Khamis, 2 April 2009

Memanusiakan Manusia

Sebulan yang lalu, ketika asyik membaca blog Us Hasrizal berkaitan dengan pengembaraan beliau tentang sejarah Khalifah Terakhir, Sultan Abdul Hamid, saya tertanya-tanya, bagaimanakah saya akan meminati subjek sejarah.

Subjek yang pernah menjadi ubat pelali setiap kali saya menekuninya. Samada yang berbahasa melayu atau yang berbahasa Arab dengan gelaran Tarikh.

Semuanya menyebabkan mata saya terasa bagai digantung sekilo batu pemberat.

Lalu, saya menanam tekad untuk meminati sejarah. Meminta padaNya untuk diberi jalan.

Sepertiga Al Quran adalah sejarah.

Sejarah perlu dikaji dan diambil iktibar.

Sepetang itu juga, saya merenung perut yang semakin taqaddum.

Berat badan yang menjangkau 80 kg cukup membimbangkan saya. Bayangkan bila dah berkeluarga nanti, adatnya bertambah lagi 10-20 kilo. Ahh, berat saya bakal menjadi 100kg?


Nauzubillah

Moga-moga bumi arab yang melambai bakal menguruskan badan yang semakin berisi ini.

Minat saya pada sukan kian terhakis kerana kesuntukan masa yang membelenggu. Kasut bola hanya menjadi bahan antik dalam rak kasut di rumah saya.

JAWAPAN ALLAH

Sejarah Dan Pendidikan Jasmani.

Ya. Sejarah dan PJ. Itulah subjek yang bakal saya ajarkan kepada anak-anak murid saya di Sek Men Teknik Kuantan bermula 6 April 2009.

Sebulan yang lalu, saya mendapat lamaran dari Syaukani untuk bersamanya berkhidmat di S M Teknik Kuantan atas ajakan seorang kenalan ibunya. Setelah membuat beberapa pertimbangan, saya menyahut ajakan tersebut.

Hari ini, 1 Aril 2009. Saya bertemu dengan Encik Yusuf, Penolong Kanan merangkap pemangku Pengetua. Beberapa keping kertas putih dibelek-beleknya. Resume saya seminggu lepas kini diperthati satu persatu. Keputusan SPM ditanya satu persatu.

“ Ok, saya boleh terima kamu tapi kmau kena sanggup untuk tinggal di asrama la ye…” Kami hanya tersenyum.

“ insyaallah Cikgu..dah sepuluh tahun kami di asrama, masih tak kekok untuk kembali semual ke asrama” saya cuba meyakinkannya.

“ Cuma yang penting, kamu kena fikirkan pengisian kepada budak-budak tu semua maksudnya, walaupun awak jadi cikgu pada siang hari, awak juga akan jadi ustaz pada malam hari..” cikgu Yusuf menala anak matanya kepada saya.

Ya, cikgu sejarah dan PJ di siang hari, Ustaz dan Murabbi pada malam hari.

Syaukani pula ustaz forever bila memegang jawatan guru sandaran dengan mengajar subjek Pendidikan Islam dan Sivik.

“Walaubagaimana pun, kami cukup berbangga mendapat Al Hafiz sebagai kakitangan di Sek Teknik ni..kalau tak ada masalah, insyallah..kita jumpa hari isnin nanti ye, ustaz-ustaz sekalian…” cikgu Yusuf mengakhiri bicara.

Usai bersama Cikgu Yusuf, kami ke bilik Ketua Bidang Kemanusiaan, Ustazah Zuryati Mohamad. Beberapa buku dibekalkan kepada kami untuk persediaan.

“ saya memegang beberapa subjek yang penting untuk menjadikan manusia itu betul-betul manusia, antaranya adalah yang ustaz-ustaz pegang sekaranglah ye” Ustazah Zuryati menjelaskan persoalan yang saya lontarkan.

Beratnya tugas kami untuk menyempurnakan kemanusiaan seorang manusia. Misi para Rasu l dan para pejuang agama yang terdahulu.

Ilmu yang pernah kami tuntut selama ini, bakal saya curahkan. Aulwiyyat cukup memainkan peranan.

Bagimana untuk mencapai misi murni itu melalui wasilah sejarah dan Pendidikan Jasmani..?

Ya Allah, kurniakan aku jalan..

