik Aziz memberi sinar baharu kepada saya. Pemuda PAS Selayang sememangnya banyak membantu.
Jun 2007, saya menyambut hari lahir saya dengan mengunjungi Pejabat Pendaftaran Negara untuk mendaftarkan diri sebagai pemilih yang sah.
Jumaat, 6 MAC 2008, bermula dari Darul Quran, saya merentas banjaran Titiwangasa menelusuri ratusan selekoh tajam Bukit Fraser bersama 4 rakan lain dengan menaiki kereta Kancil 660EX yang disewa dengan duit jualan kerepok segera untuk membuang undi pada 8 MAC di Parlimen Ketereh dan Dun Kadok. Undi saya pada 2008 menyumbang kekalahan kepada calon UMNO BN.
PRU13 : ANGIN PERUBAHAN BERTIUP
PRU 13 adalah PRU yang bersejarah kepada semua warga Malaya. Semangat dan kesedaran untuk menunaikan kewajipan memilih parti pemerintah yang baik berada di tahap yang sangat membanggakan. Rata-rata anak muda peka dengan perkembangan semasa politik. Laman Twitter, Facebook dan blog sangat membantu dalam menjadi pemangkin kesedaran.
Sebelum parlimen dibubar oleh DS Najib Tun Razak, kami yang berada sejauh ribuan kilometer dari tanah air sudah mengambil sikap yang jelas tentang memilih kerajaan untuk Malaysia pada PRU13. Wacana dan diskusi rentas parti diadakan.
Apabila parlimen dibubarkan, momentum kami di luar negara telah mencecah 80%. Tatkala calon diumumkan, kami telah memecut di gear lima ke garisan merah.
Kurang 3 purnama, saya bakal bergraduasi dengan hutang lebih RM24000 tanpa jaminan peluang pekerjaan, sedangkan kos kehidupan yang tinggi melangit. Malaysia perlukan kerajaan yang lebih baik untuk menjamin kehidupan generasi akan datang lebih sempurna dan terjamin. Undilah apa yang anda suka, asalkan bukan BN UMNO.
Salam PRU13 dari Jordan.
Hasanhusaini
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]