"Saya bimbang untuk meletak jawatan. Legasi yang saya bina ini cukup besar, transformasi juga telah banyak dilakukan. Saya rasakan seperti tiada yang mampu untuk memikulnya." Kata seorang Presiden Persatuan Pelajar. Zamannya gemilang dan terbilang malah sifir temberang.
"Ini sahajakah calon yang tinggal untuk gantikan enta? Isk, ana tak yakin dia boleh jadi sebaik enta untuk jaga persatuan kita nanti." Seorang ahli bertaraf 'antik' sebuah persatuan memberi komen.
Dalam proses latihan, tarbiah dan kaderisasi, perkara yang selalu dilupai adalah, proses untuk melahirkan pelatih yang lebih hebat dari sang jurulatih.
Saya mengisafi diri sendiri yang terlupa akan pesanan ayat ke ayat kesembilan dari surah An-Nisaa' yang cukup jelas memberi mesej kepada saya untuk tidak melupakan usaha melatih generasi pelapis agar mereka lebih baik dan berkualiti dari saya.
Daud Dan Sulaiman
Pemerintahan Nabi Daud alayhissalam adalah pemerintahan yang sangat hebat. Baginda adalah aktor utama yang menjadi faktor bersinarnya legasi pemerintahan Bani Israel. Masakan tidak, batalion kecil dari tentera Thalut mampu menumpaskan Jalut yang lengkap persenjatannya, malah besar pula bilangannya dengan bantuan idea seorang pemuda bernama Daud.
Setelah mendapat tampuk pemerintahan, baginda adalah raja yang sangat adil lagi bijaksana. Baginda sendiri mempunyai mukjizat luar biasa, melembutkan besi dan menukarkannya menjadi perisai dan senjata. Malah, bagindalah orang yang pertama mencipta perisa dalam sejarah kemanusiaan. Maka, kekuatan persenjataan zaman pemerintahan Raja Daud sangat sempurna. Ditambah pula dengan kebijaksaan baginda dalam menentukan tindakan dan hukuman. Kehebatan Daud tidak terhenti di situ, baginda dibantu pula oleh anak baginda yang bijaksana, Sulaiman.
Tertegaklah sebuah kerajaan adil yang mempunyai kekuatan persenjataan yang optimum, askar yang sangat kuat dan memegang rekod tak terkalah. Seolah-olah, tidak akan ada lagi raja yang mampu menandingi Raja Daud. Namun Sulaiman datang dengan potensi yang lebih besar.
Raja Sulaiman kini memerintah langit dan bumi. Batalion tentera Sulaiman kini disertai oleh manusia, burung dan jin. Sulaiman kini mengendarai awan dan mengendali angin untuk ke timur dan barat, utara dan selagan. Baginda pula mampu bertutur dengan bahasa burung dan semut. Kemuncaknya, Sulaiman melebarkan wilayahnya ke Saba' selepas mengislamkan Ratu Saba'. Kehebatan Sulaiman dicatatkan di dalam Al-Quran sebagai kurniaan optimum yag tidak akan dikurnaikan kepada manusia selepasnya.
Dari manakah kehebatan Sulaiman timbul? Ia adalah hasil kepercayaan Daud kepadanya sejak kecil. Kebijaksanaan Sulaiman yang dianugerahkan oleh Allah sejak beginda kecil tidak dinafi atau diremehkan oleh Nabi Daud. Tercatat peristiwa ini dalam kisah mereka berdua menyelesaikan pertelingkahan tanaman yang dirosakkan kambing. Hujah dan pandangan pemuda bernama Sulaiman yang lebih tepat diakui oleh Raja Daud yang Agung.
Hidup Dengan Kepercayaan
Tok Ayah I
Sejak kecil saya memegang jawatan yatim. Miskin kasih sayang seorang bapa adalah miskin yang sangat besar. Sehingga ganjaran menunjukkan belas kepad anak yatim adalah ganjaran yang besar meski berupa sebuah usapan di ubun-ubun mereka. Ya, saya pernah merasainya, usapan dikepala membangkit semangat yang berkobar dalam diri, tambahan pula andai ada kucupan yang diterima selepas itu.
Sejak kecil, hidup bersama seorang tua yang cakapnya boleh dibilang, namun aksinya sentiasa membuahkan hikmah yang besar. Dialah datuk saya. Sejak kecil, saya menerima kepercayaan dari beliau dalam setiap langkah yang saya pilih.