Selasa, 31 Mac 2009

Mencari Spirit di Janda Baik




Penuh. Bonet Saga itu penuh. Tempat duduk belakang juga penuh. Penyerap hentak ( absober) hanya tinggal seinci untuk menghilangkan gegaran gerutu jalan. Pun begitu, tetap maju ke Kuantan dengan tiga penumpang.

Dari Batang Kali, saya cukup suka mendaki Genting Highland ke Gohtong Jaya dan turun di Genting Sempah. Jimat masa, wang dan Petrol.

Sedang asyik mengilas stereng ber'airbag' Saga itu, saya terlintas Janda Baik.

Medan yang telah banyak mendidik saya. Kesejukan di situ tidak mampu untuk membekukan otak saya dari terus berfikir mencari jalan. Tapi, kehilangan nikmat sebelah kaki selepas tergelincir menyebabkan saya pasrah.

Mencari Spirit di Janda Baik

Saya memutarkan Stereng ke kiri selepas tokong budha berwarna merah di sebelah kanan Lebuhraya Karak itu.

Tiba.

Sungguh segar dalam ingatan. Air bertakung di gigi jalan.

Lekukan tanah beralur masih jelas meski ditumbuhi rumput menghijau.

Pondok putih merakamkan peristiwa kaki saya hilang daya di tangganya.

Juga kalimat : “Rumet…tolongla rumet…”, cukup segar di ingatan.

Pemandangan bagai di New Zealand dengan padang hijau luas terbentang dan rumah putih jauh di hujung jalan. Segar udaranya sesegar kenangan yang menerjah minda.

Hening suasana membenarkan gegendang telinga saya menangkap bunyi air sungai yang mengalir. Sungai yang betul-betul kukuh terpahat diingatan. Air jernihnya menjadi merah, yang tiba-tiba deras mengalirkan batu-batu besar. Dentuman hasil pertembungan batu-batu dalam arus kian jelas didengari.

Cukup ngeri.

Namun syukur, dua adik kesayangan dan sahabat seperjuangan saya itu masih bernafas disisi.

Uhibbuka ya Akhi…

Melawat resort Pak Habib.

To be continue in your mind…

Ya Allah, kami tahu tujuan hidup dibumimu..

Bukan hanya untuk memenuhi fitrah insani,

Namun untuk melestarikan tuntutan Rabbani…

Ajarkan aku apa itu erti sebuah kehidupan hakiki…

Ya Allah, sesungguhnya aku ingin membeli Firdausi dengan perjuangan ini…

Menjejak Hercules Di Pekan Rabu

Seminggu di Kuala Selangor. Berpenat-lelah berjuang untuk melahirkan generasi.

Generasi yang bakal menjadi pemimpina pada masa akan datang. The future leader.

Pemimpin masa depan perlu diajar untuk mentadbir dan menyelesaikan masalah pada masa akan datang. Bukannya masih terikat dengan masalah sekarang dan masa lalu.

Kata Saydina Ali radhiallahu’anhu, : “Didiklah anak-anak kamu mengikut zamannya, bukan zaman kamu, kerana mereka akan hidupa dizaman meraka yang tidak akan sama dengan zaman kamu”.

Proses menghilangkan belenggu ‘masa lalu’ bukanlah sesuatu yang mudah untuk dijalankan. Lihatlah bagaimana peritnya Muhammad berjuang mengikis amalan turun temurun sejak masa lalu dalam masyarakat Quraisy.

Lihatlah Ibrahim yang dihalau oleh Ayahnya sendiri kerana ingin melenyapkan ‘masa lalu’ ayahnya.

Lalu, apa yang dihujahkan ialah, : “ Ini apa yang telah dilakukan oleh datuk nenek kami terdahulu…”.

قَالُوا حَسْبُنَا مَا وَجَدْنَا عَلَيْهِ آَبَاءَنَا


Mereka menjawab: "Cukuplah untuk kami apa yang kami dapati nenek moyang kami mengerjakannya."

Berhujjah dengan nenek moyang menjadi alasan setiap umat yang diutuskan Risalah. Mereka menjadikan hujah bahawa nenek moyang mereka melakukan sedemikian, maka itulah yang terbaik dan yang wajib mereka lakukan.

Tradisi nenek moyang menyebabkan manusia menjadi buta pemikiran dan buta pengamatan. Buta sehingga tidak mampu memikirkan baik-buruk yang jelas.

