Ahad, 26 April 2009

Membina Minda Khalifah

Malam ini, saya meluangkan masa selepas menelaah beberapa laman blog untuk menambah thaqafah dan pengetahuan isi semasa untuk menyiapkan tugas penting – menyemak kertas jawapan peperiksaan.

Kertas sejarah tingkatan 4 dan 5.

Kurang 10 keping yang saya semak, satu pemandangan baru terlukis di minda saya tentang landskap sebuah pemahaman yang sebelum ini berterabur.

Tiba-tiba datang satu mesej dari Marwan, usrah Ghuraba’ DQ.

Mesej yang mencantumkan puzzle landskap pemikiran saya dengan lebih lengkap.

Falsafah INQILABIYYAH.

Kemahiran sebenar NEGARAWAN.

Kemahiran untuk meRUNTUHkan dan memBINA semula dengan lebih baik.

Antara dua kemahiran di celah dua minda. Itulah yang membezakan di antara penjajah, pejuang kemerdekaan dan negarawan sejati. Kemahiran meruntuh dan membinanya kembali.

Proses yang cukup penting dalam membina tamadun dan peradaban manusia. Peradaban yang dicanangkan dengan pendekatan yang dibawa oleh Islam.

Kedua-duanya memerlukan daya fikir yang tinggi, pengamatan yang tajam dan intuisi yang cukup ampuh serta jelas berdasarkan kajian dan pengalaman, bukan sekadar tanggapan dan telahan.

Paderi di Eropah meruntuhkan proses pemikiran manusia dengan harapan mereka akan meyakini arahan gereja. Namun paderi tidak mampu membina keyakinan itu. Maka akhirnya Eropah merudum ke zaman gelap.

Penjajah yang datang ke Tanah Melayu, dengan tujuan untuk membina kesedaran bernegara kepada masyarakat semenanjung. Namun mereka miskin cara untuk meruntuhkan minda ‘asobi melayu sehingga mereka akhirnya dihalau keluar.

Pejuang kemerdekaan, dengan semangat juang yang tinggi, menuntut kemerdekaan dengan meruntuhkan sistem pemerintahan penjajah, namun mereka pula miskin cara untuk membina sistem sendiri yang lebih baik. Tambah duka, apabila yang kaya cara diketepikan dan dipadam sejarahnya dari peradaban.

Tunku hebat meruntuhkan kerajaan penjajah, namun fakir untuk membina kerajaan yang lebih baik selepas itu. Dr Burhanuddin dan rakan-rakannya yang kaya cara dibisukan.

Sejarah berdialog membuktikan peristiwa satu persatu.

Negara jiran pernah menjulang satu tokoh, namun akhirnya ditumbangkan semula selepas tidak berjaya membina yang lebih baik selepas itu. Sejarah telah menulis begitu ke atas SUKARNO.

INQILABIYAH

Ciri-ciri khusus islam ini harus dihayati secara realiti melalui pengertian zahiri dan batini. Mengambil pengertian zahiri menjadikan kita penjajah versi baru yang kejam. Mengajak kepada Islam yang bakal dilihat sebagai ‘jumud’ akhirnya.

Marilah kita melihat sejarah pemimpina agung Islam terdahulu.

Nabi Muhammad S.A.W membawa agenda Islam yang sama seperti yang kita pikul sekarang. Rasulullah meruntuhkan jahiliyyah di Jazirah arab dan seterusnya membina satu sistem yang cukup ampuh, hingga islam menguasai 2/3 dunia. Kepimpinan baginda disanjung sehingga ke hari ini. Orientalis barat sendiri mengakuinya. The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History. (Terbitan New York: Carol Publishing Group/Citadel Press) karya Michael H. Hart yang diterbitkan pada 1978 menjadi bukti.




Teringat kata-kat Rub'ii bin ‘Amir kepada King Rustam:

“ kami adalah satu kaum yang diutuskan oleh Allah untuk mengeluarkan sesiapa sahaja yang dikehendakinya dari sistem perhambaan sesama hamba kepada perhambaan kepada tuhan hamba, dari kezaliman keagamaan kepada keluasan Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat…”.

"padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba". Al- Baqarah : 275.

Jelas sungguh konsep INQILABI yang dicanangkan.

Saidina Umar meruntuhkan kejahilan dan kezaliman di Jerusalem dengan membina keadilan di sana.

Begitulah juga yang dibawa selepasnya oleh Salahuddin Al Ayyubi.

Dan juga Sultan Muhammad Al Fateh apabila membuka kota Kostantinopel.

Mereka meruntuhkan sistem yang buruk dan membina sistem baru yang lebih kondusif dan efektif. Justeru, merekalah negarawan sebenar. Merekalah KHALIFAH ALLAH di muka bumi.

MALAYSIA KINI

Keretakan pemerintahan negara disambut hebat oleh parti oposisi yang bertanding. Bergembira dengan kebobrokan yang berlaku dalam parti lawan yang menjadi petanda bahawa agenda perjuangan untuk meruntuhkan sistem dan isme yang jauh dari islam itu hampir berjaya.

Sekularis dan nasionalis bakal berkubur.

Cuma persoalannya, konsep inqilabi yang kita canangkan ini bertepatankah dengan yang sebenarnya untuk menyempurnakan tuntutan ciri sebenar ISLAM itu. Islam itu datang bukan hanya untuk meruntuhkan yang buruk, tapi juga untuk membina yang lebih baik.

Meruntuhkan sekularis sudah hampir berjaya. Namun, berjayakah kita untuk membina ISLAMIS yang sebenarnya selepas ini.

Moga tiada Turabi di Malizi.

Jangan pula selepas kita meruntuhkan ‘asobiyah, timbul pula neo-‘asobiyah, selepas meruntuhkan jahiliyah, timbul pula neo-jahiliyah.

Oleh itu, persediaan untuk membina selepas meruntuhkan perlu dipersiapkan dari sekarang. Para pemuda perlu berminda negarawan. Minda Khalifah. Minda manusia mukallaf.

"Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." . Al-Baqarah : 30


Pasca Kemenangan

Jangan pula terlalu gembira dengan runtuhnya musuh, kita leka dari mengisi makna sebenar sebuah nikmat kemenangan kurniaan tuhan. Bimbang nanti, peristiwa Uhud berulang tayang.

Janji Allah pasti tiba untuk mengurniakan pemerintahan bumi ini kepada mereka yang SOLEH. Namun, bersediakah si soleh dengan minda KHALIFAH untuk memerintah.

Membina minda Negarawan. Membina minda Khalifah. Misi pemuda menjunjung Ummah.

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum

    Akhi, nta dah pernah baca buku "al-Tariq ila Jamaah al-Muslimin" oleh Husain bin Muhammad bin Ali Jabir? Kalau belum, ana sangat galakkan nta dan ikhwah yang lain untuk baca. Buku tu membahas dengan terperinci tentang kepentingan jamaah al-muslimin (khilafah)dan cara mewujudkannya kembali melalui jamaah min al-muslimin dan amal jama'i. Wallahu ta'ala a'lam.

    Wassalamualaikum

    BalasPadam

Komen Anda Adalah Buah Tangan Terbaik [hasanhusaini]