Sejak tadika lagi, saya telah diberi kepercayaan untuk mengalunkan azan melalui corong pembesar suara surau kayu dua tingkat yang pernah menjadi markas suatu ketika dahulu. Pernah sekali saya tersilap rangkap azan. Tanpa menamatkan azan, saya berlari turun dari surau dan menyorok dalam almari dek malu dan takut yang teramat sangat, bimbang dimarahioleh tok ayah. Namun yang berlaku adalah sebaliknya, keesokannya, saya melaungkan azan subuh lagi dengan kepercayaan tok ayah.
Sejak darjah tiga, saya akan berada di sisinya dalam sesi kuliah pagi Jumaat dan kuliah malam Selasa. Tugas saya adalah menjejaki ayat Al-Quran dengan panduan kitab faharis. Kadang-kadang diberi peluang untuk mengalunkan ayat yang bakal ditafsirkan, malah membaca teks tafsir dari Pimpinan Al-Rahman, Al-Azhar dan Baidhawi. Bulugh Al-Maram juga dikenalkan kepada saya dalam sesi sebegitu.
Lima tahun sebelum saya layak memohon lesen kenderaan, tok ayah sudah memberi kepercayaan kepada saya untuk memboncengkan beliau ke pekan. Selang setahun kemudian, saya memandu dengan ditemani beliau di sebelah kiri ke negeri jiran, Terengganu.
Suatu hari, saya memberanikan diri untuk membedah motosikal. Namun tidak berjaya disebabkan oleh peralatan yang tidak cukup. Keesokannya, tok ayah mengajak saya ke bandar, lalu singgah di kedai peralatan motosikal untuk membeli peralatan yang diperlukan. Special wrench itu masih saya simpan sampai sekarang. Hasilnya, peralatan motor dan elektrik di rumah saya tidak pernah kenal workshop!
Tok Ayah II
Tok ayah saya meninggal dunia pada Jun 2004. Hadiah terakhir saya keapda beliau adalah ijazah khatam Al-Quran dari MTDQ Repek.
Suatu sore di MTDQ, saya diziarahi oleh Pengerusi Persatuan Maahad Tahfiz Malaysia, (PERMATA) Ustaz Abdul Rahman Abdul Samad (Al-Marhum). Beliau bagiakan datuk angkat saya. Keluarga kami rapat sejak saya belum dilahirkan. Malah beliau turut membahasakan dirinya sebagi 'tok ayah'.
"Tok ayah nak jemput Ihsan baca doa di Majlis perasmian seminar 100 syeikh Ahmad Fatani di Balai Islam". Beliau datang dari jauh semata-mata kerana itu.
Saya menolak. Takut, gugup, dan gentar. Seminar itu bukan seminar biasa, bahkan ianya dihadiri oleh para ulama' dan guru-guru pondok. Dato' Mufti Kelantan juag dikhabarkan hadir bersama.
Cucu tok ayah tak pernah kecut dan takut. Lekas bersedia dari sekarang, minggu depan kita jumpa di Balai Islam.
Saya terkedu. Seminggu kemudian, saya tampil di rostrum utama Balai Islam negeri Kelantan, mengalunkan doa di majlis perasmian penutup.
Teringat siri kepercayaan yang saya terima di MTDQ Repek oleh para murabbi. Al-Fadhil Ustaz Zaim menaruh kepercayaan untuk memimpin kelas nahu, tafsir dan hadith. Cikgu Muhammad memberi kepercayaan untuk saya pilih dan tentukan kereta pertamanya, kemudiannya mengetuai siri ekspedisi ke Jerai, Berinchang dan Irau. Ustaz Muhammad menaruh kepercayaan untuk mengimami solat Jumaat saban minggu. Tuan Guru Pak Teh sentiasa melemparkan tasbihnya ke riba saya dalam sesi tahlil dan doa selamat di sekitar kampung Repek.
Teringat juga siri kepercayaan yang saya terima di Darul Quran. Harapan dari para asatizah, senior dan kawan-kawan.
Siri kepercayaan yang diberi kepada saya bukan sedikit. Kepercayaan dari ibu saya pastinya tidak terhitung. Dengan kepercayaan itulah saya mengatur langkah, mendaki kehidupan.
Dalam proses latihan, tarbiah dan kaderisasi, perkara yang selalu dilupai adalah, proses untuk melahirkan pelatih yang lebih hebat dari sang jurulatih. Caranya? Berikan kepercayaan kita kepada mereka.
Adik-adikku, teruskan langkah mendaki kehidupan, kepercayaanku bersama kalian.
HASANHUSAINI,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.
Bukan mudah orang 'tua' mahu memberi kepercayaan kepada orang 'muda.
BalasPadamTapi orang 'muda' nak percaya kepada diri sendiri pun tak mudah juga..;)
Kerana kepercayaan itu datang dengan tanggungjawab.
BalasPadamBagaimana akhlak kita, begitulah juga persepsi/kepercayaan orang lain kepada kita.