Bodoh sehingga tidak mampu menjawab persoalan ‘basic’ yang diajukan Ibrahim dalam Surah Syuara’ kepada penyembah berhala:

72. Berkata Ibrahim: "Apakah berhala-berhala itu mendengar (doa)mu sewaktu kamu berdoa (kepadanya)?,

73. atau (dapatkah) mereka memberi manfaat kepadamu atau memberi mudharat?"

Mereka hanya mampu menjawab :

74. Mereka menjawab: "(Bukan karena itu) sebenarnya kami mendapati nenek moyang kami berbuat demikian."

Idealisme mereka terbunuh.

Kesegaran jiwa mereka bantut.

Maka, tidak mustahil, saya begitu sedih dan susah untuk mengajak umat ini kembali membuka kotak fikiran, menghargai sebuah akal untuk mengkaji kembali, kenapa begini dan kenapa begitu.

Bukit Gantang

Selesai di Kuala Selangor, saya ke Bukit Gantang, menunaikan baiah untuk berjuang.

Tanjung Karang, Sungai Besar, Sabak Bernam, Teluk Intan, Ipoh dan Taiping.

Lebih 200KM.

Meninjau keadaan sekeliling sekitar proses penamaan calon di Bandar Taiping.

Pecah rekod.

Itu kata seorang pemerhati. Belum pernah ada dalam sejarah, seramai ini yang hadir sewaktu penamaan calon. Cukup meriah. Saya berjalan dengan dua orang adik ( adik beradik usrah Gegar) Syaukani dan Hayyi memerhati keadaan sekeliling. Terserempak dengan beberapa sahabat yang datang dari jauh. Sahabat seperjuangan yang turut membuktikan kesungguhan mereka.

Paling mengujakan bila melihat ramai Altantuya disitu. Salah satunya terbaring di kaki lima. Siapa bunuh ? tertulis di dahi topeng tersebut.

Alor Setar

Selesai di Bukit gantang, kami ke Alor Setar.

Ke Pekan Rabu untuk menjejaki Hercules.

Sebelum itu ke Masjid Zahir untuk solat Jama’ Qasr.

Pekan Rabu. Rupanya sebuah bazar perniagaan. Bukannya sebuah ‘pekan’.

Saya menjejaki Hercules yang masyhur di situ. Rata-rata tidak mengenalinya. Puas dicari, akhirnya selepas ditunjukkan seorang pak cik, saya ketemunya di sebuah kedai berhampiran City Plaza.

Hercules. Cukup gah dipandang. Matanya tajam. Saya mula mengenalinya beberapa tahun lalu. Saat itu, badannya berlumuran darah selepas memotong sekor lembu besar. Cukup hebat. Cukup tajam lirikan matanya. Tangan Syaukani terluka selepas ingin mengujinya.

Pisau tajam itu mampu dimiliki dengan harga RM 58.

Usai di Pekan Rabu, Proton Saga baru itu memecut dalam hujan ke Air Hitam.

Singgah di Gunung Keriang untuk mengasah bakat Fotografi. Beberapa keping gambar terakam dari pangkal hingga ke puncaknya.

Tiba di Air Hitam. Rumah anak usrah Ghuraba’, Khairi menajadi destinasi akhir.

Ikan asam pedas bersama telur dadar ( LADAR) dan cili api pedas cukup menyelerakan. Pukul 10 malam bertolak balik ke DQ.

Saya terfikir, bagaimana saya akan masuk kembali ke DQ selepas ‘berdamai’ dengan Pak Cik Arif tiga hari lepas?

Khamis, 26 Mac 2009

Silap Teknik Da..

Cerita lucu seorang calon yang bertanding dalam pemilihan Agung UMNO.

Lucu, takjub, hampe dan haprak pun ada.

Namun, untuk mengajak sahabat-sahabat berhusnu zhan, saya menafsirkan bahawa si calon tersebut masih ingin bertuhan.

Ceritanya bermula bila tiba satu jemputan untuk ke majlis tahlil dan bacaan Yasin pada suatu petang.

Maka, seperti biasa, ramai yang tertarik ingin mengikutinya. Mungkin sebagai pelepas rindu kepada udara di luar kampus, kerana sejak akhir-akhir ini, peraturan keluar masuk semakin ketat.

Bermulalah pengembaraan.

Dimaklumkan, peng'eksportan' pelajar keluar dari kampus pada hari tersebut tidak melalui aliran prosedur yang betul.

Maklumlah, kerja orang besar-besar.

