Kredit Untuk Ustaz Annamir |
"Abang masuk kelas ye..cikgu dah masuk. Jangan takut, ayah ada kat sini je. Kalau takut, tengok je kat luar tingkap, ayah ada kat tepi tingkap ni ye..Ok, masuk kelas dulu." Pujuk Pak Cik Hashim. Tangannya mengesat air mata anak sulungnya yang sejak tadi menangis.
"Ayah, tunggu di sini ye..ayah jangan balik tau." Amin melangkah masuk ke bilik darjah. Tangan ayahnya malas-malas dilepaskan dari genggaman yang erat. Air matanya diseka dengan tangan kirinya. Tangan kanan pula asyik melambai-lambai ayahnya yang hanya berjarak kurang satu meter.
Saya tersenyum memerhatikan gelagat mereka. Sayu rupanya perasaan saya. Tidak pernah ada memori sebegitu dalam cakera ingatan saya.
SEPTEMBER 1990
Ayah dijemput Ilahi. Ibu terbiar sepi. Saya dan adik menjadi piatu meraih simpati. Datuk dan nenek, kehilangan menantu yang disayangi. Sejak sekecil itu, saya diasuh untuk berdikari, mencabar diri dan betanggungjawab menjadi kepala dan ketua. Itulah pelajaran berharga dari datuk saya.
Sejak itu, ibu memikul dua tugas. Menyangi dan mengasihi dengan hati ibu, menegur dan mendidik kami dengan hati ayah. Ibu memikul tugas ayah menjaga dan mendidik kami. Bukan tidak ada yang tampil ingin menjadi teman, namun ayah terlalu sempurna untuk diganti.
Pemergian ayah cukup mengejutkan buat kami. Ibu terutamanya. Lima tahun nasinya tidak jatuh ke perut. Mandinya tidak basah ke kulit. Selepas bertamu ke Makkah, baharulah ibu kembali berdaya.Wajahnya kembali bercahaya.
Hampir setengah dekad selepas pemergian ayah, baharulah saya mengerti yang ayah telah lama dipanggil Ilahi. Lelaki yang selalu menamakan dirinya sebagai ayah itu hanyalah datuk saya. Sedangkan lelaki yang selalu bermain di memori ingatan saya itu rupanya telah lama menghilang. Sehari kemudian, tanah kubur itu saya peluk. Pipi dirapatkan ke tanah. Mengharapkan ada suara yang menyahut dari bawah. Saya yakin, ada jasad yang tersemadi di bawah keranda reput itu. Ayah!, jawablah...anak ayah panggil ni..ayah ada di bawah sana kan...? Monolog kalbu meraung dan merintih.
Saat itu, segala memori terhambur keluar.
Teringat kisah saya bertani dibendang nenek di hujung minggu. Ibu menyabut anak semai padi. Ayah pula mencedungnya. Saya pula, menyusun semula cedungan ayah.
Teringat juga kenangan selipar terjatuh dikawasan anjing garang. Saya berkeras supaya ayah tidak berpatah balik untuk mengutip selipar, bimbangkan ayah digigit anjing. Ya, selipar itu boleh dibeli, ayah saya tak akan mampu untuk diganti.
Teringat juga kenangan mendapatkan satu-satunya basikal baru. Basikal kecil beroda tiga itu masih ada sehingga hari ini.
Masih kekal diingatan, roti mentega bergula yang sungguh enak dicicah air kopi. Minum petang selalunya begitu menunya.
Teringat juga tentang kedai roti canai pak su Awi di simpang empat Panchor. Ayah selalu belanjakan saya sebiji roti telur dan secawan air teh yang diminum dengan menggunakan piring.
Teringat kenangan memotong kuku. Meski selalu tersalah sepit, ayah sentiasa dipilih untuk memotong kuku saya.
Teringat saya melompat kegirangan di ribaan ayah. Seronok menerima kehadiran adik perempuan.
Teringat juga kisah kopi. Rasanya, dua hari sebelum ayah pergi. Saya menangis-nangis mahukan kopi. Bukan sebarangan kopi, tapi kopi pekat bancuhan ayah. Secawan kopi habis dibelasah, akhirnya sesikat pisang perlu dimamah. Najis kesat, tersekat dek kopi pekat.
"Adik, janganlah menangis, abang sakit ni." Sempat pula memujuk adik yang baru seminggu lahir sedang sendiri menangis di bilik air.
Ayah hanya tersenyum melihat gelagat saya.
Masih jelas diingatan saya, sekujur badan dimandikan.
Masih terasa dihujung hidung saya, dinginnya dahi dan pipi ayah yang dikucup sebelum kafan diikat kemas.
Masih teringat, saya dihalang untuk bersama ayah menaiki lori kayu berwarna merah.
Masih teringat, tikar merah yang digunakan untuk memayungi proses pengebumian. Mata ibu juga semerah tikar itu. Air matanya tidak henti-henti mengalir. Saya tak tahu, kenapa ibu begitu.