Maka bisinglah beberapa pegawai yang terlibat.

Akhirnya tiba disebuah rumah banglo sederhana besar.

Masuk.

Duduk.

" Assalamualaikum, hari ini kita akan bersolat hajat mohon kepada Allah supaya dimenangkan calon kita #$%^&* yang bertanding untuk pemilihan Agung UMNO tahun ini.. moga Allah permudahkan segala urusan" kata seorang 'pak cik' memberitahu tujuan sebenar.

Ya Allah, semua yang hadir terkejut. hasilnya, niat kontra dari apa yang diinginkan timbul.

Sebelum pulang, Not RM 100 menjadi habuan disamping juadah yang lazat. Burp.

Apa yang terjadi...?

Semalam saya menonton TV. Calon tersebut kalah.

Ternyata strategi mengundang ahli quran untuk mendoakannya makan diri.

Tapi, saya secara peribadi, agak bersetuju andai calon itu menang. Mungkin lebih baik dari yang menang sekarang.

Wallahua'lam.

Jumaat, 20 Mac 2009

Sejenak Bersama Abg Dzul



Jarang-jarang saya dapat berborak panjang dengan Abg Dzul, walau sering kali bersama dalam perbincangan dan ceramah-ceramah yang selalu beliau hadiri. Kesibukan yang membelenggu beliau selalu memendekkan masa untuk beramah mesra.

Malam ini agak istimewa. saya berpeluang untuk berborak panjang bersama beliau.

Kesederhanan beliau tidak menyukarkan saya untuk berkongsi dan meminta pandangan beliau. Jawatannya sebagai Presiden Gamis tidak menjadi hijab untuk kami berborak mesra.

Menerima untuk memberi.

" Nta kena jaga DQ sebaik-baiknya.." Abg Dzul memulakan bicara selepas berbincang panjang pada malam itu.

Saya hanya mengangguk. " Tapi, ana dah nak keluar la, Abg Dzul..".

" Dengar kata nta tak dapat ke Madinah..?" Abg Dzul kini menyoal.

" aik.. keputusan tak keluar lagi, macamana abang dapat tahu...?", saya kepelikan.

" khabarnya macam tu la..tapi tak kisah la, cuma ana nak tahu kenapa nta pilih Madinah ye..?"

Saya menelan air liur untuk menjawab persoalan itu.

" mungkin masalah kewangan yang menghantar hati saya ke sana.." Saya cuba memenuhi persoalan Abg Dzul.

" Sebenarnya ana tak kisah nak belajar ke mana..asalkan ada bidang yang ana minat, syariah...", saya menyambung.

" Nta sambung dalam negeri la..kita kurang tenaga penggerak sekarang ni.." Abg Hidayat pula mencelah ditangah keasyikan saya berborak.

Saya dan tiga sahabat lain saling berpandangan. Senyap sebentar.

Sebulan yang lepas, seorang kakak dari UKM pun menyarankan saya sambung pengajian di UKM. Sambil membantu sahabat di sana. Tambahnya pula, jimat umur katanya. Tiga tahun untuk Ijazah Sarjana Muda.

Abg Khalil juga berpandangan begitu.

Kekurangan Adam menjadi masalah serius dalam dunia dakwah mahasiswa sekarang.

Di mana pemuda-pemuda lain...?

Aduh, mereka hanya berpeleseran pada waktu ini...

Semasa dalam perjalanan balik dari Ibukota itu, saya menyaksikan anak-anak muda yang pelbagai warna dan ragam.

Tidur di kaki lima bangunan dengan baju lusuh, Pemuda.

Melepak di hadapan Kompleks Sogo juga pemuda.

Merempit di Jalan Kuching yang sudah lengang juga pemuda.

Pagi tadi, akhbar utama melaporkan lima lelaki ditahan kerana menagih dadah, juga pemuda.

Yang mati katak di jalanraya juga pemuda.

Patutlah tenaga pemuda tandus di medan dakwah.

Kampus utama menyaksikan ketandusan tenaga pemuda. Nasib baik DQ tidak begitu. Siswa masih mengatasi Siswi di DQ. Alhamdulillah.

Namun begitu, ajakan senior untuk berkhidmat di dalam negeri terbgiang-ngiang ditelinga, hingga saya terlelap pada pukul 3 pagi di teratak buruk perjuangan itu.

Ya Allah, kembalikan generasi muda ku ke jalan yang benar...