DISEMBER 2010
20 tahun sudah berlalu. Nesan batu bukit itu masih setia menemani ayah besama pohon podi yang merah dan juga hijau. Saya sudah menjangkai usia Muhammad mengahwini Khadijah. 2011 melabuhkan tirainya denga episod yang bermacam rasa. Sekuntum doa kudus dicoretkan untuk ayahnda di sana, setiap kali tangan ditadah ke langit.
Boleh dicatatkan dalam sejarah. Bulan ini, lebih sepuluh kali ayah menzirahi tidur saya. Kadang-kadang, ziarahnya berepisod. Cerita yang tak dihabiskan pada malam ini, akan disambung pada esoknya.
Saya menatapi wajah ayah. Masih muda, sepersis apa yang dirakamkan dalam potret simpanan saya. Mungkin seiras wajah saya hari ini. Misai dan janggut kami juga hampir sama kuantitinya.
Ayah masih seperti dahulu. Tak banyak kalimah yang keluar dari bibirnya yang sentiasa senyum. Ayah datang menziarahi pada hari pertama. Makan bersama pada hari kedua. Bersiar-siar dan makan-makan keluarga pada hari ketiga. Hari keempat, ayah bersiap untuk 'pulang'. Saya tidak sempat untuk menghalangnya.
Terjaga dari lena, air mata saya sudah membasahi. Saya berpaling kanan dan kiri. Teman sebilik saya masih nyenyak diulit mimpi.
Yang indah-indah itu hanya di dunia mimpi. Hanya di lena itu sahaja ayah akan kembali. Di realiti, mana mungkin ayah akan berada di sisi.
Inilah dunia realiti. Saya tak berayah untuk mengadu yang realiti ini susah. Saya tidak berayah untuk membantu saya mengatur langkah. Saya tak berayah yang akan menyapu debuan duka saat jatuh dan rebah. Bangkitlah sendiri. Teguhlah kaki dan teruslah berlari.
Sedihkah saya...? Ya, pastinya. Sepikah saya? Ya, semestinya. Hinakah saya..? Tidak, sekali tidak.
Ayah tidak sempat mendidik saya. Ayah pergi dengan penuh kejutan pada usia yang sangat muda. Saya pula sangat mentah untuk menerima pengajaran dari ayah. Saya miskin cerita tentang ayah, meski wajahnya sentiasa segar di minda. Namun, potretnya seakan selalu berbicara. Tidak ada kalah di dunia. Tidak ada hina pada si pendokong agama. Tidak ada rehat untuk pewaris anbiya'.
Sulung ayah mengajar saya untuk menjadi sulung sejati.
Kepemudaan ayah mengajar saya menjadi pemuda sejati.
Wara' ayah menjemput saya untuk lebih tunduk dan taat kepada rabbi.
'Alimnya ayah mengajar saya agar ilmu sentiasa digali dan dikaji.
Ayah telah pun pergi dahului. Saya pula pastinya bakal mengekori. Maka, saya perlu melangkah lebih laju berlari.
Teruslah bergerak hingga KELELAHAN itu LELAH mengikuti.
Teruslah berlari hingga KEBOSANAN itu BOSAN mengejari
Teruslah berjalan hingga KELETIHAN itu LETIH menapaki.
Teruslah bertahan hingga KEFUTURAN itu FUTUR menyertai.
Tetaplah berjaga hingga KELESUAN itu LESU menemani.
Ayah, sesungghunya anakmu ini sentiasa merindui. Alangkah bahagianya andai dikau di sisi, saat ini... Ya, saat ini...
HASANHUSAINI,
3.50 am, 1 Januari 2011
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.
hebatnya 'seorang ayah'....teruskan perjuangan agar senyuman 'seorang ayah' semakin lebar...
BalasPadamAl-Fatihah buat ayah ust...nmn ketahuilah walaupun ayah ust tiada di sisi pd saat ini, arwah sentiasa melihat anak2nya & bangganya arwah bila melihat anaknya adalah seorang pejuang yg memperjuangkan ISLAM, setiap langkah hanya utk ISLAM...walau bahagia bkn mlk ust skang, tp mngkin akan menanti ust kelak...ALLAH amat2 mengetahui sgl2nya...moga trs tabah n kuat walaupun tnpa ayah di sisi...
BalasPadamuntungnya sang ayah punya anak yang soleh..
BalasPadamsemoga dirahmati Allah.
Menjadi anak orang susah banyak mengajar kita. Mengajar bersabar, berpada-pada, tdk cerewet dan paling penting - berdikari.
BalasPadamWasiat ayah; jadilah orang yang berguna
kepada agama, bangsa dan negara
sayangi yang muda, hormati yang tua
agar hidup aman sentosa.
Wasiat ayahanda kata keramat
penuh nasihat bersulam hikmat
menjadikan aku seorang yang cermat
memilih jalan hidup yang selamat. :)